Tuesday, March 17, 1998

Karyawan Pelapis perlu jujur

Bidang seni terutamanya teater, belum mendapat pengganti kepada tokoh-tokoh seperti Kalam Hamidi, Syed Alwi, Sharom Hussein, Faridah Marican, Mustapha Noor ataupun penggiat teater yang seangkatan dengannya.
Sebelum melangkah dalam lakonan filem menerusi Abang arahan Rahim Razali pada 1981, Ahmad Yatim merupakan antara pelakon yang menjulang kegemilangan teater dekad 70-an. Kemudian dia meneroka lakonan drama TV menerusi slot Drama Minggu Ini (DMI) di RTM.
Menurut Ahmad Yatim yang sekarang menjadi Karyawan Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), masyarakat tidak dapat melihat satu pun karya tem-patan boleh 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah' dengan karya dari negara luar, apatah lagi, di peringkat dunia.
''Kita tidak ada karyawan seni yang betul-betul berilmu dan pakar dalam bidang masing-masing. Sama ada penulisan, pengarahan, lakonan, bahagian teknikal, promosi atau apa sahaja, kita tertinggal begitu jauh,'' tegas Ahmad Yatim yang dikagumi sebagai Pemburu Khamis dalam filem Pemburu dan Haji Pawi dalam Anak Sarawak.
Dia adalah karyawan yang jarang sekali memberi komentar mengenai bidang kesenian di negara ini.
Bagaimanapun Ahmad Yatim terkenal sebagai seorang yang tegas dan berdisiplin dalam ber-karya sama ada sebagai pelakon atau pengarah teater.
''Kebanyakan mereka yang masuk dalam bidang seni adalah untuk mencuba dan berseronok-seronok,'' jelasnya.
Katanya, pihak kerajaan mem-berikan banyak bantuan kepada golongan karyawan supaya dapat terus menghasilkan karya terbaik untuk masyarakat.
Malangnya, sokongan positif daripada kerajaan tidak membuahkan hasil yang diharapkan kerana banyak pihak yang dipertanggungjawabkan tidak arif dalam bidang masing-masing.
Pengalaman hampir 30 tahun bergiat dalam dunia seni memberikan dia jawapan bahawa karyawan terutamanya Melayu lebih banyak mengharapkan subsidi daripada kerajaan untuk berkarya.
''Keadaan bertambah gawat apabila mentaliti subsidi menjadi pegangan sebahagian besar karyawan tanpa mahu berusaha sendiri untuk menaikkan martabat seni tempatan,'' tegas Ahmad Yatim.
Menurutnya, filem, drama mahupun teater di negara ini tidak akan dapat berdiri tanpa subsidi daripada pihak lain kerana karyawan terlalu mengharapkan bantuan.
''Mereka tidak pernah berusaha untuk mendapatkan sesuatu jauh sekali daripada bersikap untuk memperbaiki diri daripada seba-rang kelemahan,'' jelasnya.
Sebahagian besar masyarakat juga menganggap kesenian tidak perlu dipertahankan di negara ini kerana ia boleh membuang masa dan mendorong mereka ke arah maksiat dan hidup berfoya-foya.
Keadaan ini amat berbeza di negara luar di mana sebahagian besar mereka berpendapat bidang kesenian wajar dibangunkan sejajar dengan pembentukan sesuatu bangsa.
Jelas Ahmad Yatim lagi, untuk menyelamatkan teater dan bidang seni tempatan, semua pihak harus mempunyai kesedaran bahawa ini adalah satu ''perniagaan'' yang menguntungkan.
''Untuk teater terus hidup, bi-dang ini mesti dijalankan melalui saluran perniagaan tanpa mengharapkan bantuan kerajaan se-mata-mata,'' katanya.
Setelah menimba pelbagai pengalaman di dalam dan di luar negara mendalami bidang kesenian seperti lakonan dan pengarahan, tanpa berselindung Ahmad Yatim juga menjelaskan tidak lagi bersemangat untuk terus aktif sebagai orang seni.
''Ada banyak perkara yang membuatkan saya rasa jemu dan tidak bersemangat dalam bidang ini. Apabila memperkatakan ten-tang sikap karyawan seni di negara kita sekarang ini, saya rasa letih,'' katanya lagi.
Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

