Friday, January 16, 1998

Seni budaya perlu dihargai dengan jitu

MENGHARGAI kesenian budaya bangsa sendiri bukan setakat melahirkannya melalui kata-kata, tetapi perlukan kejituan dalam memastikan budaya itu 'tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas.'
Masyarakat tidak boleh setakat berbangga dengan apa yang pernah dimiliki serta melaung-laungkan dengan bangga bahawa khazanah berharga itu pernah hidup di bumi bertuah ini.
Pastinya, kalau itulah yang berlaku, yang tinggal nanti hanya setakat laungan dan tanpa dapat ditatap oleh generasi pemilikan zaman akan datang.
''Kempunanlah anak cucu untuk melihat legenda yang pernah dibangga-banggakan pada zaman kesultanan Melayu Melaka dahulu, apatah lagi untuk mengenalinya secara lebih dekat.''
Begitulah luahan rasa seorang pencinta budaya dan kesenian Melayu yang giat memperjuangkannya kebudayaan agar terus abadi dan dihayati.
Atas inisiatif tersebutlah, Pengusaha Projek Perkampungan Hang Tuah di Duyong, Melaka, Jaafar Kudap mengambil langkah-langkah tersusun dalam usaha menampilkan semua kebudayaan Melayu dahulu dalam masyarakat masakini.
Menurutnya, banyak aktiviti telah dirangka ke arah itu bagi memastikan hasrat tersebut dapat dijadikan kenyataan.
Buat permulaan beliau telah mengadakan pementasan teater Legenda Hang Tuah baru-baru ini. Ia adalah sebagai usaha menerapkan penghayatan masyarakat terhadap seni dan budaya Melayu yang menjadi kebanggaan masyarakat zaman dahulu.
Kesan dan kebudayaan itulah yang perlu dipertahankan memandangkan generasi Melayu masa kini semakin hanyut dan alpa tentang siapa mereka dalam masyarakat hari ini, katanya.
Menurutnya, dengan menganjurkan pementasan teater tersebut, diharap dapat mengingatkan kembali tentang ketokohan pahlawan legenda Melaka itu.
Melalui teater tersebut juga penonton akan dipaparkan dengan kehebatan dan kesetiaan Hang Tuah yang tidak berbelah bahagi terhadap negeri yang menanginya hatta dengan mempertaruhkan nyawanya sendiri untuk mempertahankan bumi bertuah ini, katanya.
Selain itu penonton juga dapat melihat dan menghayati bagaimana ciri-ciri dan budaya murni yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dahulu.
''Aspek utama yang ditonjolkan dalam teater tersebut ialah kehebatan Hang Tuah dalam bidang persilatan serta amalan adat istiadat Melayu yang sering diagung-agungkan olehnya,'' kata beliau.
Aspek tersebut bertepatan dengan pepatah yang menjadi sebutan hingga kini yang pernah diluahkan oleh Laksamana Hang Tuah iaitu 'tidak melayu hilang di dunia.
Selain itu penonton juga dapat melihat dan menghayati bagaimana ciri-ciri dan budaya murni yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dahulu.
Keadaan tersebut digambarkan oleh watak-watak lain yang turut mengambil peranan pementasan tersebut.
Jaafar yang juga pengarah teater itu berkata, sebanyak 18 watak terbabit dalam pementasan tersebut dan mereka terdiri daripada anggota Angkatan Seni Warisan Melaka. Bagaimanapun yang dipersembahkan pada kali ini hanyalah satu slot daripada sejarah hidup Hang Tuah dan rakan-rakannya, kata beliau,
Teater tersebut mengisahkan perjalanan hidup Hang Tuah bermula daripada saat beliau memulakan pengajiannya dalam bidang pesilatan bersama rakan-rakannya.
Kisah itu diteruskan sehinggalah sampai ke peringkat di mana Hang Tuah bersama rakan-rakannya berusaha mempertahankan Melaka daripada serangan Jawa, katanya.
Melalui adegan tersebutlah kehebatan Hang Tuah dalam mempersembahkan seni silat Melayu itu digambarkan secara jelas dan terperinci, tambah beliau.
Jaafar juga berkata, adalah diharapkan langkah awal itu dapat menarik minat lebih ramai masyarakat ke arah menghayati kesenian masyarakat dahulu khususnya dalam bidang persilatan dan kebudayaan Melayu, katanya.
Menurutnya, persembahan itu akan dijadikan aktiviti utama apabila projek pembangunan Perkampungan Perigi Hang Tuah yang dirancang dapat dilaksanakan pada masa hadapan.

