Saturday, February 28, 1998

Merentas kasih utarakan makna kemasyarakatan

Fenomena ini yang diketengahkan dalam novel ini muncul akibat sikap dan kesibukan mengejar cita-cita sehingga meleraikan rasa kasih sayang antara anggota keluarga.
Seperti yang dijelaskan oleh pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Prof. Madya Rahman Shaari, Merentas kasih karya Siti Rohayah Atan menjadi karya yang memberi kesan dramatik mendalam kepada pembacanya.
Menurutnya, daya tarikan utama novel ini ialah kemampuan pengarangnya melukiskan episod-episod kasar untuk menjemput pembaca memberi respons emosi terhadap persoalan yang dipaparkan.
''Episod-episod kasar bukanlah tidak beralasan. Manusia selalu berhadapan dengan masalah, tetapi reaksi terhadap masalah berbeza-beza antara seorang dengan yang lain. Sesetengah reaksi menghasilkan episod kasar.
''Novel ini dimulakan dengan aksi kasar Puteri Intan yang menengking sesiapa sahaja yang dianggap mengganggunya. Dia tidak kira siapa yang bersalah. Pengarang melukiskan segi-segi perwatakan, sedikit demi sedikit,'' katanya dalam majlis diskusi novel Merentas Kasih anjuran Kelab Kebudayaan dan Kesenian Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurutnya, pengarang kreatif memulakan karyanya. Ia bertitik tolak daripada Puteri Intan yang yang hanyut dalam arus negatif akibat kurangnya kasih sayang serta perhatian kedua orang tuanya.
''Gambaran sikap dan peri laku gadis tersebut dijelaskan secara terperinci dengan gaya fiktif dan emosi yang menarik sehingga khalayak dapat menyenaraikan setiap masalah dan permasalahannya,'' tegas Rahman.
Dalam hal ini Puteri Intan dianggap sebagai 'pengenalan' kepada Merentas Kasih. Sekali gus mampu memberi penjelasan tentang Imran, Datuk Badli, Datin Razilla, Fauziah dan sebagainya.
''Pengarang memberi gambaran tentang Puteri Intan yang tidak menghormati ibunya Datin Razilla kerana pernah curang dan meninggalkan keluarga selama tiga tahun. Malah, wanita ini dianggap tidak tahu memikul tanggungjawab.
''Jalan pintas untuk menyelesaikan masalah ini ialah beralih kepada kawan-kawan sebaya dan dadah. Antaranya, Cindy. Namun, teman akrabnya tersebut tidak pernah berusaha membawa Puteri Intan keluar dari masalah penagihan dadah dan kehidupan bebas tersebut,'' tegas Rahman lagi.
Bagaimanapun, katanya, kematian Cindy memberi pukulan hebat kepada Puteri Intan hingga kemunculan Fauziah yang banyak membawa perubahan dalam kehidupannya sekali gus keluarga Datuk Badli.
''Dalam hal ini, pengarang bertindak sebagai pemerhati masalah sosial di samping sebagai pencerita. Dengan mengata demikian, dapatlah kita lihat semua watak ialah wakil manusia dalam masyarakat yang bermasalah.
''Kita tidak akan sanggup merujuk setiap bahagian dalam novel ini dengan manusia atau peristiwa di luar novel. Namun kita sedar benar bahawa pengarang menghasilkannya berasaskan konteks dalam masyarakat,'' tambah Rahman.
Katanya, apa yang paling jelas, pengarang bijak mengolah realiti masalah dalam masyarakat moden yang berada di sekitarnya dengan gaya bersahaja tetapi mampu mengundang respons emosi pembaca.
''Dunia moden sudah lama terbuka dan membuka peluang untuk terjadinya peristiwa demikian. Penulis tidak menciptakan kisah itu berasaskan khayalan. Kita yakin akan konteks kemasyarakatannya.
''Persoalan anak luar nikah di Malaysia bukannya kecil, tetapi persoalan fikiran dan perasaan mereka jarang disorot oleh penulis novel kita. Penulis novel ini meletakkan dua anak luar nikah Datuk Badli di tempat yang neutral, tanpa penghinaan,'' ujarnya.
Baginya, hal ini merupakan momentum baru yang harus dipandang serius. Pandangan masyarakat terhadap anak-anak luar nikah sememangnya perlu diubah. Mereka lahir bukan di atas dasar kehendak mereka.
Sementara itu, seorang lagi pembicara pada majlis diskusi yang dipengerusikan oleh Norish Karman, Prof. Madya Dr. Othman Puteh, melihat novel ini memaparkan gaya penulisan dramatik.
Katanya, setiap peristiwa yang diketengahkan merupakan konflik kemasyarakatan yang mampu mengundang respons emosi pembaca. Mereka seolah-olah dihidang dengan persoalan apa yang ada di sebaliknya.
''Karya ini tidak memperlihatkan unsur tegang. Pengarang banyak mengetengahkan unsur-unsur kebetulan dan ketidaksengajaan sekali gus perspektif positif dan kebolehjadian.
''Unsur-unsur ini dimunculkan oleh watak utama, Puteri Intan. Menerusinya, pembaca dapat mengetahui peristiwa dan persoalan yang diketengahkan oleh pengarang secara jelas,'' katanya.
Tetapi dalam hal ini, bagaimana teknik atau gaya yang dipersembahkan oleh pengarang, Dr. Othman dan Rahman tetap melihat Merentas Kasih merupakan kemampuan pengarangnya mengungkap persoalan dan masalah keluarga moden.

Friday, February 27, 1998

Sanggupkah kehilangan filem Melayu

SEHINGGA Februari ini belum ada lagi syarikat produksi yang menerbitkan filem Melayu. Banyak yang membayangkan kini berulang lagi era ketandusan filem Melayu di pawagam tempatan seperti di dekad 70-an dan 80-an dulu.
Filem-filem yang akan ditayangkan sepanjang tahun ini adalah baki filem bikinan tahun lalu. Ini bermakna sepanjang tahun 1999, secara teorinya daripada suasana ekonomi sekarang tidak ada filem Melayu di pawagam tempatan.
Bayangkan dalam keadaan ekonomi yang stabil sebelum ini, purata hanya sebuah filem Melayu sebulan yang ditayangkan di pawagam di negara kita
Nisbah ini tentulah satu angka yang terlalu kecil berbanding filem luar terutama Hollywood dan Hong Kong.
Telah lama pawagam tempatan tidak memerlukan filem Melayu untuk memastikan mereka terus beroperasi. Ini kerana sumbangan filem Melayu kepada pemilik pawagam terlalu kecil.
Industri filem tempatan menerima kesan yang cukup buruk daripada krisis ekonomi yang berlaku sekarang. Peningkatan kos bahan mentah dan pemerosesan filem meningkat lebih sekali ganda jumlahnya.
Ketandusan filem Melayu pada tahun 1999 memang bukan salah sesiapa. Ini adalah sebahagian daripada kesan yang mesti diterima dan wajar diambil iktibar daripada kekerdilan industri filem tempatan.
Kalau krisis ekonomi berlarutan lebih lama, filem Melayu akan terus pupus untuk jangka masa yang lebih panjang. Sekalipun kos tenaga kreatif dan artis lebih murah tetapi kos bahan mentah serta proses meningkat berlipat ganda.
Sebelum ini, menerbit filem dianggap satu bidang yang berisiko tinggi. Filem tempatan yang ditayangkan di pawagam selalunya jauh lebih kecil kutipan berbanding filem luar.
Tetapi kini dalam keadaan setenat ini, menerbitkan filem bukan sahaja berisiko tinggi tetapi suatu yang tidak mungkin dapat dilakukan. Rakyat yang terhimpit dengan krisis ekonomi tentunya menyenaraikan aktiviti menonton filem terutama filem Melayu pada agenda yang paling akhir.
Sekalipun filem Melayu memperlihatkan sedikit peningkatan daripada aspek industrinya, tetapi krisis ekonomi telah membawa industri filem lebih sepuluh tahun ke belakang. Ini mengingatkan kita kepada kemalapan filem dekad 70-an dan 80-an.
Waktu itu, filem Melayu bukan sahaja daif daripada aspek kualiti tetapi bilangan yang terlalu kecil untuk mendakwa mewakili pemikiran rakyat negara ini. Malah, filem Melayu langsung tidak mempunyai pengaruh terhadap pembangunan pemikiran dan sosiobudaya rakyat.
Bayangkan hari ini harga satu gulung filem berharga RM500 berbanding sebelum ini hanya RM380 sahaja. Sementara proses membuat salinan pula meningkat daripada RM3,000 menjadi RM5,000.
Ini bermakna kita memerlukan peruntukkan dua buah filem untuk membuat satu filem ketika krisis ekonomi. Keadaan ini tentunya boleh membunuh filem Melayu kalau berlanjutan lebih lama.
Salah satu sebabnya industri filem tempatan tidak didukung oleh studio atau konsortium yang besar. Yang memastikan rakyat menonton filem Melayu adalah syarikat yang menggunakan modal filem pertama untuk menerbitkan filem kedua dan seterusnya.
Filem tempatan juga tidak disokong oleh pihak korporat untuk membiayai dalam bentuk tajaan dan sebagainya. Lalu untuk memastikan wujud filem Melayu ialah syarikat kecil yang komited dengan bidang ini.
Mereka menceburi bidang berisiko tinggi dan keuntungan yang kecil ini yang banyak memberi sumbangan untuk melihat filem tempatan wujud di pawagam. Pihak korporat enggan menceburi bidang perfileman kerana untung yang kecil, risiko tinggi dan terpaksa melayan kerenah artis.
Krisis ekonomi memberi banyak iktibar untuk dijadikan peringatan. Salah satunya inilah akibat daripada industri yang tidak mendapat sokongan padu daripada pihak kerajaan dan swasta.
Bayangkan usaha membangunkan filem Melayu yang mengambil masa yang lama diranapkan dengan sekelip mata apabila berdepan dengan krisis. Untuk membina keyakinan baru terhadap filem Melayu bukanlah suatu yang mudah.
Usaha ini merentasi pelbagai halangan kerana banyak beranggapan filem Melayu tidak mewakili pemikiran dan semangat khalayaknya. Sekarang filem Melayu kembali ke tahap itu.
Apabila filem Melayu semakin mengecil daripada segi jumlah dan kualiti, dengan sendirinya ia akan terpinggir dan seterusnya dilupakan.
Oleh: KU SEMAN KU HUSIN