Perlunya konsortium teater

Perlunya konsortium teater
TIDAK banyak syarikat yang berorentasikan teater di Malaysia. Apatah lagi jika mengambil kira keaktifan operasinya. Dalam senarai Panggung Negara (PN), Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia (KKKP), syarikat yang yang berorentasi sedemikian dan agak aktif sekitar 15 syarikat.
Syarikat-syarikat ini pula tidak memiliki keseluruhan kepakaran dalam bidang ini. Pemiliknya mungkin memiliki kemahiran dalam sesuatu bidang saja. Mungkin mereka arif dalam bidang muzik, vokal, pemasaran, pengarahan, teknikal tetapi tidak dalam bidang teater secara keseluruhan.
Antara syarikat yang berorentasikan pementasan ialah Centre Stage Performing Arts Sdn. Bhd., Actors Studio, Satu Gitu Sdn. Bhd. Bhd., Pak Ngah Production, Drama Lab, CTRA Production Sdn,. Bhd., The Temple of Fine Arts, Underground Theatre Sdn. Bhd., Sutera Dance Theatre, Overture Consult Sdn. Bhd., Bayu Bumi Dance Theatre, Cosmovision Production, Pusat Budaya Suasana, Akademi Seni Persembahan Classicomm dan Sanggar Karya.
Syarikat-syarikat ini yang kebanyakannya bermodal di bawah paras RM100,000 menghadapi masalah kewangan dalam usaha mengadakan pementasan. Kebanyakan mereka mengharapkan bantuan kewangan mahupun kepakaran dari PN melalui slot yang disediakan. Terlalu sedikit pula pihak korporat yang mahu tampil membantu mereka.
Di samping itu, mereka juga terpaksa berlumba-lumba antara satu sama lain bagi ''memenangi'' kehendak slot yang diperuntukkan. Dalam hal ini kebolehan mereka dalam pementasan dan pemasaran diambil kira.
Pementasan teater yang diadakan sebelum ini juga menelan belanja yang cukup tinggi. Slot drama sebabak yang pernah diperkenalkan oleh PN beberapa tahun lalu memperuntukkan sekitar RM50,000 hingga RM60,000 manakala bagi teater perdana pula RM100,000.
Kos tersebut tidak melibatkan pembayaran dewan pementasan kerana kebanyakannya diadakan di dewan yang dimiliki oleh agensi-agensi di bawah KKKP seperti di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (Matic) atau di Panggung Eksperimen. Dewan ini tidak perlu dibayar sekiranya ia melibatkan program PN.
Bagaimanapun, perbelanjaan ini semakin meningkat sekiranya pementasannya diadakan di luar panggung milik KKKP seperti diadakan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kecualilah diadakan dengan konsep kerjasama.
PN memperkenalkan tiga pakej pementasan. Pakej pertama ialah teater yang dikendalikan 100 peratusnya oleh PN. Dalam pakej ini PN sendiri bertanggungjawab memilih pengarah, pelakon, skrip dan seluruh tenaga produksi. Bayarannya mengikut kadar bayaran yang telah ditetapkan.
Pakej kedua ialah secara kerjasama. Ini banyak dilakukan oleh PN sebagaimana yang dilakukan dengan Kumpulan Utusan melalui pementasan teater Lantai T. Pinkie. Perbelanjaan yang dikeluarkan mengikut jenis slot iaitu sama ada slot drama sebabak atau drama perdana.
Manakala, pakej ketiga ialah melalui finish product kepada syarikat-syarikat teater yang telah berdaftar dengan Kementerian Kewangan. Kaedahnya, PN akan mengeluarkan perbelanjaan mengikut slot yang telah ditetapkan. Sekiranya syarikat itu diberikan slot perdana, ia mungkin memperolehi RM100,000.
