Tuesday, April 28, 1998

Festival Seni Singapura gabungkan barat, Timur

Dengan kata lain, festival sebulan ini akan merangkumi beberapa kategori utama. Antaranya muzik, teater, tarian, visual kesenian dan hiburan keluarga dan lain-lain yang di- persembahkan oleh artis-artis tempatan dan antarabangsa.
Menurut Penolong Pengurus Pemasaran Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Melissa Ow, festival tersebut merupakan kombinasi seni dan budaya Barat dan Timur.
Katanya, menerusi program tahunan ini, STB akan berusaha untuk merealisasikan Singapura sebagai 'Bandar Raya Kesenian Global' yang tidak hanya mempunyai kepentingan ekonomi tetapi juga kesenian.
Bagi menjayakan cita-cita tersebut, STB dengan kerjasama Majlis Kesenian Kebangsaan (NAC) akan membawa 23 kumpulan kesenian antarabangsa dan sembilan tempatan.
Ia melibatkan 100 persembahan teater, tarian dan seni visual dengan 47 peratus dijayakan oleh artis-artis dari negara Asia yang membawa persembahan tradisi dan kontemporari negara masing-masing.
''Sebagai menghadapi abad ke-21 yang meletakkan Singapura sebagai sebuah kota kosmopolitan, kami akan menawarkan kepada pengunjung pengalaman baru dalam bidang kesenian sama ada tempatan mahu- pun antarabangsa.
''Oleh itu, festival ini merupakan kesungguhan kami untuk menjadikan Singapura sebagai pusat inspirasi seni dan pelancongan yang paling penting di rantau Asia Pasifik,'' tambah beliau.
Katanya, bagi menjayakan program tersebut, STB dan NAC akan merealisasi sekitar 600 aktiviti yang akan berlangsung di setiap tempat tumpuan ramai seperti pusat membeli-belah, taman, pusat bandar dan sebagainya.
Persembahan muzik kontemporari pada festival tersebut merangkumi St. Petersburg Orchestra yang diketuai oleh Yuri Temirkanov, American Repetory Theatre, New Orleans Rhythm Kings dan Twyla Tharp.
Sementara itu, beberapa pementasan klasik yang akan memeriahkan festival tersebut ialah Romeo and Juliet oleh Royal Sheakespreare Company, Conquer Mount Tiger by Strategy oleh Shanghai Beijing Troupe.
Program lain ialah tarian balet oleh kumpulan kesenian tempatan, Singapore Dance Theatre, pementasan Borderlines karya Graham Lustig, Lambarena karya Val Caniparoli serta orkestra oleh Goh Choo San.
Turut dilangsungkan ialah pameran karya kanvas, arca dan seni seramik. Antaranya pameran The Origins of Modern Art in France: 1880-1939 yang menghimpunkan lebih 60 karya kanvas pelukis legenda seperti Picasso, Degas, Monet dan Van Gough.
Pameran seni tampak lain sempena festival tersebut ialah Italian Mask: The Masks of Sartori, A Fool's Paradise, Drawing and Diagrams: Ideas Personified dan lain-lain.
Selain itu, beberapa persembahan kesenian tradisional dari Asia Tenggara turut diadakan seperti tarian tradisional Filipina oleh Bayanihan Philipihine Dance Company dan pementasan bangsawan oleh artis-artis Malaysia serta Brunei Darulssalam.

Sunday, April 26, 1998

Dialog Karyawan selongkar masalah skrip

Kata pengarah U-Wei Haji Saari, skrip bukan filem dan skrip boleh menjadi lebih baik malah tidak kurang juga lebih buruk apabila difilemkan. Walau apapun skrip adalah asas di mana idea dan pemikiran digaul secara kreatif untuk disampaikan sebagai sebuah karya.
Skrip telah sekian lama menjadi masalah dalam industri perfileman tempatan. Malah skrip telah diakui sebagai salah satu faktor yang membantutkan kemajuan filem dan drama tempatan.
Sejak penswastaan slot drama di stesen TV, banyak penulis skrip baru yang dilahirkan dan mendapat tempat sekalipun banyak yang mempertikaikan tahap kreatif dan pemikiran dalam karya itu.
Kepada mereka yang sering menonton slot drama di TV tempatan pasti mengakui sebahagian besar drama berkenaan bertolak daripada idea dan pemikiran yang dangkal dan tidak memberangsangkan.
Apa yang membuatkan mutu penulisan skrip tidak begitu dipedulikan? Apakah tahap pencernaan pemikiran dalam skrip ditentukan oleh selera stesen TV dan penerbit drama?
Dialog Karyawan anjuran Persatuan Penulis Nasional (Pena) yang diadakan di Rumah Pena di Kuala Lumpur Jumaat lalu membongkarkan beberapa faktor yang mendorong kepada kelemahan bidang penulisan skrip.
Bidang ini telah diakui sebagai profesion yang menjanjikan keuntungan lumayan apabila banyak stesen TV membuka peluang kepada penerbit drama swasta.
Rumusan daripada dialog ini ialah kelemahan skrip disebabkan oleh sistem yang korup, karenah birokrasi dan penulis mempunyai kepentingan diri melampaui kepentingan profesion mereka.
Dialog itu disertai oleh panel yang terdiri daripada U-Wei Haji Saari, Anwardi Jamil, Wahid Nasir dan Nurhalim Ismail.
Secara keseluruhan mereka membawa perhatian karyawan yang terlibat dalam industri filem tentang pentingnya skrip yang bermutu sebagai peluang untuk menghasilkan filem atau drama bermutu.
Mereka cuba memecahkan benteng yang dibina oleh stesen TV dan penerbit yang selalu menganggap hanya pihak ini yang menentukan skrip mana yang boleh dan tidak boleh diterbitkan.
Kerana adanya korupsi dan karenah birokrasi, maka lahirlah pelbagai masalah yang mencetuskan kepincangan dalam industri perfileman.
Seperti kata Anwardi Jamil, masalah untuk mendapat skrip yang bermutu paling ketara kerana adanya korupsi daripada pihak pembeli termasuk stesen televisyen.
Anwardi mempersoalkan sejauh mana profesionalisme dijulang dalam industri perfileman tempatan apabila hanya penulis yang mempunyai hubungan peribadi yang baik dengan penerbit atau stesen TV sahaja diberi peluang.
Dia mendedahkan, ada penulis skrip baru dibayar RM10,000 bagi sebuah skrip kerana mempunyai hubungan baik dengan penerbit.
''Berapakah harga karya yang sepatutnya diperolehi oleh penulis-penulis skrip yang ternama,'' tanya Anwardi.
Sementara penulis skrip Wahid Nasir yang bergiat sepenuh masa dalam bidang ini percaya bahawa karenah birokrasi telah membantutkan usaha untuk menghasilkan skrip yang bermutu.
Kata Wahid, penulis yang mempunyai banyak idea akan berdepan dengan sekatan demi sekatan yang membuatkan kebebasan berkarya seseorang penulis itu semakin kecil dan tertutup.
''Saya difahamkan banyak juga skrip yang baik tetapi ditolak kerana penerbit menganggap tidak ada nilai komersial,'' tegasnya yang juga Presiden Persatuan Penulis Skrip Malaysia (SWAM).
''Kalau penulis menghasilkan karya yang mencabar, mereka berdepan juga dengan sekatan seperti itu. Penulis skrip sebenarnya mempunyai banyak idea untuk melahirkan karya yang baik tetapi kesempatan untuk diterbitkan tidak diperolehi, '' kata Wahid.
Wahid menyokong Anwardi mengenai penulis baru yang memperolehi peluang menulis skrip untuk televisyen kerana mempunyai hubungan tertentu.
U-Wei pula berpendapat, dia berdepan dengan masalah untuk menyediakan skrip kerana terpaksa mencongak dan mengkaji skrip dan dialog yang akan diluluskan oleh pihak Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM).
Keadaan sedemikian, ujar U-Wei mendatangkan masalah kepadanya kerana sebagai penulis, dia perlu menghasilkan karya yang mengajak penonton berfikir dan bertanya mengenai apa yang hendak disampaikannya.
Bagaimanapun U-Wei tidak menyalahkan LPFM kerana memahami tugas yang diamanahkan kepada lembaga tersebut.
Tetapi U-Wei mempunyai sudut pandangan yang menarik tentang skrip. Bagi U-Wei, skrip adalah skrip dan skrip bukannya filem.
''Skrip boleh menjadi baik, bertambah baik atau tidak baik sama sekali kerana skrip akan berganding dengan teknologi dan kepakaran pengarah,'' kata U-Wei.
Dia mengalu-alukan kehadiran penulis skrip baru kerana mereka mempunyai sikap dan pemikiran yang baru.
Nurhalim berpendapat industri perfileman di negara ini berdepan dengan karenah birokrasi sejak sekian lama dulu dan kini belum ada jalan penyelesaian.
Dia mengakui pengalaman peribadi selepas pertama kali mengarahkan filem Panas apabila berdepan dengan pemikiran LPFM.
''Saya masih belum mampu mengangkat sebuah skrip ke medium yang sepatutnya kerana adanya masalah yang dominan dan belum diselesaikan,'' ujar Nurhalim.
Nurhalim juga setuju dengan pandangan yang mengatakan mereka yang mempunyai kepentingan peribadi sering mendapat tempat yang sewajarnya diberikan kepada penulis yang menghasilkan karya yang baik.