Tuesday, February 24, 1998

Safura tolak watak Puteri hang Li Po

PENYANYI Safura mungkin mempunyai alasan tersendiri untuk menolak watak Puteri Hang Li Po dalam sebuah pementasan teater.
Sebaliknya, penyanyi itu yang telah ditawarkan dengan watak itu lebih rela menjadi penyanyi latar dalam pementasan itu.
Bersesuaian dengan kebolehannya menguasai lagu-lagu dialek Mandarin, Hokkien dan kantonis.
Safura mengakui dia terpaksa menolak tawaran itu kerana tidak mempunyai masa untuk mengadakan latihan.
Walaupun kecenderungan Safura sememangnya lebih kepada lakonan, tetapi penyanyi yang popular menerusi lagu Sedalam Mana Cintamu ini tidak dapat menunaikan hayatnya itu.
''Ramai yang kurang menyedari bakat saya dalam bidang nyanyian walaupun pada awalnya saya lebih suka berlakon. Saya sendiri tidak pernah terfikir akan bergiat aktif sebagai penyanyi hingga ke hari ini. Tetapi saya gembira kerana dapat mengasah bakat dan berpeluang mengharumkan nama sekolah saya dalam seni lakonan,'' kata Safura yang pernah bergelar pelakon drama wanita terbaik di sekolahnya.
Menurut Safura, walaupun kini, namanya lebih dikenali sebagai penyanyi, tetapi minatnya dalam bidang lakonan tidak pernah terpadam, lebih-lebih lagi dalam bidang teater.
''Buat masa ini, saya terpaksa memberi penumpuan kepada aktiviti nyanyian saya.
''Hasrat untuk berlakon itu ada, tetapi masanya amat terhad waktu ini. Sebagai pendatang baru, saya agak sibuk dengan promosi album dan juga memenuhi undangan menyanyi,'' katanya.
Mengenai penglibatannya sebagai penyanyi dalam pementasan itu nanti, Safura berkata, walaupun dia hanya muncul sebagai penyanyi, tetapi banyak ilmu lain yang dapat dipelajarinya menerusi pementasan itu.
Selain menyampaikan lagu popular, Safura juga akan menyanyikan lagu Kantonis, Mandarin dan Hokkien untuk menyesuaikan dengan jalan cerita.
Safura memberitahu, dia tidak mempunyai banyak masalah untuk menyanyikan lagu-lagu bahasa bukan Melayu kerana berpengalaman menyanyi selama tujuh tahun di kelab.
Selain sibuk dengan promosi dan undangan menyanyi, artis yang semakin laris ini juga sedang membuat persediaan untuk merakamkan album keduanya. Safura mahu album kedua ini menampilkan konsep muzik yang lebih agresif lagi.
''Selain mahu dikenali sebagai penyanyi yang mampu membawakan lagu-lagu sentimental, saya juga mahu kelihatan agresif di pentas,'' kata Safura.
Penyanyi ini akan mula menjalani proses rakaman album itu pada bulan Mei depan.
Dia juga mahu bekerjasama dengan seberapa banyak komposer supaya dapat menyatukan satu idea yang berbeza dalam albumnya itu.

Saturday, February 21, 1998

Teater UMS mahu bereksperimen

Keazaman untuk menggali keunikan ini sekali gus menjadi pelopor kepada kelainan corak teater yang dipentaskan menjadi salah satu tujuan penubuhan Makmal Teater (Theatre Lab) yang bernaung di bawah Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Jurulatihnya, Andika Aziz berkata, Theatre Lab akan memperjuangkan seni teater berkualiti melalui kajian pelbagai sudut produksi berdasarkan kepada teori dan praktikal tokoh-tokoh teater terkemuka dunia.
Menurutnya aspek pelakon dan lakonan oleh Constantin Stanislavsky, Augusto Boal, Grotowski dan Artaud akan dianalisis, disesuai dan ditetapkan dalam pementasan yang akan dilaksanakan.
''Kekayaan budaya di Sabah adalah aset utama yang boleh diekploitasi dan diassimilasikan dengan teknik-teknik dari Barat.
''Kami akan cuba melakukan eksperimental daripada pelbagai aspek pentas, teknikal, pengurusan produksi dan lain-lain untuk mengukur kesesuaian bentuk gabungan ini,'' katanya yang merupakan tenaga pengajar teater UMS.
Beliau yakin kedua-dua gabungan ini dapat dilakukan dengan baik menjadikan pementasan yang dihasilkan oleh Theatre Lab akan berbeza dengan persembahan teater biasa. Ia juga akan melampaui unsur serta teknik yang kerap kali diamalkan oleh kumpulan teater kini.
''Usaha harus dilakukan bagi mengangkat martabat teater di Sabah yang selama ini sifatnya bermusim dan agak terpinggir dengan perkembangan teater tanah air,'' katanya.
Sehubungan itu, katanya, untuk permulaan beberapa program juga telah disusun iaitu seperti mengadakan teater keliling, Pementasan Teater Perdana, Bengkel Pengurusan Teater, Dekin - A. Samad Said dan beberapa program lain.
Beliau menyatakan, penubuhan Theatre Lab juga bertujuan meneruskan usaha bagi meningkatkan lagi martabat dan perjuangan teater kampus yang pernah wujud dan mendominasi perkembangan teater tanah air pada dekad-dekad terdahulu.
Menyentuh mengenai pengajian teater di UMS, Andika Aziz memberitahu modul kursus telah dibentuk dan akan dimulakan pengajiannya pada Mei ini selaras dengan kemasukan para pelajar baru.
Menurutnya, program pengajian teater di UMS akan menitikberatkan aspek praktikal berbanding teori. Para pelajar yang mengikuti pengajian teater dikehendaki melakukan kajian terhadap teori-teori yang dipelajari bagi menghabiskan produksi.
Kursus berkaitan dengan pengorganisasian yang meliputi aspek pengurusan dan pemasaran teater yang selama ini menjadi agenda perbincangan bagi mewujudkan teater profesional di Malaysia akan lebih dititikberatkan dalam penawaran kursus, ujarnya.
''Perbincangan mengenai konsep dan strategi pemasaran teater akan dilakukan melalui kursus Organisasi dan Pentadbiran Teater dan kursus Pemasaran Teater 1 dan 2. Melalui kursus-kursus ini diharap akan menjadi panduan kepada asas pembentukan teater profesional,'' kata beliau.
Antara kursus-kursus yang dijangka menjadi pilihan ramai pelajar ialah Seni Teater dan Agama, Pengantar Penataan Ruas dan Fabrik, Teater Tragedi, Teori Produksi Kontemporari, Dekorasi dan Tatapentas, Teknikal III- Penataan Cahaya Berkomputer, Komunikasi Grafik dan pelbagai kursus lain.
''Para pelajar yang mengikuti pengajian teater juga diwajibkan menjadi ahli Theatre Lab bagi merealisasikan kegiatan berteater di UMS,'' kata Andika.
Menurutnya, perkembangan teater di peringkat universiti dapat mencorakkan lagi keindahan dan keunikan seni teater di Malaysia.