Wednesday, January 14, 1998

Antara menonton dan membaca filem

SELEPAS 102 tahun daripada Lumiere Bersaudara menayangkan filem pertama pada 28 Disember 1895 di Paris, filem memang lebih mudah ditonton tetapi semakin sukar dibaca.
Filem pada era Hollywood ini sarat dengan agenda. Medium ini tidak lagi hiburan untuk penonton semasa di pawagam tetapi mampu mengalih sudut pandangan dunia terhadap sesuatu isu. Kerana itu filem memang wajar diragui kejujurannya di sebalik teknologi.
Pengaruhnya cukup luar biasa untuk mencipta sesuatu dan membawa khalayak setuju dengan sudut pandangan tertentu. Itulah filem yang telah sekian banyak mencipta glamor, bintang dan kemewahan kepada warganya.
Filem juga tidak pernah jujur pada sejarah. Dan sememangnya filem bukan medium sejarah. Filem dan sejarah hanya satu pertemuan kecil di galur yang berbeza. Kerana itu memang wajarlah anak perempuan bekas Presiden Mesir, Gamal Abdel Nasser memprotes filem Naseer yang mempotretkan watak bapanya.
Dia sangsi dengan kejujuran filem terhadap maruah dan kewibawaan bapanya. Filem Naseer dikatakan boleh memberikan tanggapan mengelirukan tentang Gamal Abdel Nasser. Itulah filem namanya. Ia tidak pernah jujur pada sejarah walau label apa sekalipun diberikan kepada filem berkenaan.
Kepada kebanyakan orang, mereka sanggup bersusah payah ke pawagam kerana mahu menikmati hiburan. Bayangkan dalam kesesakan yang luar biasa di Kuala Lumpur dan kesukaran meletak kereta, khalayak terus membanjiri pawagam untuk menyaksikan Titanic, Tomorrow Never Dies dan banyak lagi filem yang gah publisitinya.
Selain sebahagian besar filem Melayu, hiburan dalam filem hanya satu lapisan nipis yang sengaja ditonjolkan. Tetapi filem itu sendiri mempunyai sudut pandangan, hasrat dan tidak kurang teori konspirasi mengenai sesuatu isu politik.
Tragedi pembunuhan Presiden Amerika Syarikat, John F. Kennedy misalnya bukan lagi satu sejarah bagi pengarah Oliver Stone. JFK (1991) arahan Oliver Stone hanya meletakkan watak dan plot ada dalam warna sejarah.
Perlu diingat, menerusi JFK, Oliver Stone adalah revisionist yang memberi tafsiran baru terhadap tragedi itu. Oliver Stone yang terkenal dengan trilogi Vietnamnya membuat teori konspirasinya sendiri. Inilah yang sukar dibaca daripada filem jenis ini.
JFK lahir daripada tesis sekali gus teori konpirasi Oliver Stone mengenai pembunuhan Kennedy sejak 1963.
Selain watak dalam sejarah, yang penting bagi Oliver Stone adalah watak fiksi yang diletakkan dalam galur sejarah. Ini antara teori konspirasi yang hebat diperkatakan mengenai pembunuhan Kennedy.
JFK antara filem yang menjurus kepada paranoia politik sebagai motif sinematik. Secara mudahnya, paranoia yang banyak berlaku di kalangan tokoh politik kini diserapkan dalam bentuk popular di filem.
Tentunya filem-filem begini bukan sekadar hiburan atau penghasilan artistik menerusi sinematografi tetapi tentang budaya, intelektual sekali gus politik.
JFK menjadi filem yang mengutarakan tema paranoia yang digabungkan dengan kekuatan naratif dan nilai komersial. Demikianlah filem menjadikan tragedi sehebat malah serumit pembunuhan Kennedy ini sebahagian daripada mesej paranoia dalam pendekatan popular.
Tetapi membaca JFK tidak semudah menontonnya. Lalu tidak hairanlah JFK mendorong American Political Science Association mengupas filem ini dari sudut paranoia politik. Pertemuan yang berlangsung di Washington tidak lama dulu antara lain mengusulkan bahawa JFK sebuah filem paranoia politik.
Lesen kreatif mengizinkan filem melakukan sesuatu termasuk mengubah sudut pandangan serta fakta sejarah. Kerana itu tidak ada istilah true story dalam filem kerana yang menemui khalayak adalah sudut pandangan pembikinnya.
Lihat bagaimana filem menjadikan manusia seluruh dunia terlupa dengan tragedi kapal yang paling menyayat 83 tahun lalu dalam Titanic. Tragedi hanya menjadi latar kepada kisah percintaan yang tentunya boleh melariskan filem ini.
Pengarah Titanic James Cameron tentunya tidak berhasrat untuk membawa kembali sejarah tragedi itu dalam bentuknya yang asal. Sejarah Titanic sudah banyak diketahui.
Benarlah kata Cameron, Titanic bukan filem tragedi tetapi filem romantik dengan penampilan dua bintang remaja, Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet.
Terbaru akan muncul filem tentang tumbangnya bank yang tertua di Britain, Baring. Kisah Nick Leeson yang membawa kepada Baring kehilangan AS$1.4 bilion itu diterbitkan oleh sebuah syarikat filem British.
Filem Rogue Trader ini akan memulakan penggambaran di Singapura minggu ini. Tetapi harus ingat, ini bukan filem sejarah. Ini filem British tentang tragedi yang berlaku di Asia. Rogue Trader juga tentunya memerlukan kita lebih banyak membaca daripada menontonnya.