Wednesday, April 22, 1998

Jebat mati Dibunuh

Wujud ataupun tidak pahlawan Melayu itu adalah persoalan kedua, tetapi yang pasti Hang Tuah adalah sumber inspirasi dan wira bangsa Melayu ketika itu.
Tragedi pembunuhan Hang Jebat di tangan Hang Tuah sebagaimana cerita dalam Hikayat Hang Tuah adalah peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Sahabat yang ketika dahulu pernah makan sepinggan dan tidur sebantal itu akhirnya mati kerana ingin membela saudaranya yang disangka telah dibunuh akibat fitnah orang yang iri hati.
Justeru itu, atas kesedaran pentingnya penghayatan sejarah bangsa Melayu, Pejabat Kesenian dan Istiadat Negeri Melaka mementaskan teater Jebat Mati Dibunuh sempena perayaan Melaka Bandaraya Bersejarah Negeri berbudaya di Dewan Hang Tuah, baru-baru ini.Teater ini menampilkan 25 pelakon teater Angkatan Seni Warisan Melaka.
Pementasan ini memperlihatkan banyak kelemahan. Penonton dapat mengesan dengan cepat beberapa kelemahan semasa teater itu dipersembahkan. Antaranya penyampaian vokal yang kurang jelas mengganggu konsentrasi penonton terhadap teater itu. Sekali gus menjejaskan mutunya.
Kelemahan lain yang cukup ketara ialah dari aspek penataran cahaya dan teknik lampu khususnya untuk menjelaskan pembahagian antara babak. Misalnya apabila berakhirnya sesuatu babak kelihatan pergerakan pelakon-pelakon beralih ke belakang pentas.
Bagaimanapun, dari segi lakonan, pelakon-pelakon menghayatinya dengan baik. Rosman Sidek yang memegang watak Hang Jebat dan Abu Samah sebagai Hang Tuah berjaya menarik perhatian penonton.
Menurut pengarahnya, Mahmud Jalani, beliau mengakui kelemahan dalam persembahan itu disebabkan kurang latihan. Mereka berlatih hanya tiga minggu sahaja.
''Persembahan pada malam ini mungkin boleh dibaiki pada masa akan datang dan pihak kami akan meneruskan usaha ini bagi menghidupkan semula seni teater di negeri ini,'' katanya.
Sebagai pengarah, beliau cuba mengubah konsep cerita supaya watak Hang Jebat diubah menjadi lebih rasional.
Namun, ramai yang tidak bersetuju dengan konsep tersebut kerana ia adalah percubaan mengubah sejarah bangsa Melayu.
Oleh: SITI ESAH OTHMAN

Randai yang berkesan dijadikan rujukan

Kesedihan yang meliputi diri seorang suami menyebabkan ayahnya, Tunku Imam Muda mengambil keputusan pergi bertapa. Anggun Nan Tungga dibesarkan oleh Mandeh Suto Suri dan ditunangkan sejak kecil dengan Puteri Gondan Gondoriah.
Bila dewasa, Anggun Nan Tungga menghadiri pertaruhan di gelanggang Nangkodo Baha. Permainan yang disertainya antaranya sabung ayam dan bermain bulu ayam memberi kemenangan kepada Anggun Nan Tungga. Kemenangan itu menyebabkan kemarahan Nangkodo Baha. Dia merampas segala hasil kemenangan dan menghina Anggun Nan Tungga di khalayak ramai.
Anggun Nan Tungga yang kecewa dengan perkara itu bertekad meninggalkan Daerah Tiku Pariaman dan belayar mencari bapa saudaranya Nangkodo Rajo, Makhudum Sati dan Katik Intan.
Kesempatan itu diambil oleh Gondan Gondoriah meminta tunangnya mencari 120 jenis permainan termasuk ''burung nuri pandai bicara.''
Pelbagai rintangan yang terpaksa dihadapi termasuklah mengahwini Dandemi Sutan bagi memiliki ''burung nuri pandai bicara''.
Perkahwinan itu menyebabkan Gondan Gondoriah kecewa dan membawa diri ke gunung dengan tujuan bertapa seumur hidup. Anggun Nan Tungga cuba mencarinya.
Bagi mengetahui kesudahan cerita ini, tontonlah randai Anggun Nan Tungga yang dipentaskan dua malam dan berakhir malam ini di Panggung Eksperimen, Kompleks Budaya Negara, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur dengan tiket RM5.
Teater yang terkenal di kalangan masyarakat Minang terutamanya di Padang, Indonesia ini diarah oleh Dahmir Amin dan dijayakan sepenuhnya oleh pelajar Akademi Seni Kebangsaan (ASK) Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.
Anggun Nan Tungga memperlihatkan mutu lakonan, gerak, nyanyian dan muzik di samping kostum yang amat baik. Gandingan lima elemen ini amat penting bagi merealitikan sebuah randai yang berkesan dan dapat diterima serta dijadikan rujukan ramai.
Kebolehan pelajar-pelajar ASK menguasai kesemua bidang ini menjadi titik tolak kepada kejayaan randai setelah mereka membuktikan kebolehan merealitikan bangsawan, makyung, wayang kulit dan teater moden sebelum ini.
Menariknya, Anggun Nan Tungga memberi peluang kepada beberapa pelakon untuk memegang watak yang sama pada malam yang berlainan.
Antara pelakon yang menjayakan pementasan ini ialah Azizi Mohamed Said, Shahril Akla (Anggun Nan Tungga), Juhara Ayob, Noraida Che Mustafa (Mandeh Suto Suri), Azizul Zahid Jamal, Abu Bakar Sulaiman (Nangkodo Baha), Eliza Mustafa dan Norzizi Zulkifli (Puteri Gondan Gondoriah).
Oleh: SITI ROHAYAH ATTAN

Monday, April 20, 1998

Anggun nan Tangga

Randai yang terkenal di Padang, Indonesia menjadi sinonim dengan masyarakat Minang di sana, sebagaimana bangsawan yang dikaitkan dengan masyarakat Melayu di Malaysia.
Bagaimanapun, bagi peminat teater tradisional ini, randai Anggun Nan Tungga yang dipentaskan di Panggung Eksperimen, Kuala Lumpur , 24 dan 25 April ini menjadi alternatif kepada mereka setelah jemu dengan teater moden.
Dahmir Amin, 51, yang berasal dari Padang menjadi pengarahnya sementara pelakonnya adalah pelajar Akademi Seni Kebangsaan (ASK). Dahmir kini bertugas sebagai pensyarah di akademi tersebut sejak Julai tahun lalu.
Menurut Dahmir, randai memiliki keistimewaan tersendiri kepada masyarakat Minang terutamanya dari segi nyanyian, muzik, pergerakan, kostum dan bahasanya. Kesemua elemen tersebut menjadi kebanggaan masyarakat Minang di Sumatera Barat.
''Dalam kebanyakan skrip, saya cukup suka dengan Anggun Nan Tungga. Saya memilihnya untuk dipentaskan di sini kerana ia adalah antara cerita rakyat yang banyak diperkatakan di samping dapat dikembangkan berdasarkan cerita asal.
''Malah, saya kira cerita ini masih relevan dengan zaman kini kerana ia mengisahkan tentang pemuda yang memiliki sifat-sifat positif iaitu beragama, jujur, bersikap kesatriaan, bertanggungjawab dan menghormati orang tua,'' katanya kepada Utusan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Asas plot teater randai menurut Dahmir wajar memiliki empat perkara iaitu tema pendidikan, percintaan antara muda-mudi, lawak jenaka dan pertarungan atau perjuangan.
Di samping itu, teater yang mementingkan pergerakan ini menitikberatkan kesesuaian kostum terutamanya seluar yang dikenali sebagai seluar 'galembung' yang mengeluarkan bunyi apabila ditepuk di bahagian paha ketika mengiringi nyanyian.
Manakala, seluar 'gelabek' pula bagi memudahkan pergerakan. Bagi tujuan kostum ini, Dahmir dibantu oleh isterinya Sawanismar S. Kar.
''Pergerakan dan lakonan juga penting yang mana lakonan itu akan disesuaikan dengan watak yang diberikan kepada pendukungnya.
''Manakala, dalam soal muzik pula, cak lempung menjadi muzik wajib dalam persembahan ini. Tanpa muzik ini, persembahan randai tidak mungkin lengkap,'' katanya yang mempunyai kumpulan randai sendiri di Sumatera Barat sejak 1960-an iaitu Kumpulan Kinantan.
Menurut Dahmir, pada persembahan dua malam itu beberapa penyesuaian terpaksa dilakukan tanpa mengubah asas teater tersebut. Perubahan ini hanya melibatkan dialog yang dituturkan dalam bahasa Malaysia berbanding bahasa asalnya, bahasa Minang.
Bagaimanapun, 12 lagu dalam teater yang berkonsepkan arena itu masih mengekalkan bahasa Minang.
''Randai memerlukan semangat kerja berkumpulan di samping memiliki bakat dalam bidang lakonan, tarian dan muzik. Di ASK kesemua pelajar daripada jabatan teater, tari, muzik dan penulisan kreatif terlibat.
''Pada saya, mereka boleh menjadi generasi pewaris randai sekiranya diberi peluang mendalami bidang ini secara lebih serius lagi terutama pelajar daripada jabatan teater. Pementasan ini terlalu singkat masa pembelajaran teori dan pratikalnya. Bagaimanapun, saya percaya mereka boleh melakukannya dengan baik,'' kata Dahmir.
Beliau yang pernah mengadakan persembahan randai Umbuik Mudo di Ipoh, Pulau Pinang, Kedah dan Kuala Lumpur percaya persembahan julung kali oleh ASk itu memberi ruang kepada masyarakat negara ini mengenali teater randai secara lebih dekat lagi.
Malah, Dahmir percaya bahawa genre tersebut boleh berkembang dengan baik sebagaimana teater moden sekiranya pementasan tersebut diteruskan dari semasa ke semasa.
Dahmir mula melibatkan diri dalam teater jenis ini sejak 1954 ketika berusia tujuh tahun dengan menjadi pendekar cilik dalam randai Rumbun Pamenan dan opera Cewang Dilangik di bawah pimpinan A. Dt. La Biah.
Beliau yang telah 33 tahun menjadi Ketua Jabatan Jurusan Teater di Sekolah Menengah Kesenian Indonesia, Sumatera Barat telah menulis dan mengarah tujuh naskhah randai. Naskhah tersebut ialah Puti Galang 1, Talipuk Layua, Fragmen Japuik Tabao, Subai Wan Aluih, Rambun Pamenan, Tungku Tigo Saja Rangan dan Puti Galang Banyak (versi baru).
Oleh: SITI ROHAYAH ATTAN