Pameran Terbuka ' 97 Galeri Shah Alam

Hasil seni yang unik ini memperlihatkan soal kepentingan manusia dan pegangan hidup menjadi landasan pelukis untuk meluahkan perasaan melalui seni lukis.
Keadaan itu menyebabkan pameran lukisan Pameran Terbuka '97 yang berlangsung di Galeri Seni Shah Alam, Selangor, baru-baru ini menampilkan persepsi visual yang berlainan.
Sebanyak 120 pelukis mengambil bahagian pada pameran ini. Mereka melontarkan pelbagai media seni tampak dengan gaya tersendiri.
Antara pelukis yang mengambil bahagian pada pameran ini ialah Kamal Shamsuddin, Khoo Kim Chuan, Yeong Kim Chuan, Mohd Ifhammudin, Tajuddin Md. Saman, Imran Othman, Rosyuda Othman, Mohammed Zaki Zakaria dan Mohd. Aris Atan.
Pelbagai bentuk seni tampak diketengahkan. Antaranya karya-karya kanvas dengan media-media seperti cat air, campuran, pastel, akrilik dan cat minyak. Tidak ketinggalan beberapa karya arca, khat, cetakan kayu dan komputer.
Gaya catan terang dan tekstur kasar yang menggetarkan jiwa juga menjadi lambang pelukis untuk mengetengahkan idea masing-masing kepada khalayak.
Mereka juga menjadikan ilusi visual untuk menyatakan keinginan dan kedamaian pada gaya sapuan lembut pada beberapa lukisan juga melambangkan keharmonian hidup.
Pelukis Anuar Dan, misalnya menggunakan gaya campuran terang untuk menggambarkan suasana dusun buah-buahan melalui karyanya.
Gaya sapuannya yang unik menggunakan kanvas yang menjadi latar belakang pada karyanya memberi gambaran tentang unsur-unsur alam yang diabadikan.
Anuar bijak menggunakan gaya catan campuran warna cat minyak terang warna merah, hijau dan kuning pada kanvasnya mampu menggamit hati khalayak seni.
Shahrul Awang pula menggunakan pendekatan figuratif dalam membicarakan makna di sebalik musim buah-buahan kepada khalayak. Sekali gus, memaparkan nilai-nilai artistik tumbuhan tropika negara ini.
Gaya ini begitu menarik kerana ia menggambarkan musim buah-buahan telah tiba dengan warna hijau yang terang.
Musim yang tiba ini telah memberikan rezeki kepada penggemar buah-buahan tempatan yang mampu menikmatinya dengan sepuas-puasnya.
Begitu juga dengan karya Nasrul Hisham Jamaludin yang menggunakan gaya sapuan campuran bagi menghasilkan Siri Kepompong II.
Gaya arca ini menampilkan warna biru dan hitam untuk menggambarkan suatu kehidupan baru bermula daripada kepompong sebelum menjadi kehidupan dewasa.
Hidup yang dikongkong di dalam sarang menyebabkan kepompong tidak bebas untuk melakukan apa sahaja.
Irma Murni Ismail pula menampilkan karya Tradition of Coinswear pendekatan dekoratif menggunakan media campuran bagi menghasilkan karya seninya yang unik.
Karung guni yang digunakan untuk tekatan ini dihasilkan untuk menggambarkan bentuk pakaian tradisional zaman dahulu yang unik dan indah.
Bentuk sulaman benang dan tekatan yang menarik ini banyak digunakan oleh penggemar pakaian tradisional untuk menghasilkan satu seni yang menjadi khazanah negara.
Seni tekatan perlu dipelihara kerana ia mungkin hilang ditelan zaman jika generasi sekarang tidak mempelajarinya.

Tuesday, February 17, 1998

Menifestasi bangsawan perlu diteruskan

Oleh RAJA SABARUDIN ABDULLAH
BANGSAWAN, opera Melayu yang mula bertapak di Pulau Pinang sekitar 1880-an, kini kian tercicir dan dilupai oleh masyarakat setempat.
Penggiatnya seperti Rahman B, Ahmad B, Mahmud June, Allahyarham Rahim B dan ramai lagi orang kuat bangsawan semakin hilang daripada ingatan peminat bangsawan yang pada suatu ketika membanjiri persembahan opera Melayu itu di ceruk rantau Tanah Melayu.
Pada zaman kemuncaknya, bangsawan merupakan media penting bagi orang Melayu dalam mengisi masa lapang mereka.
Justeru itu, bangsawan dianggap seni hiburan yang tiada tolok bandingnya ketika itu.
Hari ini segala-galanya tinggal kenangan dan usaha pihak Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan untuk memulih serta menghidupkan semula kegiatan ini seperti zaman kegemilangannya tidak terlaksana.
Usaha murni kementerian itu bagaimanapun sewajarnya diberi pujian kerana setidak-tidaknya sekitar 1980-an telah diadakan manifestasi bangsawan peringkat kebangsaan.
Namun, usaha itu gagal dan manifestasi tidak dapat diteruskan sekalipun pada peringkat awalnya telah diadakan beberapa siri kursus bangsawan secara intensif di beberapa negeri.
Melaka, Kedah, Perak, Pulau Pinang serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah menubuhkan kumpulan bangsawan masing-masing untuk merealisasikan hasrat kementerian.
Namun, kumpulan-kumpulan bangsawan itu juga turut tertimbus seperti leburnya manifestasi bangsawan.
Beberapa nama seperti Onie Moraza di Perak, Mahmud Jelani di Melaka dan Murad Ibrahim di Kedah merupakan aktivis bangsawan yang sedaya upaya berusaha untuk menghidupkan opera Melayu itu tetapi mereka juga menemui kegagalan.
Orang lama seperti Rahman B, Mahmud June, Syed Hamid, Allahyarham Rahim B turut turun ke padang dengan mengendalikan latihan intensif bangsawan dari semasa ke semasa.
Usaha gigih mereka itu juga tidak berjaya untuk mengembalikan zaman kegemilangan yang pernah mereka lalui.
Bangsawan sebenarnya merupakan suatu persembahan teater yang cukup unik dan menarik.
Persembahannya mencakupi semua aspek bidang seni dan budaya Melayu seperti nyanyian, tarian, seni mempertahankan diri, pakaian, cara hidup, arca tampakan dan sebagainya.
Tidaklah menghairankan seorang pelakon yang ingin dinobatkan sebagai orang muda bangsawan bukan saja segak, kacak dan tampan malahan perlu juga boleh menyanyi, menari, pandai bersilat dan semestinya baik dalam seni lakonannya.
Ramai yang tentunya bersetuju bahawa perkara utama sehingga bangsawan kini kian tercicir dan terpinggir adalah disebabkan kos untuk mementaskan sebuah persembahan bangsawan terlalu tinggi berbanding teater moden.
Persembahan bangsawan memerlukan prop pelbagai yang meliputi set latar, sidewing, mahkota alam dan tirai berlapis-lapis yang menelan perbelanjaan yang banyak.
Hari ini pihak penaja lebih senang untuk menaja teater moden berbanding bangsawan.
Mereka merasakan khalayak teater hari ini lebih menyenangi drama moden berbanding bangsawan.
Di samping itu masalah skrip juga merupakan faktor penghalang bagi mementaskan bangsawan.
Skrip bangsawan bukanlah kerja mudah kerana ia melibatkan cerita yang klasik, bahasa yang indah dan juga pengetahuan budaya yang perlu dimiliki oleh penulisnya.
Langkah yang positif haruslah diambil oleh pihak tertentu, terutamanya Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan bagi mempastikan opera Melayu itu akan terus hidup dan diminati oleh peminat teater.
Apapun kita sewajarnya mengucapkan terima kasih kepada Akademi Seni Kebangsaan yang memasukkan teater bangsawan sebagai satu daripada bidang yang perlu diambil oleh para pelajarnya.