Namun, sekiranya pementasan itu memerlukan kos perbelanjaan melebihi daripada kadar itu, syarikat mesti berusaha sendiri untuk mencari penaja bagi menampung baki perbelanjaan yang diperlukan.
Pakej ketiga inilah yang akan menjadi teras kepada keprofesionalan pementasan teater di negara ini pada tempoh beberapa tahun akan datang. Ia sedang berjalan sekarang. Pakej inilah yang akan menentukan sama ada teater akan menjadi industri atau sebaliknya.
Siapnya PN bernilai RM 195 juta di Jalan Tun Razak, September ini menjadikan kegiatan teater semakin meriah. Apatah lagi apabila PN lebih memberikan tumpuan kepada pakej yang ketiga.
Pakej yang boleh disamakan seperti pembelian finish product drama-drama TV di stesen TV ini memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Ia memerlukan perbelanjaan melebihi RM300,000. Tidak mustahil sesebuah pementasan memerlukan perbelanjaan hampir RM1 juta.
Kecanggihan teknikal, tentunya memerlukan kepakaran dan tenaga kepakaran memerlukan kos yang tinggi. Ini tentunya membebankan syarikat teater. Ia mungkin mengalami kesulitan sekiranya teater yang dipersembahkan itu tidak dibeli oleh PN. Risiko kerugian amat tinggi.
Namun, pada waktu yang sama ia memberi ruang yang besar kepada pemilik syarikat teater menghasilkan karya yang bermutu. Mereka tentu tidak mahu syarikat mengalami kerugian apabila teater mereka tidak diterima untuk dipentaskan.
Memandangkan kos perbelanjaan yang tinggi selepas September ini, syarikat teater tidak mungkin dapat mementaskan teater dengan duit sendiri. Mereka mungkin hanya memiliki modal sebanyak RM50,000 hingga RM100,000 sahaja.
Justeru itu, dalam kegawatan ekonomi sekarang mahupun untuk jangkamasa panjang, langkah yang paling baik diambil oleh syarikat-syarikat ini ialah bergabung di bawah satu konsortium. Langkah ini hampir sama dengan apa yang pernah dilakukan oleh penerbit drama TV bumiputera yang mewujudkan Keris Motion.
Setiap syarikat mungkin boleh melabur sekitar RM50,000 hingga RM100,000 dalam konsortium tersebut. Sekiranya 15 syarikat tersebut bergabung di bawah konsortium yang mungkin boleh dinamakan Konsortium Teater Malaysia, mereka memiliki modal berbayar antara RM750,000 hingga RM1.5 juta.
Jumlah tersebut membolehkan mereka mementaskan sekurang-kurangnya tiga teater. Dalam masa yang sama, kerjasama ini memberi peluang kepada konsortium ini mendapatkan tajaan. Ini kerana setiap pemilik syarikat mempunyai hubungan atau kerjasama yang tersendiri dengan penaja mereka.
Hanya ini saja yang dapat dilakukan oleh syarikat-syarikat teater dalam keadaan ekonomi sekarang. Mereka perlu menghidupkan teater secara gabungan. Jika tidak bangunan raksaksa PN yang megah dengan rekabentuk tepak sirihnya hanya akan menjadi ''gajah putih''.
PN mungkin tidak mampu melakukan kerja ini secara bersendirian. Mereka perlukan kerjasama syarikat-syarikat teater tempatan. Sekiranya, syarikat teater tempatan mengambil pendekatan tunggu dan lihat, mereka tidak wajar marah sekiranya panggung yang tercanggih di Asia Tenggara ini dipenuhi oleh pementasan luar.
Kita tidak mahu syarikat-syarikat ini hanya didaftarkan di Pejabat Pendaftaran atau Kementerian Kewangan semata-mata tanpa bergerak akibat masalah kewangan.
Oleh: SITI ROHAYAH ATTAN