Wednesday, April 15, 1998

Tun Saban tewas di tangan Megat Terawis

Untuk melawat ke makam tersebut, mestilah terlebih dahulu melaporkan diri kepada pihak berkuasa. Biasanya orang persendirian tidak digalakkan melawat ke makam tersebut kerana perjalanan ke dalam hutan rimba banyak bahayanya. Kalau nasib tidak baik, akan terpijak jerangkap samar.
Ketika saya merancang melawat ke makam Tun Saban pada awal 1975, saya tidak mendapat gambaran yang sebenar tentang kedudukan makam tersebut. Saya hanya mengetahui sedikit latar belakang Tun Saban melalui buku sejarah Perak, sama ada yang dikarang oleh Winstedt, Buyong Adil, Abdullah Haji Musa atau buku bertajuk Hulu Perak Dalam Sejarah yang ditulis oleh tiga orang penulis, iaitu Raja Razman bin Raja Abdul Hamid (Tok Muda Orang Kaya-Kaya. Mahakurnia Indera Diraja Perak), Haji Meor Shamsuddin bin Haji Meor Yahya (Tok Muda Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Perak) dan Hussain Mahmud.
Buku yang bertajuk Hulu Perak Dalam Sejarah banyak menyentuh latar belakang sejarah Tun Saban.
Cerita mengenainya sungguh menarik sehingga saya bercita-cita hendak menziarahi makam tokoh pembesar Perak yang dikatakan pernah berperang dengan angkatan perang Sultan Muzaffar Shah I, (Sultan Perak pertama memerintah negeri Perak pada 1528 T.M. hingga 1549 T.M.). Peperangan itu berlaku setelah Tun Saban yang berkuasa di sebelah Hulu Perak tidak mahu tunduk di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah.
Satu sumber sejarah yang lain pula menyebut punca peperangan tersebut adalah kerana Tun Saban tidak mahu memberi anak perempuannya yang bernama Tun Merah, untuk dijadikan gundik Sultan.
Dalam buku Hulu Perak Dalam Sejarah pula, Tun Saban difitnahkan hendak derhaka kepada Sultan Muzaffar Shah. Lalu seorang pembesar Perak yang gila kuasa bernama Megat Terawis dititahkan untuk membunuh Tun Saban. Megat Terawis berjaya membunuhnya di tempat yang bernama Merah atau Changkat Merah, dan di situ jugalah Tun Saban dimakamkan. Kerana jasanya membunuh Tun Saban, Megat Terawis dilantik menjadi Bendahara Negeri Perak, menggantikan Bendahara Tun Mahmud yang pulang ke Johor. Cerita mengenai Tun Saban banyak terdapat dalam buku sejarah yang berkaitan dengan negeri Perak.
Cerita lisan daripada penduduk di sekitar Hulu Perak juga masih banyak boleh diperoleh.
Setelah mengenal pasti kedudukan Tun Saban seperti yang diperoleh daripada buku sejarah, saya pun mengambil keputusan untuk melawat makam tersebut.
Ura-ura tersebut saya hebahkan kepada teman-teman rapatku, tetapi mereka nampaknya tidak bersetuju saya melawat ke makam tersebut. Mereka bimbang kerana makam tersebut terletak dalam hutan dan dalam kawasan keselamatan. Tentulah banyak bahayanya, sama ada gangguan binatang buas, terpijak jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis atau halangan lain.
Setelah mengambil keputusana melawat makam Tun Saban saya pun memberitahu hasrat itu kepada Ketua Pengarah Muzium ketika itu, Datuk Sharom Yub.
Kajian saya lakukan di sekitar tapak makam Tun Saban di Changkat Merah. Tempat tersebut, pada masa dulu, ialah sebuah perkampungan orang Melayu yang besar. Tun Saban berkuasa di Hulu Perak dan tinggal di situ. Saya bertolak dengan kenderaan Jabatan Muzium.
Pemandunya ialah Abdul Aziz Muhammad. Kami menggunakan kereta jenis Ford Transit.
Di Lenggong, kami berhenti untuk mendapat beberapa orang jurupandu yang boleh memandu kami ke makam Tun Saban. Saya hampa kerana tidak seorang pun yang sanggup menjadi jurupandu. Alasannya ialah tempat tersebut terlalu jauh ke dalam hutan dan berbahaya. Ketika merayau-rayau, saya terserempak dengan seorang ketua Kampung Luat, namanya Awang Kecil. Orangnya bertubuh sasa berumur dalam lingkungan 50 tahun. Saya memang sudah lama mengenali beliau. Selain ada pertalian keluarga dengannya beliau juga seorang syeikh haji yang menguruskan orang Melayu naik haji ke Mekah.
Awang Kecil atau Tok Awang bersetuju menjadi jurupandu dan membawa kami ke makam tersebut.
Beliau pernah ke makam tersebut pada tahun 40-an.
Beliau menyuruh saya membeli seberkas cerut untuk bekalan. Saya pun membeli dua dozen cerut. Dia meminta saya turut menghisap cerut semasa dalam perjalanan dalam hutan ke makam Tun Saban untuk menghalau nyamuk. Nyamuk dalam hutan besar dan garang perangainya. Badan gajah pun boleh dicucuk.
Di Lenggong, seorang Tionghua yang dikenali dengan nama Akup bergaul ingin turut serta. Beliau ialah seorang Tionghua tempatan yang banyak bergaul dengan masyarakat Melayu setempat. Saya tidak tahu tujuan sebenar beliau mahu ikut sama ke makan Tun Saban. Beliau hanya memberi alasan bahawa cerita Tun Saban pernah didengarnya daripada cerita mulut orang-orang tua Melayu, dan makam Tun Saban itu sangat dipercayai oleh sesetengah orang Cina di Lenggong sebagai makam keramat. Mereka memanggilnya Kubur Datuk Merah. Nampaknya Akup ada tujuan untuk bernazar atau meminta sesuatu daripada kubur Datuk tersebut. Barangkali beliau mendapatkan kekayaan menerusi pemujaan atau menurun.
Itu hanya ramalan saya.
Dalam perjalanan ke makam Tun Saban kami melalui sebuah kampung Melayu, iaitu Kampung Kenering.
Letaknya 20 kilometer ke utara Lenggong. Di kampung tersebut kami mendapatkan seorang jurupandu lagi, bernama Kasim, Ketua Kampung Sawa, sebuah kampung yang terletak dekat Kampung Kuala Kenering.
Beliau ialah penjaga makam tersebut. Sudah lama beliau tidak menjenguk ke makam tersebut. Kerana perjalanan memakan masa yang lama, kami terpaksa membawa bekalan makanan supaya tidak lapar.
Saya membeli beberapa bungkus nasi lemak, beberapa biji apam dan karipap. Karipap yang saya beli di warung yang terletak di pinggir jalan di Kampung Sawa itu sangat berbeza daripada karipap yang pernah saya makan di Kuala Lumpur. Karipap itu berisi serbuk kelapa yang digoreng, dicampur dengan bahan pewarna, kunyit dan udang kering. Rasanya lebih enak dan luar biasa. Penduduk Kampung Sawa menyebutnya sepera dan bila saya menyebut karipap, penjual yang menjual sepera gandum agak hairan dan tersenyum. Saya kira ada sesuatu yang luar biasa yang mencuit hati nalurinya.
Di Kampung Kuala Kenering, kami menyiapkan beberapa peralatan yang perlu dibawa. Saya berpesan kepada Abdul Aziz, pemandu kereta Jabatan Muzium supaya menunggu sahaja di Kampung Kuala Kenering.
Beliau tidak perlu ikut bersama kerana perjalanan dengan berjalan kaki agak jauh, kira-kira enam belas kilometer. Sejauh itulah kami berjalan menempuh hutan rimba yang tebal. Lagipun tanggungjawab Aziz adalah menjaga kereta jabatan.
Saya masih ingat lawatan itu jatuh pada hari Jumaat 12 Mac 1976. Hari itu hari lahir saya ke- 38. Itu hanya secara kebetulan kerana sepanjang hidup saya tidak pernah menulis dalam catatan harian tentang tarikh lahir. Saya tidak pula memikirkan tentang umur kecuali ketika berkahwin pada 1970-an. Saya hampir terlupa memberi tahu pada imam yang menikahkan mengenai usia sebenar saya. Rupa-rupanya saya hampir menjadi bujang terlajak.
Kami memulakan perjalanan kira-kira pukul lapan pagi. Cuaca tidaklah begitu baik. Pagi-pagi lagi hujan sudah turun tetapi tidaklah lebat. Kata Tok Awang jika hujan, sudah tentulah banyak pacat. Pacat di hutan, besar-besar. Kalau terkena gigit boleh menjadi pekung dan sukar diubati. Munasabah juga katanya itu kerana pacat mungkin membawa kuman yang berbahaya.
Walaupun saya bimbang dan seram, saya tidak mahu mengubah matlamat yang sudah dirancang. Saya bersedia menempuh apa juga halangan.
Kami menyusur tepi tebing Sungai Perak kerana jalan itu lebih selamat daripada mengikuti denai yang dilalui oleh babi dan binatang lain. Saya tidak begitu yakin laluan denai. Manalah tahu, mungkin ada harimau menunggu, atau mungkin terkena jerat babi atau jerat yang dipasang oleh pengganas komunis.
Orang kampung di Kuala Nerang menyebutnya jerat duduk. Kalau terkena jerat itu terus terduduk.
Jalan tepi tebing Sungai Perak itu agak sukar sedikit kerana terlalu banyak resam dan rotan. Lebih kurang dua jam berjalan sampailah kami di sebuah bukit kecil.
Bukit tersebut kelihatan dengan jelas dari seberang tebing Sungai Perak. Di situ, terdapat sebuah gunung kecil. Menurut Tok Awang Kecil, gunung tersebut bernama Gunung Lognai.
Di bahagian batu kukup yang menghala ke sungai, terdapat sebuah lubang gua. Pada masa dulu, menurut cerita orang tua, gua itu menjadi tempat persembunyian Sang Kelembai, seorang perempuan yang sangat masin sumpahannya. Kononnya Sang Kelembai itu tidak boleh menegur manusia. Jika ditegur, manusia yang ditegurnya itu terus menjadi batu.
Di Gua Puteri dekat Lenggong terdapat sepasang patung batu orang bersanding. Kononnya Sang Kelambai telah menegur pasangan pengantin baru itu menjadi batu. Orang kampung tersangat takut dengan sumpah Sang Kelembai. Entah bagaimana, pada satu hari Sang Kelembai ditipu oleh seorang teruna yang memujuknya untuk berkahwin. Teruna tersebut membawa Sang Kelembai ke Gua Lognai, kononnya untuk bersuka ria.
Waktu mereka dalam gua, orang kampung datang dan menutup pintu gua tersebut dengan ketul-ketul batu besar. Sang Kelembai dan kekasihnya terkurung dalam gua itu. Kononnya sampai sekarang Sang Kelembai masih hidup, dan sesekali menunjukkan mukanya di celah-celah lubang gua. Sesiapa yang bernasib baik dapat melihatnya. Begitulah menurut cerita Tok Awang Kecil. Kisah Sang Kelembai sangat popular di Hulu Perak.
Gua Lognai yang terkenal dalam cerita rakyat tidak lagi kelihatan pada masa ini. Gua itu hilang daripada pandangan manusia, bukan hilang kerana sumpah Sang Kelembai ataupun jampi David Copperfield, ahli silap mata terkenal, tetapi hilang ditelan air limpahan dari sebuah Empangan hidro elektrik yang dibina di Sungai Perak. Dengan tenggelamnya Gunung Lognai maka hilanglah sebuah artifak sejarah.
Dari Gunung Lognai ke makam Tun Saban saya kira kami baru berjalan separuh perjalanan. Kami meneruskan perjalanan. Kira-kira setengah jam kami bergerak dari Gunung Lognai itu, saya terdengar suara manusia.
Kami diserang kebimbangan. Suara siapakah itu?
Adakah suara hantu atau gerombolan pengganas komunis? Macam-macam anggapan menghantui fikiran aku.
Dalam berkhayal itu, tiba-tiba muncul beberapa lembaga di hadapan kami, kira-kira lima orang semuanya. Masing-masing mengendung sebuah guni atas bahunya, ada yang berisi hampir separuh guni dan ada yang sedikit sahaja. Mereka kelihatan letih. Saya kira kandungan di dalam guni gandum itu berat. Guni yang separuh berisi itu dipikul oleh seorang berbadan tegap berumur dalam lingkungan 35 tahun. Saya lihat begitu susah baginya memikul guni itu. Rupa-rupanya mereka ialah pencari bijih timah.
Mereka ini selalu masuk ke hutan-hutan berhampiran Changkat Merah kerana mencari bijih. Seorang daripada mereka memberitahu kami supaya berhati-hati bila berjalan di denai atau lorong yang berhampiran dengan makam Tun Saban. Di situ seorang pencari bijih telah terpijak jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis. Kaki kanannya terputus. Nasib baik nyawanya tidak melayang.
Berita yang kami terima itu tidak menyenangkan hati. Ini membuat saya berat meneruskan perjalanan ke makam Tun Saban yang saya kira lebih untuk berakit melalui Sungai Perak. Rakit tersebut boleh dibuat daripada batang buluh yang banyak terdapat di tepi tebing Sungai Perak. Lebih kurang setengah jam kami menghabiskan masa untuk membuat rakit buluh.
Setelah siap, kami pun mulalah berakit melalui jeram yang banyak batu batang tersembunyi di dalam sungai.
Akhirnya kami sampai ke tebing sungai di sebelah atasnya. Di situ kelihatan sebuah rakit kecil. Menurut Kasim, itulah Bukit Merah, dan di atas bukit itulah terletaknya makam Tun Saban.
Persekitaran bukit itu di zaman dulu di sebut Janing, dan pada awal abad ke-20 Janing pernah menjadi ibu daerah Hulu Perak dan selepas itu ibu daerah berpindah ke Grik.
Sewaktu kami berkemas untuk mendaki tebing Sungai perak yang sedikit curam itu tiba-tiba terdengar oleh kami bunyi suara yang sangat kuat, semacam hantu hutan. Bunyi itu rupa-rupanya suara beberapa ekor gajah yang sedang mengawan. Beberapa ekor gajah jantan sedang bergaduh merebut gajah betina.
Kata Tok Awang Kecil, kalau gajah itu tahu ada orang mengintainya sudah tentu haiwan gergasi itu naik berang. Gajahpun tahu malu, dan lebih dahsyat lagi binatang itu akan menyerang. Saya berhati-hati supaya gajah itu tidak nampak.
Ada sekawan lima ekor gajah yang sedang berkeliaran dekat dengan kawasan makam Tun Saban. Seekor daripadanya saya kira masih anak kerana gadingnya baru tumbuh sejengkal, sedang menggeselkan badannya pada pagar dawai yang memagar kawasan makam tersebut. Kerana badannya besar, sebahagian pagar dawai tersebut tumbang. Seekor lagi, anak gajah yang terkecil cuba mencabut sebatang pokok pisang hutan.
Dihentak-hentaknya pokok itu dengan telapak kaki hadapannya, kemudian barulah dimasukkan ke dalam mulutnya. Dua ekor gajah lagi, jantan dan betina ialah pasangan yang sedang mengawan. Lebih kurang setengah jam kami berada di kawasan makam Tun Saban kami pun balik ke Kuala Kenering.
Kami berakit pulang. Perjalanan berakit hanya memakan masa kira-kira tiga jam.
Saya mendapat tahun Bukit Changkat Merah, tempat terletaknya makam Tun Saban, ditenggelami air daripada sebuah empangan hidro elektrik. Nasibnya sama juga dengan Gunung Lognai. Makam Tun Saban telah dipindahkan ke Simpang Lawin sebelum kawasan Bukit Changkat Merah ditenggelami air.
Oleh: N.A. HALIM