Sunday, February 15, 1998

Panggung negara tercanggih

MUKADIMAH - PEMINAT seni sudah pasti tidak akan melepaskan peluang menyaksikan pementasan pertama apabila Panggung Negara (PN) yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur membuat persembahan keseniannya yang dijangka akan dimulakan pada akhir tahun ini.
Pementasan teater atau persembahan muzikal oleh Panggung Negara itu akan ditunggu-tunggu kerana PN bukan sahaja akan membuat persembahan, tetapi turut mempamerkan teknologi tercanggihnya. Sebelum ini, kita telah dicanang bahawa dengan siapnya Panggung Negara, penggiat kesenian tempatan akan dapat melihat sebuah kompleks seni dan teater yang tercanggih di dunia.
Bagaimanapun apa yang menjadi persoalannya sekarang ialah adakah penggiat-penggiat seni tempatan mempunyai kemampuan ataupun kualiti seperti yang diperlukan untuk memenuhi kehebatan PN itu sendiri.
Atau adakah kita boleh diyakinkan dengan keupayaan lima orang kakitangan Panggung Negara yang dihantar khas untuk menimba pengalaman dengan beberapa syarikat teater terbesar di United Kingdom (UK) selama tiga bulan itu?
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kemampuan Panggung Negara dan segala teknologi canggih yang dilengkapkan untuknya, wartawan Mingguan Malaysia, Hashnan Abdullah telah menemu bual lima orang tenaga belakang tabir yang bekerja keras untuk menjamin kelancaran Panggung Negara. Mereka ialah dua orang juruteknik iaitu Abdul Razak Rahman dan Zulkifli Hussein, Zulkifli Abd. Rashid (Pegawai Kebudayaan), Jamaluddin Mohd Nor (Pembantu Pentas) dan Badrulzaman Abd Jalil (Pereka Panggung Negara).
PANGGUNG Negara apabila siap sepenuhnya nanti sudah pasti akan dapat memberikan semangat yang segar kepada semua penggiat kesenian artistik tempatan.
Kesegaran itu bukan hanya berasaskan kepada persembahan kesenian artistik sahaja tetapi juga sebagai suatu era baru dalam pemupukan budaya kerjanya yang lebih profesional dan komited. Mungkin ketika itu, mereka tidak lagi bergantung kepada kepopularan pelakon yang bertaraf bintang untuk menarik minat masyarakat tempatan melihat pementasan mereka sahaja.
Tetapi bagi lima orang anak muda yang dihantar ke United Kingdom ini beranggapan bahawa pengalaman yang diperolehi itu tidak hanya merangkumi bagaimana mengurus teater-teater besar tetapi lebih daripada itu.
"Walaupun kami ke sana hanya dalam masa tiga bulan tetapi pengalaman yang diperolehi itu boleh menolong kami mengurus operasi teater di PN itu nanti,'' kata mereka lagi.
Kelima-lima mereka telah menjalani kursus selama tiga bulan di 16 buah syarikat teater dan terlibat sebagai krew dalam 12 buah teater yang terkenal di UK.
Antara syarikat teater di mana mereka pernah bertugas ialah Places Theater, London Royal National Theater, Theater Clwyd, Empire Theater, Bridgewater Hall dan The Oldman Coliseum Theater.
Antara pementasan teater yang mereka pernah terlibat ialah Les Miserable, From A Jack To A King, Equess dan Henry V.
Menurut Zulkifli Abd Rashid, adalah mustahil untuk menggunakan sepenuhnya kecanggihan teknologi yang ada di PN itu, khususnya dalam jangka masa yang terdekat.
Beliau yang berkursus dalam lapangan Pengurusan Pentas dan Produksi menambah, beliau terpaksa mengambil masa yang panjang untuk menggunakan segala kecanggihan peralatan yang ada di PN.
Bagaimanapun katanya, itu tidak pula menggambarkan bahawa pengalaman selama tiga bulan di UK itu kurang mampu memberi input yang sewajarnya kepada setiap teater yang akan dipentaskan di PN nanti.
"Penggunaan teknologi itu secara optimum adalah mengambil masa tetapi itu tidak menggambarkan pengalaman kami di UK itu kurang mampu memberi input yang sepatutnya,'' jelas beliau.
Menurut Badrulzaman Abd Jalil, penggarapan kepada pengalaman di UK itu amat bergantung kepada sejauh manakah kuatnya nilai-nilai kreativiti yang ada pada seseorang pengarah.
Katanya, ini kerana kursus selama tiga bulan di UK itu hanyalah sekadar membantu untuk menjelmakan nilai-nilai kreativiti seseorang pengarah teater sahaja.
"Kami berlima hanya boleh membantu pengarah dalam menjelmakan kehendak kreatifnya itu sama ada dari segi pementasan teater atau budaya kerja.
"Tidak ada gunanya jika PN mempunyai segala kecanggihan teknologi tetapi nilai-nilai kreativiti seseorang pengarah itu tidak mampu menampilkan unsur mengagumkan penontonnya,'' katanya. Beliau yang berkursus dalam pereka set dan kostum menjelaskan, kreativiti dalam menghasilkan unsur-unsur kekaguman dan berkualiti dipentingkan dalam teater di UK.
Katanya, walaupun kepentingan itu kerana mereka berteraskan keuntungan tetapi budaya kerja seperti itu adalah penting dalam usaha membangunkan kedudukan teater tempatan ke tahap yang boleh dibanggakan.
"Di sana unit produksi dan kreatif lebih dipentingkan dan sering kali menjadi perbualan berbanding dengan kepopularan pelakon yang bergelar bintang,'' jelasnya lagi.
Menurut Jamaluddin Mohd Nor pula, pengalaman selama tiga bulan itu untuk membantu memperkuatkan lagi kualiti pementasan teater supaya perkembangannya selaras kehendak kerajaan.
Tetapi jelasnya, perkembangan kualiti itu tidak hanya dikhususkan untuk pementasan di PN sahaja tetapi turut melibatkan panggung teater yang lain di seluruh negara.
"Pengalaman kami di UK tidak hanya untuk Panggung Negara yang baru itu tetapi turut merangkumi panggung teater lain di seluruh negara.
"Ini kerana pihak kerajaan tidak mahu dengan adanya PN yang baru itu maka panggung teater yang lain terpaksa gulung tikar,'' jelas beliau yang berkursus dalam pereka bunyi.
Tambahan pula, kata Zulkifli Hussein, tidak semua orang berkesempatan untuk menimba pengalaman bekerja dengan syarikat teater dan terlibat dalam pementasan teater-teater terkenal di UK.
Mungkin dengan peluang itu, tambahnya yang berkursus dalam mekanikal pentas dan flying system, dapat memberikan peluang kepada mereka berlima untuk menilai teknik dan budaya kerja yang sesuai.
"Walaupun terasa seronok apabila dapat melihat bagaimana krew di sana bekerja untuk menjayakan pementasan Les Miserable dan Henry V tetapi tidak semua cara mereka bekerja sesuai untuk digunakan di negara kita,'' katanya.
Selain itu, jelas Abdul Razak Rahman, aspek komitmen krew dan juga pelakon kepada pementasan teater yang mereka serta adalah tinggi. Katanya, komitmen yang tinggi itu telah membolehkan penggiat teater di sana merancangkan teater mereka dengan serapi yang mungkin.
"Berlainan di sini. Sebulan sebelum pementasan itu dijalankan, nama pelakon masih belum ditetapkan lagi.
"Ini menyebabkan pementasan itu tidak dapat memenuhi kehendak dan keperluan penonton,'' katanya yang mengikuti kursus dalam bidang pereka cahaya.