Tuesday, March 10, 1998

Panggung Negara bukan membazir

Namun, pembinaan ini dianggap sebagai suatu 'pembaziran' oleh pihak-pihak tertentu dengan alasan tidak ada karya atau skrip teater yang layak dipentaskan di PN.
Dengan kata lain, skrip atau karya penggiat teater tempatan hanya layak 'bersandiwara' di Matic, ET atau DBKL saja.
Pendapat ini dilahirkan antaranya oleh Ahmad Yatim Talib, baru-baru ini. Ahmad Yatim melihat PN telah kehilangan fungsinya.
Pengarah Panggung Negara, Supiat Mukri ketika mengulas isu tersebut, berkata, semua pihak harus memandang positif dan optimis terhadap tujuan pembinaan kompleks tersebut.
''Saya melihat kenyataan Ahmad Yatim dari sudut yang positif. Beliau melihatnya sebagai seorang penggiat yang berpengalaman dalam bidang teater dan drama. Memang benar kita kekurangan intelektual khusus dalam bidang ini.
''Ramai intelektual dalam bidang ini berhijrah ke bidang lain kerana mereka jauh tertinggal dan gagal mengejar perubahan teknologi yang digunakan dalam drama-drama teater terkini,'' katanya.
Sufiat berpendapat Ahmad Yatim berhak untuk melontarkan pendapatnya terhadap perkembangan teater yang menjadi asas dalam dunia seninya.
''Beliau dan teman-teman seangkatan dibesarkan dalam zaman teater yang dipentaskan tanpa sebarang bayaran.
''Dengan kata lain, mereka berkarya dan berada di pentas secara percuma tanpa sebarang bayaran. Lebih tepat sekadar pengabdian untuk terus menghidupkan bidang seni ini.
''Bagaimanapun keadaan itu telah berubah. Setiap pementasan teater sekarang memerlukan kos sebelum berjaya dipentaskan kerana semua yang terlibat harus dibayar,'' katanya.
Supiat berpendapat, semua pihak juga harus sedar dan peka terhadap perubahan dunia teater dan drama itu sendiri termasuklah perubahan kadar intelektualiti penggiatnya, sekali gus teknologi pementasannya. Jelasnya, perubahan ini juga berhubung rapat dengan teknologi yang diperlukan untuk memenuhi perubahan itu.
''Oleh itu, apa yang ada pada zaman Ahmad Yatim pasti berbeza dengan dekad ini.
Jadi, kita harus mengimbangi perubahan tersebut yang merupakan idealisme zaman sekarang terutama dari aspek teknologi. Salah satu cara ialah pembinaan Panggung Negara yang dapat memenuhi keperluan ini.
''Adalah menjadi tugas kita untuk menggunakan kemudahan dan kecanggihan Panggung Negara untuk mementaskan teater atau drama yang lebih bermutu.
Namun, ia terpaksa mengambil masa secara bertahap.
Tidak mustahil karya-karya teater tempatan juga akan bertaraf dunia,'' tambahnya.
Jelas Supiat, jika semua pihak sedar tentang perubahan ini, mereka akan mengetahui fungsi dan tanggungjawab PN dan mengapa ia dibina.
''Sebelum ini, kita juga mempunyai penulis skrip dan penggiat teater yang berwibawa, tetapi kerana teknologi untuk pementasan yang agak terbatas, drama-drama kita kurang menonjol.
''Berbeza dengan tradisi berteater di Barat.
Mereka bukan hanya mementaskan skrip tempatan tetapi juga dari pelbagai bahasa.
Sebaliknya kita hanya mengambil skrip tempatan dan agak terbatas kepada karya sendiri sahaja,'' ujarnya.
Beliau menegaskan, semua pihak harus berpandangan positif dan optimis terhadap fungsi dan tujuan pembinaan PN.
Tidak selamanya teater dan drama tanah air hanya layak dipentaskan di Matic, ET dan DBKL saja.
Ini kerana bagi Supiat, dunia teater tanah air tidak kurang hebatnya berbanding dengan Barat. Antaranya dalam bidang pengurusan, pengarahan, penghasilan skrip dan aspek pementasan itu sendiri.
Penggiat kita cuma kekurangan lokasi dan teknologi untuk membantu merealisasi skrip dan tulisan bermutu ke pentas.
Lebih tepat 'tuduhan' bahawa negara ketiadaan skrip yang baik dan bermutu serta layak berada di PN adalah tanggapan yang kurang bijak.
Supiat merasakan dengan pembinaan Panggung Negara ini tidak mustahil suatu hari nanti dunia drama dan teater tanah air akan mampu setanding dengan Barat.
''Saya harap semua pihak harus melihat perkembangan teater tanah air dengan fikiran yang lebih terbuka dan membuang tanggapan prejudis.
''Panggung Negara berdiri bukanlah sekadar hiasan atau kemegahan, tetapi ia memiliki tujuan murni dalam usaha mengangkat serta melahirkan penggiat seni yang bermutu dan mampu mengangkat martabat seni tanah air,'' kata Supiat.