Monday, January 12, 1998

Kritik Sastera ... jangan terlalu ghairah

SAYA begitu tertarik apabila membaca kertas kerja penulis terkenal Indonesia, Budi Darma yang dibentangkan pada Pertemuan Sasterawan Nusantara, IV/PERSI (Pertemuan Sasterawan Indonesia) 1997 di Kayutanam, Padang, Indonesia, baru-baru ini.
Meskipun tidak menghadiri pertemuan tersebut, kehangatan diskusi oleh mahasiswa dan pensyarah di beberapa perguruan tinggi di Jakarta sebagai susulan meninggalkan kesan kepada saya.
Kunjungan saya ke Jakarta seolah-olah mengajak sama untuk turut merasakan kehangatan polemik ini yang turut diperdebatkan oleh mahasiswa-mahasiswa di negara tersebut. Kertas kerja ini mempunyai tanggapan tertentu terhadap dunia kritikan sastera Nusantara dan Indonesia secara khususnya sehingga ia mengundang sedikit kelainan berbanding lain-lain pembentang pada pertemuan tersebut.
Budi Darma menghidangkan persoalan yang menyentuh erat dunia kritikan dan ciri-cirinya untuk disesuaikan dengan masyarakat Indonesia dan Nusantara secara umum. Dengan kata lain, beliau mempunyai persepsi sendiri dalam membicarakan bidang tersebut.
Beliau melihat kritik Sastera Indonesia atau Nusantara secara umumnya masih dibaluti oleh perspektif kaku. Ia tetap bersifat akademis dengan penyataan teori-teori yang sukar untuk difahami khalayaknya.
Dalam hal ini, Budi Darma melihat penggunaan teori-teori yang terlalu akademik menjadi hambatan utama terhadap perkembangan kritikan sastera di Nusantara.
Ini kerana ia masih diwarnai oleh teori-teori Barat yang sukar untuk direalisasi ke dalam sastera tempatan.
Apa yang paling penting menurut Budi Darma, kritik atau teori sastera merupakan media melahirkan nuansa baru dalam dunianya. Ia juga bertujuan untuk membuka minda dan pemahaman khalayak tentang sastera itu sendiri.
Malah, kewujudan karya sastera itu sendiri bukanlah hanya bertujuan untuk mengkritik mekanisme sesuatu karya sastera. Tetapi fungsi kritikan ialah mengajak khalayak ke arah mengenali secara terperinci tentang makna dan pemikirannya.
Lebih jauh, pada perspektif Budi Darma kritik sastera yang baik dapat menjadi inspirasi kepada percambahan pengkritik-pengkritik baru yang pasti akan mengembangkan teori dan metodologi baru dalam disiplin ilmu ini.
Penyataan ini memang menarik. Pendapat Budi seiring dengan Dekan Fakulti Sastera, Universiti Indonesia, Prof. Sapardi Djoko Damono dan penulis Melani Budianta yang melihat metodologi pengajaran sastera di Nusantara hari ini terlalu diilmiahkan.