Sunday, April 12, 1998

Kecintaan seorang insan seni

Hubungan kedua-duanya iaitu manusia dan hiburan bolehlah diibaratkan sebagai irama dan lagu yang tidak mungkin dipisahkan dengan pelbagai sebab ataupun alasan yang tersendiri.
Ada orang minat hiburan sekadar menyukai irama atau orang yang menyanyi mahupun mereka yang berjaya melakonkan sesuatu watak dalam cerita yang dipaparkan.
Minat itu sentiasa berubah apabila ada lagu baru timbul atau wayang gambar baru ditayangkan. Minat golongan ini bolehlah dikatakan semata-mata sukakan hiburan sahaja, namun berlainan sekali dengan seseorang yang bukan sahaja berminat malah sanggup menjalankan pelbagai jenis kajian kerana minatnya yang mendalam dalam bidang seni.
Beliau yang dimaksudkan ialah Mohammad Hashim, 50, seorang Pembantu Tadbir Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR) Kementerian Penerangan.
Beliau boleh dikatakan lain daripada peminat-peminat seni yang lain, kerana beliau bukan setakat meminati seseorang artis atau seniman itu, malah telah membuat kajian yang mendalam tentangnya.
Lebih istimewa lagi beliau telah mengumpul dan membuat kajian perkembangan setiap filem serta lagu-lagu Melayu sejak tahun 50-an lagi.
Baginya setiap kajian yang berjaya dihasilkannya bukan pula untuk mencari wang atau kerana tugasnya, kebetulan beliau bertugas di Kementerian Penerangan, sebaliknya semuanya kerana minat terhadap dunia seni orang-orang Melayu.
Minatnya memang boleh dikatakan amat unik kerana beliau sanggup menghabiskan banyak masa lapangnya semata-mata untuk membuat kajian tentang artis dan seniman sejak zaman dulu lagi. Pengumpulan itu dilakukannya bukan setakat pembacaan daripada majalah, akhbar sahaja, tetapi telah meluaskannya hingga sanggup bertemu ramah dan juga bergaul dengan mereka yang terlibat dalam dunia hiburan itu.
''Saya cuma akan merasa puas apabila saya dapat mengetahui secara keseluruhan tentang filem atau lagu itu terutama jika dapat bertemu dengan penciptanya atau penyanyinya,'' kata beliau ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Kerana itu tidak hairan jugalah ketika mengunjunginya di Taman Seri Segambut, Kuala Lumpur, selain kita dapat melihat koleksi majalah dan akhbar lama, kita akan dapat melihat data-data lengkap tentang filem dan lagu-lagu Melayu lama yang turut difailkannya.
Malah kita juga akan terkejut, kerana beliau juga turut menyimpan hampir keseluruhan filem dan lagu-lagu Melayu lama yang dirakam sejak tahun 50-an lagi.
Antara filem-filem Melayu hitam putih yang ada dalam simpanan beliau adalah Pembalasan, Nasib, Nilam, Kerana Kau, Cinta dan boleh dikatakan semua filem P.Ramlee.
Boleh dikatakan kebanyakan generasi kini tidak pernah menonton filem-filem tersebut kerana tidak pernah ditayangkan di televisyen. Lagu-lagu Melayu lama yang masih ada dalam simpanan beliau termasuklah Laksamana Mati Dibunuh (nyanyian Fatimah Jasman- tahun 30-an), Kain Pelekat (tahun 50-an), Gunong Banang, Pasir Roboh dan Timan Banjar (nyanyian A. Rahman- 40-an).
Untuk pengetahuan pembaca semua Fatimah Jasman juga adalah merupakan primadona Melayu yang pertama yang pernah menghiasi dunia filem Melayu dahulu. Sayangnya ketika kehadiran beliau, kita masih kekurangan gambar-gambar ataupun majalah yang merakamkan gambar beliau. Sebab itulah ramai antara kita tidak mengenali siapa Fatimah Jasman.
Kerja-kerja penyelidikan itu bermula sejak beliau dalam usia belasan tahun lagi, walaupun minatnya kepada dunia hiburan bermula pada usia lima tahun.
''Filem pertama yang saya tonton bersama abang adalah Juwita di Kulim, Kedah pada usia lima tahun.
''Filem itu juga membuka minda saya kepada dunia hiburan dan meletakkan diri saya untuk menerokanya dengan lebih mendalam,'' katanya lagi.
''Tetapi ketika kita masih budak-budak tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan kerana masih di bawah tanggungan ibu bapa namun keadaan berubah setelah saya bertambah dewasa dan menjadi anak muda,'' ceritanya lagi.
Walaupun masih dalam usia kanak-kanak namun minat tidak pernah menghalang beliau untuk menonton filem atau muzik yang diminati. Malah, beliau sanggup menanti berjam-jam lamanya menunggu jika orang dewasa memasukkan duit syiling ke dalam juke box untuk mendengar muzik.
''Minat saya terhadap lagu-lagu dan filem Melayu begitu bersemarak tetapi usia yang terlalu muda menghalang segala-galanya, hinggalah saya bertambah dewasa,'' kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini.
Apabila sudah bekerja dan ada duit sedikit barulah minat itu beliau lakukan dengan lebih serius dan setiap kajian itu difailkan dengan lebih sempurna, tidak seperti masih budak-budak dulu.
Ketika membuat penyelidikan ujarnya, aspek yang ditekankan adalah siapa pengarahnya, lokasi penggambaran, pelakon, bila filem dibuat, syarikat pengeluar. Kalau lagu pula siapa penyanyinya, pencipta dan dalam rekod apa ia dirakamkan dan sinopsis serta poster filem.
''Dengan penyelidikan itu saya berjaya membongkar latar belakang dua filem Melayu hitam putih yang mungkin kita semua tidak mengetahuinya iaitu filem Bakti (1950) dan Miskin (1952),'' katanya.
Malahan dalam usaha tersebut, beliau dapat mengetahui dua perkara tentang perkembangan dunia hiburan Melayu pada sebelum merdeka.
Pertama adalah filem Melayu pertama yang penggambarannya dilakukan di luar Tanah Melayu iaitu pada tahun 1938. Lokasinya ialah di Bombay, India dan filemnya berjudul Dr. Shamshi.
Keduanya pula tambah beliau, adalah syarikat pengeluar filem Melayu yang sudah lenyap iaitu Nusantara Filem.
''Zaman Jalan Ampas, selain Cathay Kris dan Shaw Brothers, Nusantara turut aktif sebagai pengeluar filem-filem Melayu,'' katanya.
Antara filem yang dikeluarkan oleh syarikat Nusantara ialah Angin Berpesan (lakonan M. Suki, June Haris dan S. Kadarisman), Perkahwinan Rahsia, Pelangi dan Mencari Jodoh.
''Semua bahan penyelidikan ini, saya dapat daripada pergaulan rapat dengan mereka yang terbabit dalam filem/lagu dan juga majalah masa itu,'' katanya.
Dalam memastikan setiap kajian itu lengkap, beliau sanggup merantau ke serata negara untuk membeli lagu atau buku tentang filem Melayu.
''Malah saya sanggup mengupah orang untuk merakamkan setiap lagu ataupun filem-filem Melayu yang ditayangkan di TV ketika itu,'' ujarnya lagi.
Dengan minat itu jugalah beliau berkesempatan malah berpeluang untuk bergaul rapat dan berbual dengan warga seni, termasuklah arwah Tan Sri P.Ramlee sendiri.
''Di samping membuat kajian, saya juga berpeluang mendengar apa sahaja cerita yang berlaku di belakang tabir dunia hiburan Melayu ketika itu,'' jelas beliau.
Atas usaha beliau itulah, sebahagian besar daripada catatan mengenai filem dan juga lagu Melayu lama, termasuk dalam bentuk rakaman, masih tersimpan dengan baik di rumah beliau dan ada antaranya dibukukan untuk koleksinya sendiri.
Kini beliau memasukkan setiap catatan itu ke dalam komputer supaya ia tersimpan dengan baik supaya tidak hilang begitu sahaja.
''Saya boleh katakan walaupun bukan menjamin bahawa koleksi filem dan juga lagu Melayu lama yang saya kumpulkan dalam simpanan saya itu mungkin tidak ada di Finas atau Arkib Negara,'' kata beliau penuh yakin.
Bagaimanapun hobi tersebut tidaklah seligat dahulu kerana kesuntukan masa dengan pekerjaan tetapnya di IPTAR.
Bagaimanapun kerana minat juga, ada ketikanya beliau juga turut menyumbangkan tenaga dan koleksi beliau dalam usaha pihak tertentu tentang dunia hiburan dahulu.
Cuma apa yang dilakukan kini adalah berusaha memastikan setiap catatan dan rakaman filem serta lagu Melayu lamanya masih tersimpan dengan baik.
''Saya melihat apa yang saya lakukan itu adalah sebagai suatu koleksi khazanah seni negara yang tidak harus dibuang begitu sahaja.
''Pada pandangan saya kehebatan insan seni dahulu tidak boleh ditandingi oleh generasi sekarang.
''Dalam pada itu kita juga boleh berbangga kerana kita ada filem dan lagu yang diiktiraf oleh masyarakat luar,'' jelas beliau lagi.
Oleh: HASHNAN ABDULLAH