Tuesday, February 10, 1998

Pertemuan gabungan dua karya besar

Penonton yang memenuhi 300 kerusi Panggung Eksperimen Unimas mulanya tersenyum dan tersengih melihat gelagat Taharah Ahmad melakonkan dendangan lagu klasik 50-an sambil menari bagi menjiwai watak Nyai Sunarti, ciptaan Sasterawan Negara itu dalam Lantai T. Pinkie.
Sejurus selepas itu kita tidak lagi menonton Taharah Ahmad sebagai dirinya sebaliknya mendengar dan melihat Nyai Sunarti bercerita, beraksi, ketawa dan menangis.
Mementaskan monolog daripada Lantai T. Pinkie dan The Stronger karya August Strindberg bukanlah suatu usaha yang mudah terutamanya bagi seorang pengarah muda yang mungkin pertama kali mengarah naskhah yang amat berat. Ini dikuatkan lagi dengan barisan pelakon yang juga pertama kali melakonkan monolog.
Dua monolog ini adalah gabungan projek Program Drama dan Teater iaitu Produksi Teater 2 dan 3 arahan Hamzah Tahir. Kedua-dua pelajar daripada program tersebut bergabung menjayakan keseluruhan persembahan termasuklah sebagai pelakon dan pengurusan.
Persembahan dimulakan dengan Nyai Sunarti tersenyum di kerusi antik di sebuah kedai kopi. Dia berkebaya lace pendek berwarna merah berkorset hitam, kain batik Jawa panjang yang berbelit rapi, selendang lace kemerahan tersangkut di bahu dan rambutnya yang tersanggul rapi di kiri dan kanan.
Sejurus kemudian dia bangun dan menyanyikan sebuah lagu berirama 'cha cha' dan kabaret. Lenggoknya yang lembut, menggiur dan mempesonakan. Ia mengingatkan kita tentang filem-filem Melayu pada zaman tersebut.
Walaupun mempunyai paras wajah yang sederhana Taharah Ahmad menampilkan lakonan yang baik sebagai Nyai Sunarti. Wataknya sebagai orang yang kental dan tidak mudah kalah sekali gus menggoda dalam diam-diam, berjaya dihidupkan.
Latar belakang dan pengalaman Taharah sebagai penari di Kompleks Budaya Johor dan penglibatannya dalam program-program seni tari di Unimas amat membantunya dalam penampilan gerak dan jiwa Nyai yang meronta marah, intim, suka dan duka seorang perempuan simpanan lelaki penjajah Belanda.
Taharah pernah muncul dalam muzikal Tanah Air Api Angin karya Dr. Hatta Azad Khan tiga tahun lalu dan teater kontemporari Corrugated karya Dr. Chandrabhanu.
Taharah, pelajar program Drama dan Teater di Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif, Unimas berkata beliau akan terus melibatkan diri dalam teater.
''Teater mendisiplinkan diri saya. Saya banyak belajar daripada teater dan masih belajar, bukan saja tentang teater tetapi juga tentang hidup kita,'' katanya.
Jefferey Talib, pelajar tahun akhir Program Sinematografi, melakonkan watak Mamak tuan punya kedai kopi, watak yang menghubungkan dua monolog Nyai Sunarti dan Sharifah Rokiah.
Watak Sharifah Rokiah adalah watak yang diadaptasikan untuk disesuaikan dengan watak Nyai Sunarti dalam satu ruang lingkup yang sama. Walaupun menolognya berbeza tapi isu-isunya adalah mirip iaitu tentang pergolakan jiwa wanita, perempuan simpanan, wanita yang terkongkong dan wanita yang kental jiwanya.
Penampilan Vanita Abdul sebagai Sharifah Rokiah agak menarik. Mungkin kerana perwatakan dan gaya busana serta iras wajahnya yang membayangkan kita pada wanita-wanita kelas pertengahan zaman 50-an. Vanita sendiri baru menamatkan pengajian sarjananya dalam bidang Pengarahan Drama di University of Syracuse, New York.
Keberanian pengarah muda Hamzah Tahir membawa naskhah monolog satu jam harus dipuji dan diberi sokongan. Nama Hamzah bukanlah baru dalam arena lakonan di Malaysia. Beliau pernah memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Pekan Teater Kebangsaan melalui teater Tanah Bernanah. Waktu itu beliau masih menuntut di USM.
Beliau pernah muncul dalam produksi pengarah besar seperti Krishen Jit, Marion D'Cruz, Azanin Ahmad, Dr, Chandrabhanu dan Dr. Hatta Azad Khan.
Sepulangnya dari London, selepas mengikuti pengajian sarjana dalam bidang sinografi, beliau terus aktif.
Pertemuan akan dipentaskan sebagai acara utama dalam Bengkel Produksi Teater anjuran bersama Unimas, Pejabat Kesenian dan Kebudayaan, Kementerian Pembangunan sosial Sarawak serta Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak.
Bengkel ini akan bermula di Miri seterusnya ke Sibu dan Kuching, Sarawak April ini. Unimas juga bercadang untuk membawa pementasan ini menjelajah ke Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pada penghujung April.

Friday, February 06, 1998

Teater dan randai antara aktiviti ASK

Selain itu, ASK juga mengadakan seminar sehari kan pada 25 Februari ini di ASK, Jalan Ampang, Kuala Lumpur manakala seminar pengurusan persembahan kesenian pula akan diadakan pada Disember.
Penolong Pengarah Jabatan Teater ASK, Rosminah Tahir, berkata program yang disusun itu adalah antara beberapa aktiviti teater dan seni yang akan digerakkan oleh akademi itu sepanjang tahun.
Beliau berkata, teater Bendahara Garang Perak mengisahkan Sultan Perak berdukacita kerana puterinya, Puteri Limau Purut dilarikan oleh Raja Acheh semasa menyerang Perak. Megat Terawis dititahkan Raja Perak pergi ke Acheh untuk membawa pulang puterinya.
Teater ini ditulis dan diarahkan oleh A. Rahman Bakar akan dipentaskan di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (Matic) Jalan Ampang pertengahan April ini.
Manakala randai Anggun Nan Tungga pula mengisahkan seorang pemuda, Anggun pergi bertapa di puncak Bukit Gunung Ledang. Anggun ditunangkan dengan anak pamannya, Gondan Gondoriah sewaktu kecil.
Satu pertandingan diadakan untuk memilih bakal suami Gondan dan Anggun berjaya menewaskan Nangkodo Baha di gelanggang untuk memiliki Gondan.
Skrip dan arahan Dahmir Amin ini akan dipentaskan di Panggung Negara, Jalan Tun Ismail, 17 hingga 19 April ini.
Manakala persembahan makyung Anak Raja Gondang versi kedua pula mengisahkan tentang Seri Rama membawa pulang Siti Dewi ke negeri Ayuthia dan dalam perjalanan mereka menempuh pelbagai dugaan.
Makyung arahan Khadijah Awang ini pula akan menemui khalayak di Panggung Negara, 27 hingga 29 Mac ini.
Teater Megat Terawis mengisahkan tentang pahlawan Perak yang gagah perkasa telah diarahkan oleh Raja Perak untuk mengambil puteri Perak yang dilarikan ke Acheh semasa Acheh menyerang Perak.
Megat Terawis berjaya membawa pulang puteri Perak walaupun nyawanya terancam.
Menurut Rosminah, program teater dan persembahan seni diadakan bagi membolehkan kegiatan teater berkembang serta memberi peluang kepada pelajar ASK mengetengahkan bakat masing-masing di samping melahirkan penggerak teater berwibawa di negara ini.
''ASK mengorak langkah dengan mengadakan aktiviti ini bagi menyemarakkan persembahan teater kepada khalayak dalam melahirkan generasi penerus warisan seni,'' katanya.
Menurutnya beliau, ASK meneruskan aktivitinya ke arah melahirkan khalayak seni dan kebudayaan di kalangan pelajar yang mengikuti pengajian di situ.
Beliau berkata, melalui aktiviti ini ASK yakin sumbangannya akan membolehkan ASK memberi sokongan ke arah menghidupkan kembali warisan budaya bangsa.
Menurutnya, sejak diwujudkan empat tahun lalu, ASK berjaya mementaskan banyak teater dan kegiatan seminar.
''Kita peka dengan masalah yang dihadapi oleh penggerak teater dan berusaha melatih serta menghasilkan penggiat teater berilmu.
''Kita percaya aktiviti ASK akan memberi peluang kepada pelajar untuk mengembangkan beberapa cabang seni tradisional yang perlu dikekalkan kerana ia adalah khazanah penting kepada negara,'' katanya.
Katanya, ASK mempertahankan kegiatan teater kerana cabang seni memberi peluang kepada pelajar untuk berkecimpung dalam kesenian Melayu.