Dengan kata lain, tokoh-tokoh akademik dan penulis ini sependapat. Mereka melihat apa yang paling penting ialah sesuatu kritik sastera harus bersumberkan kepada karya bukannya sastera.
Mereka merupakan 'mazhab' yang melihat karya sastera lahir dari kritik sastera dan pastinya kritik itu sendiri berasal dari karya yang dihasilkan. Keterkaitan inilah yang melahirkan pengertian intertekstualiti.
Ini bermakna sesuatu karya sastera tersebut merupakan sebuah teks, tidak mungkin terlepas dari hubungannyaa dengan karya-karya lain dalam fungsinya sebagai teks. Penghayatan teks inilah akan melahirkan sebuah teori yang benar-benar bersesuaian untuk mengkaji dan mengkritik penulis dan karya-karya mereka.
Ketaksuban terhadap teori-teori inilah yang meletakkan sastera dalam paradigma kaku. Kelancaran dunia sastera tanah air sering terbentur oleh paradigma ini. Secara tidak langsung ia membabitkan tokoh-tokoh akademik yang sebenarnya tidak menyelami langsung tulisan dan penulisan seseorang sasterawan.
Keghairahan inilah yang menjadikan sastera rantau ini bersifat konseptual dan bukannya kontekstual. Ini kerana mereka mereka hanya melihat sastera dari atas dan bukan berada di dalamnya.
Berdasarkan pengalaman ini, tidak mustahil dunia sastera Nusantara dan negara ini akan terkurung dalam paradigma lama. Ia bakal kekal sebagai objek teoritis dan jauh sekali daripada aspek eksperimental.
Malah, keghairahan berteori sebenarnya tidak memberi impak positif kepada kepentingan kreatif.
Ini kerana karya terlepas daripada sasaran mereka kerana kecenderungan untuk membicarakan sastera dan aspek luarannya.
Penyataan Budi Darma ini bertepatan dengan suasana sastera Nusantara dan negara ini secara khusus. Tidak terlalu drastik untuk saya katakan, teori sastera di negara ini cenderung bersifat melihat sastera dari jauh.
Segelintir tokoh akademik sebenarnya harus kembali kepada acuan asal untuk melahirkan teori sastera tempatan. Pengangkatan teori-teori luar bukanlah jawapan sebenar dalam membincangkan persoalan kesusasteraan mutakhir negara ini.
Dalam ini, saya sependapat dengan Budi Darma, Sapardi dan Melani untuk tidak menolak sama sekali kritik sastera akademik yang mempunyai 'pengikut-pengikut' setianya sendiri di Nusantara.
Tetapi apa yang perlu diperhatikan kritik seperti ini terlalu membuka diri mereka kepada teori dan kaedah yang terlalu spesifik dalam melihat sastera serta dunia penulisan. Dari aspek ini, apa yang paling penting kritikan yang mantap bakal menjadi pemangkin kepada perkembangan seterusnya.
Keghairahan berteori tanpa memahami karya hanya menjadi hambatan kepada sastera itu sendiri.