Thursday, April 09, 1998

Tema mencari tokoh berwibawa

Tidak dinafikan beberapa nama, sama ada muka-muka baru dan lama 'tersenarai' untuk menduduki kerusi pimpinan organisasi induk teater tanah air tersebut selepas tanggal ini.
Tanggal 2 Mei ini juga dianggap sebagai penentu kepada kepimpinan dan wawasan baru yang akan dibawa oleh Tema dalam menghadapi alaf baru serta perubahan perspektif seni.
Sesuai dengan perubahan baru seperti yang dicita-citakan oleh segenap anggota Tema, pemilihan baru ini diharapkan mengheningkan polemik dan masalah organisasi tersebut sejak lebih setahun lalu.
Seperti yang dijelaskan oleh Setiausaha Agung Tema, Kamaruzaman Ibrahim (Kamarul A.R), apa yang paling penting ialah kehadiran penggiat teater dan individu berwibawa untuk memikul tanggungjawab ini.
Menurutnya, negara ini tidak pernah ketandusan penggiat-penggiat teater berbakat dan tokoh-tokoh berwibawa dalam menerajui organisasi seni. Cuma, mereka tidak tampil ke depan untuk berperanan.
''Saya mewakili pihak Tema menyeru semua penggiat teater yang mempunyai bakat terpendam agar memberi sumbangan dan bersama-sama untuk memajukan Tema dan dunia teater tanah air.
''Tidak mustahil, kedudukan Tema dalam memperjuangkan teater di negara ini akan memperlihatkan ha-silnya dengan baik jika golongan ini dapat memberi idea dan pengalaman mereka,'' katanya.
Dalam hal ini, Kamarul menjelaskan komitmen tokoh-tokoh ini setidak-tidak dapat dijadikan acuan kepada para pimpinan Tema lainnya dalam membawa hala tuju organisasi ini.
Malah, peranan golongan mapan dalam dunia teater ini juga dapat membuka ruang yang lebih besar untuk aktiviti-aktiviti Tema sama ada di peringkat nasional mahupun negeri.
''Kami sedar Tema masih mempunyai pelbagai kelemahan yang harus diperbaiki dan diperbetulkan kembali untuk mewujudkan satu pucuk pimpinan yang benar-benar berwibawa dan mampu menjadi wadah kepada dunia teater tanah air.
''Diharapkan dengan penyertaan dan sokongan dari golongan ini, Tema dengan pucuk pimpinan baru selepas 2 Mei ini mampu menjadi organisasi yang kukuh dan mantap,'' tambahnya.
Beliau menjelaskan, negara ini mempunyai beberapa tokoh dan penggiat teater yang mampu memberi sesuatu yang positif kepada kedudukan Tema. Antaranya, Ahmad Yatim, Faridah Merican, Khalid Salleh dan beberapa muka baru yang berkebolehan.
Golongan ini seharusnya tidak hanya berpeluk tubuh membiarkan pimpinan lama Tema bekerja sendiri dengan idea dan gagasan yang turut terbatas oleh waktu, serta sokongan.
Namun, untuk merealisasi cita-ci-ta ini, menurut Kamarul, pucuk pimpinan baru selepas 2 Mei harus menyembuhkan 'penyakit' lama yang kian merebak dalam tubuh Tema.
Justeru kehadiran tokoh-tokoh dan penggiat teater ini diharapkan menjadi suntikan penawar kepada organisasi ini.
Semua pihak terutama para pencinta teater tanah air berharap Tema mampu memikul wadah tersebut.
Malah mereka juga menginginkan agar ia tidak sekadar sebuah organisasi 'hidup segan mati tak mahu'.

Wednesday, April 08, 1998

Megat Terawis penyelamat Puteri Limau Purut

Sebagai helah, Megat Terawis dan rombongan mengadap Sultan Acheh dengan menyatakan keinginannya berkhidmat dengan Sultan Acheh. Permaisuri Acheh menguji kecekapannya dengan meminta diambilkan durian pada pokok yang tinggi di awan.
Sementara Megat Terawis mencari jalan mendapatkan durian tersebut, Sembana telah mendesak dan mencabar Megat Terawis kerana lambat bertindak. Lalu Megat Terawis berserapah dan dapat menurunkan durian idaman Permaisuri Acheh. Sembana merasa malu dan tidak mahu pulang ke Perak.
Justeru terlalu gembira, permaisuri Acheh me-ngurniakan permintaan Megat Terawis membawa pulang Puteri Limau Purut ke Perak dengan syarat menewaskan hulubalang Acheh.
Sekembali ke Perak, Megat Terawis mengadap Sultan Perak dan menyembahkan sikap Sembana yang berpaling tadah. Sembana telah menghasut sultan dan permaisuri Acheh supaya bermusuh dengan Sultan Perak.
Angkatan Acheh diketuai Sembana telah menyerang Perak tetapi berjaya ditewaskan oleh angkatan Perak yang diketuai oleh Megat Terawis.
Kisah legenda dua negara ini boleh disaksikan dalam pementasan bangsawan Bendahara Garang Perak yang sedang dipentaskan mulai semalam hingga malam esok di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur mulai 8.30 malam. Pementasan matinee juga diada-kan pukul 3 petang esok.
Pementasan yang diarah Rahman B ini merupakan projek tahunan yang mesti dijalankan oleh pelajar-pelajar tahun dua di Akademi Seni Kebangsaan (ASK).
Sebelum ini pelajar ASK pernah mementaskan bangsawan Raja Laksamana Bentan dan Haris Fadilah.
Teater yang dibawa ke Tanah Melayu sekitar 1880-an dan dikenali sebagai wayang Parsi ini dianggap sebagai platform yang paling baik bagi melahirkan pekerja pentas yang berdisiplin dalam pelbagai aspek. Ini bersesuaian dengan aspirasi kerajaan untuk melihat graduan ASK menguasai setiap aspek kesenian.
Kemahiran yang mereka perolehi ini amat bermakna apabila dapat digabungkan dengan teknologi pementasan yang kini semakin canggih.
Antara pelakon yang menjayakan pementasan Bendahara Garang Perak ialah M. Nasri Ayub (Megat Terawis), Afna Jutrina (Puteri Limau Purut), Musaffah Roslan (Sultan Acheh), Siti Rohana Abdul Jalil (Permaisuri Acheh), Mohd. Ismadi Wan Wakiri (Sultan Perak), Wan Zalina Rajali (Permaisuri Perak), Hasmadi Hassan (Tok Merah), Wan Kandari Ibrahim (Sembana), Japrin Kapis (Tok Bidara) dan Azha Othman (Memanda Menteri). Tiket bagi pementasan ini ialah RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi pelajar.
Oleh: SITI ROHAYAH ATTAN