Wednesday, February 04, 1998

SItuasi dwibahasa kita

TULISAN Datuk Abdullah Ahmad dari Tudor City, New York hari Isnin lalu amat menarik, meskipun topik yang diperkatakannya topik lama; yakni betapa perlunya orang Melayu hari ini menguasai pelbagai bahasa. Menurut beliau, sebelum merdeka dahulu bilangan orang Melayu, termasuk para pemimpinnya, yang sekali gus menguasai bahasa Melayu dan Inggeris, amat sedikit. Dan hingga kinipun keadaan ini masih belum berubah.
Soal betapa perlunya beberapa bahasa dikuasai dalam dunia yang sudah begitu mengecil sehingga menjadi sebuah desa sejagat ini, pada hemat saya, sudah tidak perlu diperkatakan lagi - semuanya sudah mengerti dan menerimanya. Malah jika kita ke Eropah hari ini, yakni pada zaman pasca-Kesatuan Eropah (EU) ini, orang Eropah yang menguasai kurang daripada tiga bahasa sudah merupakan sesuatu yang jarang kita temui.
Mundurnya keadaan dwibahasa di kalangan orang Melayu telah begitu sering di hubungkan dengan kemunduran orang Melayu sendiri - menyebabkan mereka ketinggalan sedangkan orang lain bergerak maju bersama peredaran zaman moden. Persepsi tersebut di kalangan beberapa pemimpin kita telah menyebabkan dilaksanakan di negara ini pendekatan dan dasar bahasa serta pendidikan yang agak keterlaluan menekankan penggunaan dan penguasaan bahasa Inggeris.
Dan bila pendekatan tersebut disambut dengan keghairahan yang malah lebih keterlaluan pula pada peringkatnya yang lebih bawah (dan oleh pihak-pihak berkepentingan politik tertentu), maka terjadilah usaha pelaksanaan pemantapan bahasa Inggeris yang seringkali dengan terang-terangan mengetepikan dasar pemantapan dan pemodenan bahasa kebangsaan kita sendiri - suatu dasar nasional yang bukan sahaja masih jauh daripada tercapai malah sudah nyata terabai dan berkecai-kecai kini.
Saya sendiri sebenarnya tidak mampu menjelaskan secara sosiologis mengapa orang Melayu tidak dapat memperoleh manfaat sepenuhnya daripada situasi dwibahasa, sedangkan menurut hemat saya orang Melayu merupakan antara kelompok di dunia yang begitu terbuka dan liberal sikapnya dalam soal penerimaan bahasa asing atau pengaruh bahasa asing ini. Misalnya, dalam mengucapkan bahasa asing - misalnya sahaja dalam membaca Quran - orang Melayu bukan sahaja paling mudah menyesuaikan lidahnya, malah, seperti yang dibuktikan oleh hasil Tilawah Membaca Quran peringkat antarabangsa, dapat mengatasi kemampuan para penutur bahasa tersebut sebagai bahasa ibundanya.
Sejak beberapa lama, orang Melayu merupakan orang yang bukan sahaja mudah mempelajari bahasa asing, tetapi paling mudah hilang penguasaannya akan bahasanya sendiri setelah mempelajari bahasa asing itu. Kirimlah seorang Melayu untuk mempelajari sesuatu bidang ilmu dalam bahasa Inggeris katakanlah untuk lima atau enam tahun, maka orang itu besar kemungkinannya bukan sahaja akan mahir bertutur dalam bahasa asing itu dengan baik - terutamanya untuk wacana bidang ilmunya itu - tetapi akan hilang kemampuannya untuk bercakap perkara iseng-iseng dan seharian dalam bahasanya sendiri.
Keadaan inilah, bagi saya, yang menjelaskan keadaan sebelum kemerdekaan yang dihuraikan oleh Datuk Abdullah Ahmad itu - yakni para pemimpin Melayu yang di satu pihak ''hanya petah berbahasa serta menulis dengan baik dalam bahasa inggeris dan ... (di pihak lain) yang petah bercakap dan menulis dalam bahasa Melayu sahaja.''
Meskipun banyak kedudukan dan manfaat yang telah diperolehi golongan berbahasa Inggeris itu selepas tercapainya kemerdekaan, namun cetusan awal kesedaran politik, budaya, sastera dalam sejarah sosial negara ini tidak dapat dinafikan telah bercambah di kalangan mereka yang menguasai bahasa Melayu.
Hal ini bukanlah disebabkan oleh hakikat bahawa kekurangan penguasaan bahasa asing itu telah menjadikan mereka lebih parochial dan lebih menentang pengaruh luar. Malah sebaliknya ternyata bahawa mereka lebih berkemampuan menyerap dan menghayati pengaruh luar itu (ideologi nasionalisme dan modernisme itu adalah pengaruh dari luar). Tetapi lebih penting daripada itu mereka lebih berkemampuan mengungkapkan kembali pemikiran dari laur itu dalam bahasa mereka sendiri dan menyalurkannya kepada masyarakat mereka sendiri dalam bentuknya yang sudah diungkapkan kembali itu.
Bagaimanakah golongan orang Melayu yang lebih mantap penguasaan bahasa Melayunya daripada penguasaan bahasa asingnya itu lebih terdedah kepada pengaruh asing dan unsur pemodenan dari luar itu? Saya menamakan proses itu sebagai ''pemodenan tidak langsung''. Sebahagian daripada golongan itu amat kuat dipengaruhi oleh tulisan dan pemikiran para cendekiawan Indonesia dan Timur Tengah yang telah terlebih dulu menyerapkan pengaruh barat dan kemudiannya mengungkapkannya kembali dalam bahasa mereka masing-masing.
Situasi dwibahasa di kalangan orang Melayu hari ini tidaklah kurang menarik dan rencamnya. Jumlah anak Melayu yang hanya mampu mengucapkan pemikirannya dalam bahasa Inggeris - dan tidak mampu menyatakan fikiran dalam bahasanya sendiri - setelah hanya beberapa tahun belajar dinegeri orang masih tidak berkurangan. Darjah toleransi orang Melayu terhadap pencemaran bahasanya sendiri, malah terhadap pengcreolean bahasanya, melalui penggunakan bahasa campur aduk tetapi tinggi - baik dalam penggunaan sehari-hari, dalam penggunaan rasmi maupun dalam penggunaan awam (termasuklah dialog filem dan drama TV).
Toleransi tinggi terhadap bahasa asing ini, meskipun dominan, tidaklah terbatas kepada golongan atasan sahaja. Malah di kawasan-kawasan golongan menengah rendah dan golongan pekerja seperti di Gombak - tempat tinggal saya - sekolah-sekolah tadikanya mengiklankan pendidikan yang ditawarkannya sebagai berkata ''pengantar bahasa Inggeris''. Dan sekolah-sekolah itu amat laris, jika didasarkan pada kemacetan jalanraya yang disebabkannya sewaktu anak-anak datang ke sekolah atau pulang dari sekolah.