Saturday, January 03, 1998

Fitnah menerusi Cerpen

DULU, nasionalis kita banyak menulis kerana penulisan menjadi medan perjuangan untuk mengkritik, memprotes dan memberi kesedaran kepada masyarakat. Mereka juga menyindir. Tetapi, pihak yang mereka sindir itu memang wajar disindir. Dalam erti kata lain, segalanya dilakukan demi bangsa dan negara. Bukan kerana kepentingan peribadi.
Hal ini disentuh kerana pada zaman moden serta serba canggih ini ada golongan penulis yang menggunakan karya kreatif untuk memfitnah orang lain. Fitnah dan sindiran ini dilakukan secara terang-terangan. Tidak cukup dengan itu, nama orang yang disindir juga disebutkan secara terang-terangan.
Maka, apabila karya itu tersiar, orang yang disindir dan difitnah itu dihujani dengan panggilan dari teman-teman yang sedia tahu tentang maksud di sebalik karya itu.
Jika sekali atau dua kali berlaku mungkin dianggap secara kebetulan atau sengaja mahu 'mengusik'. Tetapi, apabila acapkali ditulis perkara yang sama, malah sindirnya sudah menjadi fitnah yang paling menakutkan, sesiapa pun tidak akan senang diam.
Dengan rasa rendah diri, si kena fitnah menelefon editor dan menceritakan segala-galanya. Katanya, dia difitnah melalui cerpen. Fitnah itu meninggalkan kesan yang tidak sihat kepada kehidupan sehariannya. Jiwa juga terganggu. Begitu juga keluarganya. Akibatnya, beliau mahu mengambil tindakan mahkamah kepada penulis itu.
Segalanya adalah gara-gara kisah zaman silam. Kerana sakit hati, cemburu dan entah apa lagi rasa hasad dengki, maka penulis tadi menulislah cerpen tentang kisah itu. Malangnya, kisah itu telah ditambah tokok; dengan maksud memburukkan orang lain.
Kata si pengadu tadi, setiap kali cerpen penulis itu tersiar, ramai rakan-rakan sekampusnya menelefon dan bertanyakan banyak perkara. Ini bererti, mereka tahu bahawa cerpen itu khas ditujukan kepada teman tadi.
Jadi, yang serba salah sekarang ialah editor. Kita terpasung antara kerja hakiki yang mementingkan mutu dengan sifat kemanusiaan.
Kita rasa tidak berpegang kepada perinsip apabila mengetepikan karya yang bermutu. Namun, dalam masa yang sama kita juga rasa terhiris apabila ada suara yang merayu supaya jiwanya tidak dilukai lagi.
Soalnya, tidakkah kita miliki nilai murni bagi menghasilkan karya yang tidak menyinggung hati orang lain? Berbanggakan kita bergelar penulis dengan linangan airmata insan lain? Fikirkanlah.