Tuesday, April 07, 1998

Usman Awang, derita pak Utih dan kemakmuran

PAK Utih lelaki separuh umur, mempunyai lima anak dan seorang isteri. Tinggalnya di teratak usang dan mempunyai sebidang tanah yang tandus untuk berhuma. Pak Utih berperang dengan kemiskinan dan malaria.
Sementara di kota, para pemimpin bersorak gembira. Kemerdekaan kononnya kemakmuran kepada rakyat. Mereka menjanjikan ''jambatan emas kemakmuran sampai ke akhirat''.
Demikianlah kalau diprosa puisi Pak Utih yang ditulis oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang pada 1954.
Minggu lalu dalam satu majlis deklamasi puisi penghormatan kepada Usman di sebuah galeri di Bangsar, puisi Pak Utih diperdengarkan menerusi rakaman pita. Usman difahamkan tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.
Pak Utih terus segar dan relevan dengan sosiopolitik, sikap dan memaknakan semula perjuangan dalam konteks semasa. Rakyat seperti Pak Utih banyak yang terpinggir daripada agenda politik sesetengah pemimpin kerana Pak Utih telah menandatangani kebenaran untuk mereka mewah tanpa sempadan.
Sekalipun sudah 44 tahun berlalu, puisi ini tetap sinis seperti dulu. Kehadirannya masih relevan dalam ketidakadilan sosial hari ini.
Pertanyaan Usman pada bait akhir puisi itu, ''Pak Utih menanti dengan doa, bapak-bapak pergi ke mana dengan mobil besar?'' masih belum terjawab.
''Bapak-bapak'' dirujuk daripada puisi Pak Utih adalah pemimpin yang mencapai kejayaan hasil suara rakyat seperti lelaki tua bernama Pak Utih ini.
Harus diingat, puisi ini ditulis tiga tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan. Tiga tahun sebelum segenting kera ini dipimpin oleh anak watan. Puisi Pak Utih adalah mengenai gelagat pemimpin politik yang terlupa tanggungjawab kepada rakyat.
''Di mana-mana jamuan dan pesta makan, ayam panggang yang enak di depan, datangnya dari desa yang dijanjikan kemakmuran.'' (petikan Pak Utih).
Usman yang mengguris emosi menerusi Gadis Di Kuburan dan Ke Makam Bonda antara penyair ASAS 50 yang komited dengan perjuangan kemanusiaan, keamanan dan sentiasa membakar semangat supaya tidak ''berjiwa kecil''.
Banyak yang menganggap puisi-puisi Usman berunsur melankolik, barangkali kerana struktur bahasanya seperti Gadis Di Kuburan dan Ke Makam Bonda.
Tetapi puisi Usman yang menyentuh dunia politik dan isu sosial mempunyai substance sebagai mewakili suara golongan seniman.
Siapa kata seniman tidak prihatin dengan segala pergulatan sosial yang berlaku di sekeliling mereka? Siapa kata seniman hanya menunggu ilham yang datang waktu bulan mengambang atau memencilkan diri? Dan siapa kata seniman tidak berjasa kepada negaranya?
Ketika dunia politik menjanjikan kemewahan dan kuasa, puisi Pak Utih memberi kesedaran kepada rakyat dan pemimpin. Puisi ini mungkin kurang disenangi tetapi yang penting Pak Utih boleh dijadikan cermin untuk menyuluh diri.
Sama seperti kebanyakan puisi Usman yang lain, Pak Utih dibina dengan struktur puisi tradisional yang mempunyai rima pada akhirannya. Tetapi melihat Pak Uith dalam konteks semasa bukan sahaja pada strukturnya tetapi keprihatinan Usman terhadap kepentingan rakyat.
Ini antara beberapa puisi Usman yang menjentik kesedaran sekali gus meletakkan Usman di tengah-tengah masyarakat. Pendiriannya tentang isu sosial tidak pernah berubah malah menjadi suara keamanan sejagat menerusi Merpati Putih Jelajahilah Dunia Ini.
Ketika politik beralih dari landasan perjuangannya, tentu ada kewajarannya untuk menelaah kembali makna yang disuarakan oleh Usman tiga tahun sebelum menjelang merdeka.
Sebenarnya Pak Utih relevan dengan semua zaman selagi demokrasi dan politik tidak diletakkan pada landasan yang betul. Seperti kata Usman dalam Pak Utih, ''Ketika kemenangan bersinar gemilang, pemimpin di atas mobil maju ke depan, dadanya terbuka, ah...rakyat tercinta melambaikan tangan mereka.''
Puisi Pak Utih ada sequelnya. Puisi Pak Utih II (1974) 20 tahun selepas Pak Utih dengan humanya yang tandus. Usman menulis tentang kegawatan ekonomi dan kebuluran di negara yang makmur.
Di luar puisi, 1974 adalah zaman gerhana, kebuluran di Baling dan demonstrasi pelajar di beberapa institusi pengajian tinggi sehingga membawa ke Masjid Negara.
Ini antara peristiwa yang cuba dipadamkan dari sejarah dan peristiwa hitam masyarakat pelajar yang dikembiri keberanian bersuara. Dalam Pak Utih II tersingkap semuanya.
Oleh: KU SEMAN KU HUSEIN

Safura ~~ teater cinta pertamanya

Meskipun lebih enam tahun dalam bidang nyanyian dan menghasilkan album solo, namun Safura tidak pernah melupakan minat mendalamnya terhadap teater.
Malah penyanyi yang popular dengan lagu Sedalam Mana Cintamu ini tetap meletakkan teater sebagai satu cabang seni yang paling utama dalam karier seninya.
Ketika zaman persekolahannya, penyanyi ini bergiat aktif dalam teater dan mewakili sekolah selama dua tahun bagi pertandingan peringkat negeri Selangor.
''Ketika sekolah, orang tak kenal saya sebagai penyanyi tetapi sebagai pelakon teater. Saya pun tidak begitu berminat dengan nyanyian, '' beritahu Safura.
Namun kata Safura, segala-galanya tidak mudah bagi dia untuk meneruskan minat terhadap teater. Kerana dia perlu menanggung keluarga, maka bidang nyanyian diterokainya kerana dunia tersebut lebih menjanjikan pulangan yang lumayan.
Kerana itu selama enam tahun, Safura menjadi penyanyi kelab malam dan terpaksa melupakan dunia teater buat sementara. Kalaupun ada tawaran untuk berlakon, dia terpaksa menolaknya kerana jadual pementasan bercanggah dengan jadual nyanyiannya.
Namun kini menurut Safura, dia dapat melepaskan perasaannya yang sekian lama ingin berlakon teater dalam pementasan Sirih Bertepuk Pinang Menari yang akan dipentaskan pada Mei ini. Dalam teater ini Safura memegang peranan sebagai Puteri Kamaliah.
''Banyak tawaran teater teater dan drama TV yang saya terima sebelum ini tetapi jadual latihan bercanggah dengan promosi album saya. Tapi penganjur teater ini bersikap rasional dengan saya kerana saya boleh menghadiri latihan apabila saya tidak terikat dengan jadual nyanyian.
''Jadi, apabila saya mempunyai masa, saya menghadiri latihan teater. Selalunya pula saya menghafal skrip pada waktu malam kerana ia lebih menenangkan. Apa yang penting, untuk berteater kita perlu ada asas dan memulakan segala-galanya dari bawah,'' jelas Safura.
Menurut penyanyi ini lagi, sekiranya ditawarkan lagi untuk berlakon teater atau filem dan drama, dia hanya akan bersetuju sekiranya tawaran tersebut tidak mengikat dirinya dengan kegiatan nyanyian.
''Kalau mereka bertolak ansur dengan jadual saya dan membenarkan saya mengadakan latihan sekiranya saya tiada promosi atau persembahan, saya pastinya akan bersetuju. Saya terpaksa pentingkan nyanyian kerana ini kerja saya untuk mencari rezeki,'' ujar Safura.
Ketika kegawatan ekonomi, ramai yang mengeluh mengenai kurangnya tawaran, namun bagi Safura yang pernah dibayar gaji bulanan sewaktu menyanyi di kelab malam, dia merasakan rezekinya semakin bertambah.
''Saya beringat ketika saya dibayar gaji bulan dengan pendapatan ketika ini. Dulu gaji sikit dan sekarang semakin meningkat. Jadi, apabila rata-rata mengeluh kerana ekonomi, saya merasakan pendapatan saya bertambah,'' kata ibu tunggal ini.
Apa yang penting ujarnya lagi, dia perlu berjimat dan sentiasa beringat ketika zaman susah, apa lagi untuk membesarkan anak tunggal Nurul Natasha yang kini telah pun berusia lebih dua tahun.