Memandangkan bahawa secara umumnya setiap anak Melayu hari ini mendapat didikan bahasa Inggeris beberapa jam seminggu sejak tahap tadika hinggalah ke peringkat universiti, maka amatlah sukar bagi saya untuk memahami mengapa soal dwibahasa ini masih dianggap salah satu masalah besar orang Melayu - baik Melayu Baru maupun Melayu Lama.
Secara umumnya, terdapat beberapa kategori dalam situasi kedwibahasaan di kalangan orang Melayu;
pertama, terdapat satu golongan - terutamanya golongan perniagaan dan profesional - yang hanya mampu bertutur dalam bahasa Inggeris. Bahasa Inggerisnya cukup baik, tetapi jika diteliti kandungan wacananya bahasa Inggeris itu sekadar digunakan untuk wacana bidang ikhtisasnya yang sempit dan tidak pernah digunakan untuk mengungkapkan pemikiran yang mendalam lagi canggih. Dalam bahasa Melayu golongan ini tidak mampu bertutur meskipun untuk iseng-iseng sahaja.
Keduanya, golongan yang menggunakan hanya bahasa Inggeris untuk wacana profesional dan formal. Bila orang itu menggunakan bahasa Melayu maka yang digunakannya ialah bahasa loghat daerah untuk membincangkan soal sehari-hari yang biasa dan tidak formal.
Ketiga - dan golongan inilah yang paling besar - ialah orang yang menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris secara campur aduk (code switching). Meskipun kebiasaan ini berleluasa dalam situasi perbualan sehari-hari yang tidak formal, namun terdapat juga ''tokoh-tokoh yang menggunakan bahasa demikian dalam perbualan awam dan formal (seperti di TV). Antara penutur demikian yang cukup menyakitkan dan memualkan sensitiviti kebahasaan saya ialah Datuk Megat Joned, Chef Wan, Sheila Majid, Ida Nerina, Ning Baizura dan berpuluh-puluh lagi.
Keempatnya, golongan yang menggunakan sebahagian besar bahasa Melayu dalam pertuturannya tetapi mengucapkan kata-kata bahasa itu menurut cara penuturan orang Inggeris (selalunya dengan pelat yang dibuat-buat). Antara contoh penutur demikian yang tidak kurang memualkan ialah Pembaca Berita RTM, Farid Ismeth, dan pengacara hiburan TV Azwan Ali. Turut terlibat adalah ratusan para pengacara TV dan radio yang sebahagian besarnya mengucapkan bahasa Melayunya secara pelat, terutamanya dalam mengucapkan bunyi \r\.
Kelima terdapat segolongan yang hanya menulis dan bertutur - saya tidak pasti apakah mereka ini juga membaca (?) - hanya dalam bahasa Melayu.
Keenam, terdapat suatu golongan kecil yang bertutur dan menulis dalam kedua-dua bahasa itu dengan cukup biak dan teratur. Jika mereka bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu, mereka menggunakan bahasa Melayu yang teratur, betul tata bahasanya dan mampu pula mengucapkan pemikiran moden. Demikian pula jika mereka menggunakan bahasa Inggeris mereka mengunakan bahasa itu dalam bentuknya yang betul, teratur dan Idiomatis. Golongan ini memang amat kecil bilangannya, namun saya kira tidak akan banyak orang yang tidak bersetuju jika saya katakan TPM Anwar Ibrahim sebagai salah satu contoh yang menonjol dari kategori ini.
Pada hemat saya, jika Datuk Abdullah Ahmad - dan beberapa pemimpin lain sebelumnya - meratapi betapa mundurnya situasi kedwibahasaan di kalangan orang Melayu, maka saya kira yang dimaksudkannya ialah kedwibahasan jenis yang keenam itu. Dalam proses pemodenan masyarakat Melayu, kita memerlukan orang Melayu yang mampu mempelajari dan menguasai bahasa asing itu demi menyerapkan gagasan-gagasan canggih dari peradaban asing itu dan kemudiannya mengungkapkannya kembali secara original dan kreatif dalam kerangka dan suasana pemikiran dan bahasa kita sendiri.
Oleh kerana tidak terdapatnya ''pertembungan'' canggih yang demikian dengan pemikiran dan ilmu dari luar - dan tidak pula terdapat kemampuan untuk memikirkan serta mengungkapkannya kembali dalam bahasa sendiri - maka kita selamanya akan menjadi mangsa yang terperangkap dalam jebak pemikiran iseng-iseng laras loghat asing dan bahasa kita sendiri pada peringkat rendahnya sahaja. Sebab itulah, bila kita berhadapan dengan krisis ekonomi sejagat, misalnya, kita bukan sahaja tidak mampu melahirkan pandangan yang khusus merupakan sudut pandangan kita sendiri. Malah kita hanya mampu membincangkan krisis itu dalam bahasa Inggeris dan dalam kerangka wacana bahasa itu sahaja.
Daripada terjemahan dan laporan yang dapat saya baca dalam bahasa Inggeris, saya mendapat kesan bahawa dalam bahasa Arab terdapat suasana perdebatan dan kecendekiawanan yang cukup tangkas membincangkan persoalan pemodenan, pertembungan peradaban, budaya, sains, dan seni dalam bahasa Arab di Timur Tengah (misalnya di Mesir) - dan ada sasterawan yang menulis dalam bahasa itu sampai memenangi Hadiah Nobel bagi kesusasteraan. Dari kalangan anggota masyarakat saya sendiri yang menguasai bahasa Arab, saya mengharapkan akan adalah sumbangan menerangi perbincangan kita sendiri tentang persoalan-persoalan besar itu. Namun ini tidak pernah berlaku - yang kita terima hanyalah perbincangan yang berulang-ulang tentang masalah teknis dan hukum hakam Islam.
Demikianlah, keadaan kediwbahasaan itu terdiri daripada pelbagai kategori. Bila kerajaan mendorongkan situasi dwibahasa, maka seruan itu tampaknya telah disambut dengan pelbagai kategorinya yang tidak kita perlukan - malah membahayakan pertumbuhan budaya moden kita; pengucapan campur aduk, pengucapan pelat di radio dan TV, penggunaan bahasa asing di tempat-tempat yang tidak perlu, pengacara TV dan radio yang berbual-bual dalam bahasa-bahasa berlainan (yang amat lucu dan amat memualkan).
Bagi Datuk Abdullah Ahmad, perasaan takut merupakan perasan yang terlintas di mindanya sekali sekala. Namun, kerana saya mendapati bahawa penjelmaan situasi dwibahasa yang tidak diingini inilah yang lebih dominan di kalangan orang Melayu hari ini, maka dalam minda saya perasaan gusar itu sebenarnya merupakan perasan yang terus menerusi bermaharajalela.
Oleh: RUSTAM A. SANI