Kisah Ibu dan Creper wajar diteladani

KETIKA menghadiri Bengkel Penulisan Kreatif di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang, Jun lalu, sewaktu ditanya tentang penulisan cerpen, Prof. Datuk Shahnon Ahmad menjawab ringkas; ''Saya kurang memberi tumpuan dalam cerpen''.
Apabila terbaca cerpen terbarunya Ibu dan Ceper dalam Mingguan Malaysia, baru-baru ini, spontan saya bertanya; adakah ini sedutan novelnya yang terbaru?
Soalan ini hanya Cikgu Shahnon sahaja yang dapat menjawabnya. Kita tunggu kemungkinan muncul novel baru dengan tema baru yang jauh menyimpang daripada novel TIVI yang penuh kontraversi.
Jika benar andaian kita bererti Cikgu Shahnon cuba mengungkap kembali nostalgia hidupnya di desa dengan asam ragam budaya yang unik dan tersendiri dalam cerpennya itu.
Dalam cerpen Ibu dan Ceper Cikgu Shahnon mendedahkan serba ringkas gelagat ibunya sebagai orang kampung yang keletah ke sana ke mari. Sikap ibunya yang tidak pernah duduk diam, walau sebentar digambarkan seperti juga Sungai Ceper yang tak pernah diam, mengalir terus ke mudik.
Cikgu juga dengan sengaja meletakkan pertentangan watak antara ibu dan bapa. Jika ibu rakus bekerja, ke sawah bendang, ke paya menetak mengkuang, berderau di rumah kenduri dan ada-ada saja kerjanya, sedangkan si bapa digambarkan lebih leka dengan menjerat burung ketitir. Cikgu paparkan dengan jelas pertentangan ini dalam ungkapan kata-kata ibunya;
''Orang tak sedar diri. Tak tahu tanggungjawab. Air bah habis bunuh padi kita, awak masih cengkuih ketitir. Suami apa macam ini.''
Panas, pedih dan berkesan kata-kata si ibu. Malah jika kita mendengar ungkapan seperti itu, nescaya berdesing telinga dan terjengol darah berkumpul di kepala. Dan si bapa pun mengalah. Si bapa cuba-cuba tolong si ibu membeting ban melawan bah Sungai Ceper. Namun tak berjaya. Kudrat Ceper lebih hebat, lebih kuat, lebih gagah daripada kudrat ibu dan bapa.
Akibatnya, tahun itu mereka makan gadung hasil tangan bapa setelah pulang daripada menjerat burung di hutan belantara.
Saya sungguh terharu dengan paparan budaya dan kehidupan jerit perih orang kampung dahulu kala. Generasi muda tidak tahu semua itu. Kehidupan yang bergantung penuh pada takdir, usaha tulang empat kerat, jerit payah petani dan tabiat buruk - membuang masa seperti menjerat burung adalah gambaran benar dalam budaya kita.
Secara peribadi, saya minat Cikgu Shahnon memperincikan aktiviti mendenak burung dan kegiatan yang berkaitan dengan orang ''gila burung'' yang jarang kita temui sekarang.
Kalau dahulunya, saya pernah juga melihat orang membawa sangkar denak - bermotosikal dan berbasikal masuk ke hutan menjerut burung. Tetapi aktiviti semacam ini pupus dan bukan lagi hobi orang sekarang, barangkali. Saya percaya Cikgu Shahnon tentunya banyak pengalaman dengan ''orang gila burung'' yang boleh Cikgu paparkan dalam novel terbarunya.
Dalam cerpen ini juga, Cikgu Shahnon jelaskan watak ibu yang bongkak. Ibu sering sahaja marah kepada Ceper; semasa bah, marahkan bahnya, semasa kemarau marahkan kemaraunya. Watak ibu seakan-akan kurang bersyukur, berterima ksih kepada alam dan Tuhan yang menjadikannya. Di musim kemarau si ibu digambarkan:
''Setitik air Ceper pun ibu tak sentuh waktu kemarau panjang itu''.
Kita akui ada manusia berwatak seperti itu. Namun, kedegilan manusia muslim tentu ada batasnya, ada sempadan syariat yang boleh melentur hatinya redha, dan sabar bersama anugerah Tuhan. Gambaran keterlaluan mungkin elok sekadar hiasan cerita, diharapkan ia bukanlah realiti yang nyata.
Hubungan watak aku dan ibu ternyata sungguh intim. Apalagi apabila ibu dan bapa telah meninggal dan saat pedih ketika aku menjerit mencepung ibu buang air masih jelas diingatan aku.
Bukankah ini kenyataan hidup, sesuatu yang berharga tidak akan kita sedari nilainya, melainkan setelah ia tiada, ia hilang. Begitu juga dengan kasih sayang si ibu dan si ayah.
Melihat kepada hubungan anak dan ibu juga bapa, saya kira wujud kesamaan tema dalam cerpen ini dan novel Ayahanda karya Azizi. Kesamaan bukanlah beerti ciplakan, tetapi kehalusan budi itu yang perlu diketengahkan oleh penulis.
Tema orang tua dan kasih sayang seperti ini, wajar disebar luaskan dalam tulisan, kerana sedikit sebanyak ia membantu pembaca mengenali hati budi orang tuanya sendiri.
Sungai Ceper yang sering dipersalahkan ibu, membawa kesan yang sama pada kedua-duanya. Apabila ibu tiada, sungai Ceper pun mati. Mati kerana pencemaran yang menghilangkan seri dan keperluannya kepada warga desa. Walau ada anak cucu mengganti ibu bertungkus lumus dengan selut dan lintah, namun Ceper terus sahaja mati, kaku dan tidak bernilai. Kesian Ceper.