Monday, April 06, 1998

Antara Jomini, Sun Tzu dan von Clausewitz

SEORANG tokoh korporat terkemuka yang saya temui menjadi fisolofikal apabila bercakap tentang kedudukan syarikatnya di tengah kegawatan ekonomi hari ini:
''Buat sementara ini, saya tewas. Tetapi saya menerimanya dengan tabah. Agaknya inilah yang dikatakan 'the pride of glorious defeat' seperti yang disebutkan oleh von Clausewitz.''
Beliau ialah salah seorang pembaca tekun Karl von Clausewizt, ahli strategi dan panglima perang berbangsa Prusia yang memberikan kita buku On War yang amat penting mengenai seni dan falsafah perang.
Clausewitz adalah di antara pemikir perang yang paling dikenali di dunia. Selain beliau, Sun Tzu dari China dan Antoine Henri Jomini dari Perancis paling banyak dibicarakan kerana karya-karya mereka mengenai seni peperangan.
Sun Tzu (400-330 Sebelum Masehi) yang menulis Ping-fa (The Art of War) itu hanya mendapat perhatian meluas setelah terjemahan bukunya yang dilakukan oleh J.J. M. Arnoit seorang mubaligh Kristian di Paris pada tahun 1722.
Henri Jomini (1779 - 1869) walaupun seorang pemikir terbilang tetapi kurang mendapat perhatian kerana gaya penulisannya dalam buku Summary of the Art of Warfare. Jomini banyak dibaca kerana beliau seorang pengkaji Napoleon Bonarparte (1769-1821) yang tekun. Malah satu ketika dahulu, maharaja Perancis itu begitu dikagumi kerana kehebatannya di medan perang. Jomini menjadi terkenal kerana dia banyak menghuraikan teori dan strategi perang Napoleon.
Tetapi tumpuan beralih kemudiannya pada von Clausewitz. Clausewitz tidak mengenal lain dari perang. Beliau mula menjadi askar pada usia yang sangat muda - khabarnya 12 tahun dan terlibat dengan perang setahun kemudian. Beliau kemudiannya menjadi salah seorang pelajar terawal akademi tentera di Berlin.
Di sanalah beliau mengenal dan mempelajari panglima-panglima tentera terbilang dunia - sejak zaman awal.
Pendedahan beliau pada Nicolo Machiavelli (1469-1527) memberikan perspektif politik pada pemikiran ketenteraannya. Dia melihat ''dekatnya'' politik dan ketenteraan dalam kehidupan manusia. Machiavelli seperti yang kita tahu ialah penulis buku The Prince.
Raja Frederick (1712-1786) amat dikagumi oleh von Clausewitz. Malah dengan mempelajari Frederick (yang dikenal di Barat sebagai Frederick the Great), von Clausewitz memahami tentang pentingnya panduan perang bagi seorang panglima. Frederick sendiri menulis sebuah manual peperangan yang dikenal sebagai The Instruction of Frederick the Great for His Generals yang ditulisnya pada tahun 1747. Dari Frederick, dia memperkenalkan istilah ''glorious defeat'' itu.
Clausewitz juga pernah menentang Napoleon. Dari Napoleon beliau belajar tentang strategi - baginya strategi ialah segala-galanya dalam perang. Clausewitz juga sedar bagaimana cita-cita amat penting bagi seorang panglima - dia belajar hal itu dari Julius Ceasar (100-44 SM) maharaja Rom yang terkenal.
Dari panglima perang Greek bernama Hannibal (247 - 183 SM) yang tersohor kerana membawa bala tenteranya termasuk gajah melalui pergunungan Alps, Clausewitz belajar tentang perlunya panglima membenci musuhnya.
Kombinasi Napoleon, Machiavelli, Hannibal, Ceaser dan Frederick menjadikan On War begitu berharga. Clausewitz menganggap bahawa perang dan politik sebagai satu dan serupa dan peperangan sebaik-baiknya diletakkan di bawah pengawasan seorang pemimpin politik. Malah kenyataannya yang paling terkenal ialah ''War is the continuation of politics by other means.''
Clausewitz seperti juga Sun Tzu dan Jomini dilihat lebih jauh dari sekadar ahli strategi perang. Dunia korporat hari ini mengambil bentuk baru peperangan - lengkap dengan taktik, serangan, pengunduran dan kemenangan. Kita mendengar pelbagai bentuk ''perang'' yang hebat dalam dunia perniagaan, sebahagiannya diilhamkan oleh Clausewitz dan rakan-rakannya.
Seperti teman yang bermasalah besar akibat ringgit yang merudum dan pasaran saham yang tidak menentu tadi, dia akan mencari kekuatan dari Clausewitz.
Operasi ketenteraan bagi Clausewitz tidak lebih dari satu sains. Maka itu hanya yang terkuat dan yang paling cekal akan bertahan. Seperti Sun Tzu, Clausewitz juga menyarankan panglima tentera patut berundur bila terdesak.
''Bukalah hati kamu untuk menghadapi pengakhiran yang gemilang,'' nasihat Clausewitz. Ia boleh jadi kemenangan atau kekalahan - JOHAN JAAFFAR.

Karyawan intan terpilih

ANUGERAH Nobel adalah hadiah yang paling berprestij dalam dunia. Di Asia Hadiah Ramon Magsaysay dan Nehru. Di tanah air pula Anugerah Tun Razak.
Tahun ini Pemegang Amanah Yayasan Tun Razak telah mengurniai Anugerah Tun Razak kepada dua tokoh nasional yang kontras; pelajaran, bakat, fitrah, sosial dan etos.
Tun Ghaffar Baba dan Adibah Amin atau Seri Delima, nama penanya, sempena hari keputeraan Tun Razak yang ke-76 tahun pada 11 Mac lalu.
Penulis dan Adibah strangers. Adibah tidak mengenali saya walaupun saya mengenalinya melalui tulisan dan reputasinya hinggalah awal tujuh puluhan apabila Hadiah Sastera (kini Anugerah Sastera) dilancarkan oleh Tun Razak dan Adibah dilantik sebagai seorang ahli panelnya.
Saya juga ahli panel yang tidak berfungsi secara langsung. Peranan saya hanya di belakang tabir. Kehadiran saya hanya sebagai jambatan penting antara ahli panel dan Tun Razak yang menyerah bulat promosi kesusasteraan Melayu kepada saya melalui panel Hadiah Sastera dan media hinggalah Tun Razak kembali ke rahmatullah; dan saya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tahun 1976-1981.
Mahu dikatakan Adibah dan saya strange bedfellows - dua insan yang berbeza - agak keterlaluan tetapi andai kami strange bedfellows pun kami bukanlah orang pertama dalam sejarah yang bekerjasama bagi mencapai satu tujuan; promosi literasi Melayu yang kami yakin satu perjuangan yang pasti tidak gagal (not a lost cause).
Saya tidak berjumpa Adibah sudah lebih satu dekad tetapi saya amat gembira dan senang sekali Adibah dimuliakan bagi mengenang sumbangan dan jasanya yang cemerlang ''kepada pendidikan, persefahaman dan harmoni antara kaum dalam negara.''
Kenapa tidak diiktiraf sumbangannya yang teragung - iaitu kepada kesusasteraan dan jurnalisme Melayu dan Inggeris yang mengharumkan namanya? Apa pun sebabnya itu ditinggalkan tidak menjejaskan ketetapan dan keunggulan pilihan Adibah menerima anugerah yang berprestij itu.
Semua orang yang berbakat, saya rasa, ada kekecewaannya. Ada novelis yang skripnya tidak diterima, ada politikus yang ideanya diketepikan dan pentadbir yang terbiar (neglected). Mereka yang benar-benar berjasa tidak diiktiraf, mereka yang amanah dan cendekiawan dan alim ulama yang sahih dipinggirkan tetapi yang berpura-pura bestari dan pandai meleceh dan oportunis dikedepankan.
Pengiktirafan Adibah membuat saya optimis walaupun dalam satu masyarakat yang ingatannya pendek selama mana bakat dan jasa terus tidak dipedulikan seperti matahari diselindungi dengan nyiru?
Hemingway tiada ketenangan hidup akhirnya membunuh diri. Begitu juga Virginia Woolf; Tolstoy hidup tidak bahagia dan mati diserang pneumonia di stesen kereta api yang terpencil.
Ramai anda yang muda mungkin tidak kenal Adibah Amin. Kalau anda tidak pernah membaca tulisan dan karyawannya, baik dalam bahasa Melayu atau Inggeris, saya kira anda rugi banyak, satu hal yang anda harus segera membetulkannya agar anda terhibur dan kagum dengan dwibahasa yang lembut, indah, sensitif dan tajam.
Baca apa kata Tun Mohamad Suffian Hashim tentang Seri Delima dalam kata pengantarnya dalam buku As I Was Passing...., satu koleksi kolumnis Adibah; ''Seorang kronikalis (chronicler) yang periang, pandai pula menjadi orang terhibur dan menggelikan hati melalui pembabadkan peristiwa-peristiwa kecil yang mencerminkan Malaysia.''
Universiti Malaya ( di Singapura waktu itu) menerima Adibah sebagai mahasiswi perubatan tetapi ia telah menukar pengajian kepada seni (Arts). Mujurlah itu berlaku, kalau tidak Adibah mengguna bakatnya menulis prescription yang prosaic bukan prosanya yang indah lagi menggembira dan menyeronokkan. Adibah telah meletak jawatan dari menjadi guru dan guru besar kerana takut dinaik pangkat (ramai manusia melobi mahu naik pangkat) dan dijadikan pentadbir. Adibah suka mengajar, mengasuh dan mendidik bukan mentadbir. Adibah memohon kerja dengan Berita Harian tetapi diambil untuk bertugas di New Straits Times. Lahirlah seorang penulis dan kronikalis periang yang menyeronokkan pembaca di seluruh negara, Singapura dan Brunei.
Tambah Tun Suffian; ''Seri Delima mempunyai satu pena yang lincah (nimble)''. Saya kenal emak Adibah, Ibu Zain, semasa beliau Wakil Rakyat Persekutuan. Satu masa di rumah Abdul Rahman Ya'akub (sekarang Tun) Ibu Zain telah bertanya saya sama ada saya kenal Adibah - saya berbohong kepadanya - ''Siapa tak kenal Adibah ibu?'' Saya boleh bertegang leher saya tidak berbohong kerana saya kenal anaknya melalui tulisannya.
Tegas Ibu Zain; ''Anak tahu Orang Putih di Johor nak hantar Adibah belajar di Malay Girls' College, di Kuala Lumpur (sekarang Tunku Khursiah di Seremban)? Ibu tidak setuju, ibu tidak benarkan kerana mereka mahu anak ibu jadi seorang memsahib!''. Ironisnya selepas lulus universiti, Adibah mengajar di MGC - Malay Girls' College waktu itu di Bukit Damansara dekat banglo estet Socfin.
Saya sampai hari ini masih tidak mengerti bagaimana seorang pelajar geliga dan berbakat semula jadi, satu kecualian walau di samping peersnya (setandingnya), Adibah terlepas dipilih ke Oxford atau Cambridge?
Tidak keterlaluan andainya Adibah ke Oxbridge dia akan muncul sebagai penulis termuka antarabangsa seperti Sir V.S. Naipaul, keturunan India dari Trinidad - Tobago yang belajar di Oxford sezaman dengan Adibah di Singapura. Anda ingat karyanya ''Among the Believers - Ditengah Penganut Islam''? Anwar Ibrahim semasa dia memimpin ABIM adalah antara karakter termuka dalam buku itu. Saya amat bersetuju dengan pendapat Tun Suffian dan satu ketika pula Tan Sri Lee Siew Yee, waktu itu Ketua Pengarang NST, seorang penulis bahasa Inggeris yang elegan pernah berkata kepada saya: ''Dollah - awak tahu Adibah adalah satu bakat yang istimewa, satu kecualian?''
Sesungguhnya saya berharap Adibah kembali aktif menulis dan mengumpulkan pandangan dan refleksinya yang kontemporari tentang diri dan kecenderungan semenjak 62 tahun hidupnya. Keintelektualan Adibah telah dan mesti memberi satu penilaian unik lagi mendalam bagi memahami kehidupan dan matlamat bangsa sekarang. Saya hormati Adibah sebagai seorang penulis dwibahasa yang cekap, limpah dan halus. Apabila jari dan kalamnya menari-nari atas kertas ia membangkitkan sifat ambil tahu (curiosity) saya dan saya kira ia juga akan menimbulkan minat yang bukan sedikit semua bangsa di tanah air.
* Datuk Abdullah Ahmad ialah Wakil Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Friday, April 03, 1998