Tuesday, February 03, 1998

Masaalah ekonomi penggiat teater harus bijak

Soalnya, apakah keadaan ini menyebabkan kegiatan pementasan teater menjadi lumpuh dan tidak bermaya?
Penggiat teater, Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan berkata, kegawatan ekonomi negara walaupun menjejaskan kegiatan teater, tetapi penggiat teater masih mampu menghasilkan persembahan yang bermutu.
Menurutnya, ini adalah sejajar untuk memenuhi permintaan penggemar seni teater yang masih dahagakan teater bermutu serta mempunyai unsur moral untuk berdakwah.
Beliau berkata, penggiat teater boleh menghasilkan persembahan terbaik dengan mengambil kira kos pembikinan yang murah, tetapi mampu menghasilkan mutu persembahan teater yang tinggi.
Noordin berpendapat, pementasan harus dibuat dengan penyusunan terperinci serta mengelak daripada perbelanjaan yang berlebihan.
''Kita tidak perlu membazirkan wang dalam keadaan sekarang untuk mengadakan pementasan. Penggiat teater harus bijak berjimat cermat dengan mengambil pelakon yang tidak meminta bayaran terlalu tinggi. Ini kerana bayaran tinggi boleh menyebabkan kos pementasan teater semakin tinggi,'' katanya.
Sehubungan itu, Noordin mencadangkan penerbit mengambil pelakon yang tidak terkenal tetapi memiliki mutu lakonan yang baik.
Beliau juga tidak menafikan kos pembikinan yang tinggi menyebabkan teater sukar dipentaskan jika penerbit tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh.
Noordin berkata, menghasilkan sesuatu persembahan teater bukan mudah kerana penerbit juga harus memikirkan sama ada teater yang dipentaskan itu mendapat pulangan modal atau sebaliknya.
Katanya, penerbit boleh mementaskan teater yang tidak memerlukan kos pembikinan tinggi sebagai langkah berjimat cermat.
''Pelakon juga boleh menggunakan pakaian sendiri tanpa menyewa bagi membantu mengurangkan kos pembikinan teater. Tiket untuk penonton pula seharusnya dijual dengan harga murah berbanding penjualan tiket antara RM40 hingga RM50 yang terlalu tinggi seperti sekarang,'' tambahnya yang terkenal dengan teater fitrah.
Noordin percaya melalui teater, masyarakat boleh berdakwah kerana teater adalah landasan terbaik disebabkan teater juga mempunyai nilai sastera yang tinggi.
Sementara itu, pengarah teater, Rohani Yousoff berkata, kegawatan ekonomi bukan alasan untuk beliau tidak mementaskan teater.
Bagaimanapun menurutnya, pembikinan teater perlu dibuat secara berhati-hati bagi mengelakkan berlakunya pembaziran sesuai dengan keadaan ekonomi negara sekarang.
''Saya risau dalam keadaan sekarang kerana pembikinan teater mesti menghasilkan sesuatu yang baik kerana penggemar memerlukan teater bermutu untuk ditonton.
''Antara langkah terbaik bagi menjimatkan kos pementasan dalam waktu sebegini ialah dengan mengurangkan bilangan pelakon,'' katanya.
Rohani yang berpengalaman 20 tahun dalam bidang teater berkata, penggiat teater terpaksa menanggung risiko jika teater yang dihasilkan tidak bermutu dan kurang mendapat sambutan khalayak seni.
''Kita perlu berhati-hati kerana untuk menghasilkan sesuatu teater bukan perkara mudah kerana teater memberi kesan terhadap penonton,'' ujarnya yang baru selesai pementasan teater Tiang Seri Tegak Berlima karya Noordin.
Menurut Rohani, beliau tidak akan mengarah teater sendiri dalam keadaan sekarang kerana beliau hanya menunggu undangan untuk mengarah teater.
Dalam keadaan sekarang, beliau giat untuk menulis kerana ia adalah bidang baru yang sedang diceburinya.
Pemilik Actor's Studio, Faridah Merican pula berkata, badan-badan korporat perlu menaja kegiatan teater supaya khalayak teater yang dahagakan teater tidak dipinggirkan.
Beliau berkata, melalui tajaan itu, kegiatan teater boleh dikembangkan ke tahap yang memuaskan tanpa menjejaskan mutu teater negara.
''Penggiat teater menghadapi masalah kewangan untuk menghasilkan teater yang bernas supaya teater yang dihasilkan mendapat sambutan khalayak seni.
''Kita boleh berunding dengan swasta untuk membantu mengembangkan teater kerana teater memerlukan sokongan moral sektor korporat,'' tegasnya.
Menurutnya perkembangan teater yang semakin rancak menyebabkan banyak kumpulan teater memerlukan bantuan bagi meneruskan kegiatan mereka.
Faridah yang banyak mengarah beberapa teater Inggeris menaruh keyakinan teater negara terus berkembang walaupun ekonomi negara tidak mengizinkan.
Beliau juga dijangka akan mementaskan beberapa teater baru tahun ini selepas berjaya mementaskan beberapa teater antaranya The Street Car Named Desire dan Trees.

Monday, February 02, 1998

Tikam dari belakang

Khalayak sastera pasti tertanya-tanya apakah yang mendorong beliau mengambil keputusan sedemikian drastik memandangkan usianya belum sampai ke tahap 'maghrib'.
Biarpun beliau mengaitkan kehabisan gas sebagai faktor utama kemungkinan berundur seperti yang tersiar dalam ruangan ini pada 6 Januari lalu, alasan itu sukar diterima.
Aktiviti sastera terutama yang mengenali beliau melihat soal 'kehabisan gas' sebagai alasan yang hanya bertujuan menutup tema sebenar ceritanya berkenaan.
Tanda tanya itu akhirnya terjawab apabila S.M.Noor mengakui bahawa kehabisan 'gas' untuk berkarya sebenarnya merupakan rentetan konflik yang melanda dirinya sejak sekian lama.
Perkara utama yang diluahkannya kepada penulis dalam satu perbualan di Kuala Terengganu baru-baru ini ialah berhubung kekecewaannya terhadap segelintir teman-teman.
Tanpa berselindung, penulis drama TV yang pernah beberapa kali menggondol hadiah di peringkat nasional itu menjelaskan kalangan berkenaan tidak jujur terhadap dirinya.
Ketidakjujuran itu menurutnya, diperlihatkan dalam pelbagai bentuk dan wajah termasuk memuji sewaktu bertentang mata tetapi pada saat yang lain pula mengutuk habis-habisan.
Bagi S.M.Noor, perbuatan pihak yang berkenaan tidak ubah seperti menikamnya dari belakang yang boleh diinterpretasikan sebagai mempunyai maksud tertentu.
Biarpun beliau tidak menyebutnya, khalayak sastera tentu faham apa yang disifatkan sebagai 'mempunyai maksud tertentu itu'. Dalam hal ini, beliau tentulah menganggap ada pihak mahu melihatnya tersungkur dari tempat di mana beliau berada ketika ini.
Begitupun, S.M. Noor enggan menyebut siapa pihak berkenaan, dan apakah pula yang ingin direbutkan sehinggakan berlaku semua ini yang ditafsirkan sebagai ribut dalam dewan penulis.
Apa yang mampu dibayangkannya sehingga kini ialah beliau akan berehat sekurang-kurangnya pada tahun ini tetapi tidak menolak kemungkinan berundur terus.
Berhubung implikasi pengundurannya itu, S.M. Noor tidak menganggap merugikan mana-mana pihak baik di Terengganu mahupun di seluruh negara.
Beliau cuma menganggap bahawa yang rugi ialah dirinya sendiri kerana pengunduran seumpama itu bermakna beliau tidak lagi mempunyai pendapatan sampingan.
''Jangan anggap tindakan saya mengundur diri daripada bidang penulisan sebagai satu kerugian kepada masyarakat mahupun negara.
''Hal ini kerana, kalau saya berundur pun masih banyak dramatis, cerpenis, novelis, mahupun eseis yang mampu memberikan karya terbaik kepada masyarakat.
''Kalaupun ada yang rugi, orang itu ialah saya sendiri kerana dengan tidak menulis, saya tidak lagi mendapat wang tambahan,'' ujarnya.
Beliau menjelaskan, hasrat berundur sebenarnya telah lama terlintas di fikirannya, tetapi tidak dilakukan kerana dinasihati oleh beberapa pihak.
Biarpun beliau tidak menyebut pihak mana yang berjaya menahannya berundur, namun difahamkan mereka ialah barisan kepimpinan Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita).
Difahamkan juga, orang yang begitu kuat memberi semangat kepada beliau ialah Ketua I Pelita, Datuk Abdul Rashid Ngah dan Setiausaha I Pelita, Tuan Sharif Putera.
Keputusan muktamad
Sebagai orang kuat Pelita, kedua-duanya melihat S.M. Noor sebagai tenaga penting dalam Pelita apatah lagi dramatis itu merupakan bendahari persatuan tersebut sejak sekian lama. Bagaimanapun kali ini S.M. Noor merasakan beliau perlu membuktikan hasratnya bukan suatu perkara yang bersifat main-main malah satu keputusan yang muktamad. Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira banyak faktor, antaranya beliau tidak mungkin dapat menghasilkan masterpiece dalam keadaan yang sedemikian bercelaru. Kalaupun bertahan, beliau menganggap tindakannya itu seolah-olah meletakkan diri dalam bara yang akhirnya membakar jasad dan keperibadiannya sendiri. Sebelum ini, beliau pernah memberi peluang kepada kalangan dikatakan tidak jujur kepadanya memperbetul keadaan dengan bersifat tidak kisah setiap kali menghadapi situasi tersebut. Beliau berbuat demikian kerana sedar, selaku orang yang lebih senior, sifat sabar perlu diutamakan mudah-mudahan orang yang terlibat akan berubah sikap. Bagaimanapun beliau kesal kerana kesabarannya tidak dihargai dan sebagai mengakhiri kemelut berkenaan, berundur diri adalah langkah terbaik.