Thursday, January 01, 1998

Teater Sepanjang 1997 perubahan ketara harga tiket

Akhbar Utusan Malaysia mementaskan tiga teater secara kerjasama iaitu Lantai T. Pinkie (arahan Rosminah Tahir), Taman Baginda (arahan Zaifri Husin) dan Kereta Kencana (arahan Rendra dari Indonesia).Akademi Seni Kebangsaan (ASK) mementaskan Anak Raja Gondang (Khatijah Awang), Haris Fadillah (Rahman B) dan Impian Di Musim Panas (Ahmad Yatim Talib).Slot Panggung Negara dipenuhi teater Bakai (U-Wei Shaari), Julius Caesar (Marzuki Ali), Assyura (Sr. Samat Salleh) dan Kota Lukut (Kamarul AR).Dewan Bahasa dan Pustaka mementaskan Sungai Mengalir Lesu (Wahab Hamzah) manakala Ambang Klasik Sdn. Bhd., memilih Tiang Seri Tegak Berlima (Rohani Yousoff). Pak Ngah Production dan Pejabat Kebudayaan Wilayah Persekutuan mengetengahkan teater Taman Baginda dan Bawang Putih Bawang Merah, kedua-duanya arahan Zaifri Husin.Anak Tanjung karya Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan pula menjadi pilihan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) untuk jamuan makan malam mereka di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur (PWTC).Ia diarah oleh Rohani Yousoff. Tahun ini, dunia teater menyaksikan kelahiran pengarah baru. Zaifri Husin, berjaya memukau penonton melalui kerja kreatifnya dalam dua teater kanak-kanak.Namanya mula meniti di bibir. Beliau mempunyai masa depan sebagai pengarah. Sebagai pelakon, beliau memang telah dikenali. Apatah lagi muncul dalam Lantai T. Pinkie, Assyura, Cucu, Tiang Seri Tegak Berlima dan banyak lagi.Kemunculan pertama U-Wei sebagai pengarah teater mengetengahkan karya Euripedes. Sekalipun, banyak elemen teater yang dipertikaikan tetapi U-Wei berani mencuba. Begitu juga dengan Wahab Hamzah yang cuba merealitikan adaptasi novel ke pentas.Kemunculan semula Ahmad Yatim selepas sekian lama menyepi sebagai pengarah amat dinantikan. Meskipun karya Shakespeare itu dikerjakan dalam waktu yang singkat dan belanja yang terhad tetapi hasilnya amat membanggakan. Ahmad Yatim tidak seharusnya terus 'tidur' selepas ini. Beliau tetap anak teater yang digeruni!Kamarul AR yang selama ini hanya bekerja dalam kumpulan kecilnya, Hidayah tetapi kini diberi peluang merealitikan Kota Lukut dalam slot Panggung Negara. Kerjanya juga kreatif tetapi 'haru biru' dalam Tema menyebabkan kredibiliti beliau sedikit sebanyak tercabar.Begitu pun, dalam senarai 13 pementasan itu hanya dua pengarah wanita. Seperti tahun-tahun sebelumnya, hanya Rohani dan Rosminah yang diperkatakan. Pengarah wanita lain (benarkah kita ada pengarah wanita lain?) tidak mengerjakan teater tahun ini.Kemenangan Wan Soffi Megat Ahmad sebagai Pengarah Terbaik Pekan Teater 1997 diharap dapatmengisi kekosongan itu. Wan Soffi tidak harus berpuas hati dengan kerja-kerjanya melalui teater Peran, sebaliknya berusaha menghasilkan yang terbaik. Kita tunggu kemunculan Wan Soffi sebagai salah seorang pengarah wanita peringkat nasional.Perkara paling ketara sepanjang pementasan 1997 ialah kenaikan harga tiket. Jika tahun lalu harga tiket dikenakan pada purata RM10. Tetapi, teater sulung tahun itu, Lantai T. Pinkie yang dipentaskan 15 hingga 21 Mac di Matic membuat perubahan yang ketara dengan mengenakan tiket sebanyak RM40.Tiang Seri Tegak Berlima, sebuah lagi teater Sasterawan Negara, mengenakan tiket RM30 bagi pementasan selama 90 minit. Begitu juga dengan Anak Tanjung. Bakai mengenakan RM20. Begitu juga Assyura dan Kereta Kencana.Teater kanak-kanak yang selama ini mengenakan tiket RM5 telah naik sebanyak 100 peratus dalam teater Bawang Putih Bawang Merah dan Taman Baginda.Kenaikan harga tiket ini disebabkan oleh banyak perkara. Bilangan pelakon yang ramai dan terkenal, tenaga kerja serta kerja-kerja pentas yang memerlukan kos adalah antara faktor utamanya.Contohnya, Lantai T. Pinkie memiliki sekian ramai pelakon terkenal seperti Tiara Jacquelina, Erma Fatima, Hani Mohsin, Umi Aida, Ahmad Yatim, Marlia Musa, Zuhairi Ibrahim dan Mazlan Tahir.Teater ini juga menggunakan tenaga pemuzik secara langsung di samping set dan props yang menggambarkan zaman 50-an.Begitu juga Taman Baginda yang memerlukan kerja-kerja artistik dan teknikal yang teliti kerana ia menggambarkan IT (Teknologi Maklumat) masa depan.Semuanya memerlukan kos yang tinggi.Dalam erti kata lain, sepanjang 1997, teater yang dipentaskan menelan belanja lebih RM100,000 sedangkan jualan tiket tidak mencecah 20 peratus daripada kos yang dibelanjakan. Lantai T. Pinkie dan Tiang Seri Tegak Berlima, kedua-duanya karya Sasterawan Negara diletakkan di 'ranking' teratas yang mana kedua-dua teater ini melebihi kos RM300,000.Selain itu, 1997 juga menyaksikan pengulangan pementasan pada beberapa teater. Antara teater yang diulang pentaskan ialah Lantai T. Pinkie dan Taman Baginda.Kedua-duanya berjurang masa antara tiga hingga lima bulan. Mutu persembahan pula amat membanggakan jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. Ini mungkin disebabkan karya yang dipilih itu memiliki keistimewaan yang tersendiri. Ada juga teater yang dipentaskan sehingga lebih tiga jam dan mendapat sambutan.Penglibatan pelakon-pelakon terkenal juga amat ketara pada tahun ini. Antara yang muncul ialah Azean Irdawaty, Zaidi Omar, Raja Azura, Tiara Jacquelina, Erma Fatima, Umi Aida, Marlia Musa, Hani Mohsin, Ahmad Yatim, Sharuddin Thamby, Omar Abdullah, Sani Sudin, Zaibo, Sabri Yunus dan Abon. Tidak kurang juga yang baru mencuba seperti Aman Graseka dan Ijam (Kumpulan Medicine).Penglibatan korporat dalam bidang teater juga ketara. Utusan Melayu, New Straits Times, Kretam Holdings, Ambang Klasik dan FACB memberi nafas kepada teater Melayu untuk bergerak pantas.