Menopause Intelektual

SEMASA memperkenalkan pemidato undangan Kuliah Tun Razak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 26 Mac lalu, Profesor Datuk Dr. Wan Hashim Wan Teh, Timbalan Naib Canselor UKM, menganjurkan agar para hadirin mencontohi Tan Sri Ghazali Shafie dalam berkarya. Ghazali ternyata hebat.
Dalam tempoh dua tahun sahaja sebagai Karyawan Tamu di UKM, Ghazali telah berjaya menghasilkan empat buah buku yang diterbitkan oleh Penerbit UKM.
Secara peribadi, saya dan beberapa orang rakan yang sering menulis yang turut hadir pada majlis tersebut cemburukan Ghazali. Pada usia 76 tahun beliau masih produktif dan prolifik.
Memoirnya tentang pembentukan Malaysia setebal 465 halaman sedang hangat diperkatakan oleh kelompok akademik, diplomat dan penganalisis dari dalam dan luar negara.
Pada hemat saya, Ghazali perlu dicontohi khususnya dalam konteks ''orang pencen''. Biasanya, pesara di Malaysia terbahagi kepada tiga kategori, iaitu (i) mereka yang masih sihat dan aktif akan memulakan kerjaya baru dengan semangat orang muda biasanya ''menjadi pengarah syarikat'', berniaga, atau berkuliah; (ii) mereka yang kurang sihat maka terpaksalah berehat di rumah, atau ''ditugaskan'' menjaga anak cucu; dan (iii) mereka yang masih sihat serta aktif tetapi memilih untuk membuat kerja-kerja amal, hobi atau berkarya.
Bagi saya, Ghazali termasuk dalam kategori ketiga. Begitu juga dengan beberapa orang karyawan lain yang secara tiba-tiba semakin produktif sejurus selepas bersara, seperti N.A. Halim dan Dr. Abdullah Hassan.
Bagi mereka, pada hemat saya, era selepas bersara merupakan peluang keemasan untuk meluahkan ilmu dan pengalaman terutamanya menerusi penulisan.
Tanpa diganggu oleh mesyuarat, rutin kerja dan memo ketua jabatan, mereka bebas menentukan sendiri jadual harian dan senarai keutamaan. Mereka juga bebas untuk bangun pagi, dan ''terselamat'' daripada kesesakan lalu lintas pada awal pagi, dan tidak perlu lagi bergegas untuk mengejar perakam waktu di pejabat. Hal yang sama juga berlaku di Barat, khususnya dalam konteks kehidupan kelompok sarjana dan akademik. Selepas bersara pada usia 65 tahun, ramai yang semakin produktif. Biasanya mereka mengisi masa dengan menulis buku atau ensiklopedia.
Dan ramai juga yang menghasilkan karya agung atau magnum opus masing-masing selepas bersara. Menurut seorang bekas profesor di Amerika Syarikat yang pernah saya temui, selepas bersara tidak banyak tekanan dan gangguan dari segi psikologi, masa dan rutin. Itulah masa yang paling sesuai untuk memberi tumpuan bagi menghasilkan sesuatu karya besar, khususnya karya bercorak ilmiah.
Dalam konteks Britain sebagai contoh, ramai bekas profesor masih intim dengan bidang akademik. Universiti melantik mereka sebagai profesor emeritus atau profesor pelawat. Menerusi pelantikan tersebut mereka boleh terus memberi sumbangan ilmiah.
Sumbangan mereka bukannya dari aspek pentadbiran universiti, tetapi dari segi pengembangan sesebuah disiplin ilmu dengan mengambil kira segala faktor sekeliling seperti biaya kemahiran. Mereka juga dirujuk untuk mencari fokus baru dalam bidang penyelidikan, serta memberi bimbingan untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu dalam jurnal atau siri buku atau ensiklopedia akademik.
Bagi seseorang ilmuwan atau pakar dalam sesuatu disiplin ilmu (tidak semestinya profesor), faktor usia sebenarnya penting untuk mencapai tahap kematangan dan kemantapan buah fikiran. Oleh yang demikian dalam sesebuah organisasi atau kelompok yang berteraskan kepada perkembangan ilmu, seperti universiti, sekolah dan perpustakaan faktor usia mesti diberi pengiktirafan yang sewajarnya.
Faktor usia mungkin tidak begitu penting untuk tujuan mentadbir, apatah lagi bersukan. Biasanya si tua akan cepat keletihan jika dibebankan dengan mesyuarat yang tidak berkesudahan atau projek tindakan segera arahan Pak Menteri. Bagaimanapun si tua akan terus menyumbang dan menyinar jika pengalaman, kepakaran dan ilmunya digembleng.
Dalam hal ini, usaha UKM menjemput ''orang pencen'' untuk menjadi Karyawan Tamu atau Profesor Adjung perlu dihargai, bahkan diperluaskan di universiti-universiti lain.
Selain itu, univerisiti juga boleh mewujudkan jawatan Profesor Penyelidikan (Research Professor) yang tugasnya membuat kajian terperinci dalam sesuatu disiplin ilmu. Badan-badan korporat utama pula (mudah-mudahan semuanya telah atau sekurang-kurangnya sedang pulih dari bahana kemelut ekonomi) menaja penyelidikan ''orang-orang pencen'' tersebut demi kepentingan bangsa dan negara.
Saya yakin jika kita membuka ruang yang luas untuk ''orang pencen'' - profesor, politikus, guru, penyelidik, artis dan sebagainya turut berperanan khususnya dalam pengembangan bidang keilmuan maka lebih rancaklah aktiviti ilmiah di universiti.
Ini sekali gus akan menaikkan semangat profesor dan pensyarah muda supaya lebih gigih menjalankan kajian dan berkarya. Malanglah sesuatu bangsa jika pada usia muda, para ilmuwannya sudah menopause dari segi perkembangan intelektual!.
* Dr. Zaini Ujang ialah Profesor Madya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Oleh: DR. ZAINI UJANG

Thursday, April 02, 1998

Kuala Lumpur kontang aktiviti seni

KUALA Lumpur memang terasa kekontangan aktiviti seninya. Ketika Panggung Negara sudah tersergam, aktiviti seni di Kuala Lumpur menjadi semakin malap daripada sebelumnya. Apakah ini disebabkan segala aktiviti seni diserahkan kepada Panggung Negara atau sememangnya Kuala Lumpur tidak memerlukan kesenian?
Benarkah ini bahana daripada kemelesetan ekonomi atau kesenian tidak lagi menjadi keutamaan dalam senarai pembangunan sebuah bandar raya setaraf seperti Kuala Lumpur.
Selain menonton filem yang kebanyakkannya dari Hollywood di cineplex bertaraf mewah, tidak ada lagi tempat yang memberikan sedikit semangat atau apresiasi terhadap seni. Pementasan teater hanya sekali sekala kecuali teater Inggeris yang terus memperlihatkan komitmen mereka.
Pasar Budaya yang suatu ketika dulu menghidangkan acara kesenian yang unik dari ceruk kampung kini sudah tidak mengendahkan lagi acara sedemikian. Sebenarnya mencari nilai seni dan budaya semakin sukar di stesen pertemuan seniman jalanan ini.
Majlis deklamasi puisi menghampiri kepupusan. Bayangkan majlis deklamasi puisi; antara aktiviti yang paling kecil belanjanya telah lama tidak kelihatan di Kuala Lumpur yang mempunyai bangunan tertinggi di dunia.
Pada dekad 70-an dan 80-an dulu deklamasi puisi menjadi sebahagian daripada imej Kuala Lumpur selain pementasan teater peringkat universiti atau persatuan-persatuan kecil. Zaman itu juga mendorong penubuhan banyak kumpulan lain memberi warna yang tersendiri kepada Kuala Lumpur.
Inilah Kuala Lumpur sebenarnya dan imej ini tidak harus dihilangkan kalau semata-mata kerana keutamaan diberikan kepada hal-hal lain yang mendorong imej rakus Kuala Lumpur.
Mungkinkah ini hadiah daripada kemajuan dan kemodenan kepada warga Kuala Lumpur, seniman dan aktivis seninya. Mereka perlu bersedia mengharungi imej, wajah dan nilai baru Kuala Lumpur yang hilang semangat dan jiwa seninya?
Kuala Lumpur sebenarnya tidak cukup dengan Matic atau Panggung Percubaan yang sekali sekala sahaja diisi dengan pementasan atau apa sahaja acara bercorak kesenian.
Warga Kuala Lumpur yang saban hari tersepit dengan seribu satu budaya baru membuatkan mereka menjadi sedikit individualistik. Barangkali aktiviti yang bersifat santai seperti kesenian akan mengembalikan mereka kepada tata hidup yang berbudaya.
Selain daripada Panggung Negara yang menjanjikan segala macam kecanggihan, Kuala Lumpur sebenarnya tetap memerlukan tempat-tempat yang lain untuk aktiviti kesenian. Khabarnya hanya kumpulan yang bertaraf syarikat dan profesional sahaja boleh menjejakkan kaki di Panggung Negara. Yang lain bagaimana?
Wajar diingat, banyak aktiviti kesenian boleh digerakkan oleh persatuan-persatuan yang bertaraf sukarela. Tetapi mereka perlu diberi sedikit ruang seperti yang dibuat pada dekad 70-an atau 80-an lalu.
Pusat Seni Jalan Bandar (belakang Balai Polis Jalan Bandar) dan Panggung Bandaraya selain Panggung Percubaan (ET) Universiti Malaya banyak berjasa kepada pembangunan kesenian di Kuala Lumpur.
Tetapi ini juga lanskap Kuala Lumpur yang terhakis oleh sikap sesetengah pihak yang memberi keutamaan kepada hal-hal lain yang dianggap lebih bermanfaat.
Bagi pelancong, selain mengambil gambar bangunan Sultan Abdul Samad atau ke Balai Seni Lukis Negara, tidak ada aktiviti kesenian yang memperlihatkan satu entiti budaya kecuali ke Jalan Petaling China Town yang menjadi sebahagian daripada wajah Kuala Lumpur.
Kalau dekad 70-an atau 80-an, dianggap kemuncak pertumbuhan aktiviti kesenian di Kuala Lumpur, kini kegemilangan itu telah ditinggalkan jauh dalam sejarah. Zaman aktivis berkorban masa dan tenaga untuk mementaskan teater telah berakhir apabila personaliti diajar dengan bayaran lumayan.
Lebih malang lagi apabila kita melupakan mereka yang pernah dibayar dengan air sirap untuk berlakon.
Mereka sebenarnya tidak mendapat apa-apa apabila ''orang luar'' tiba-tiba mendapat bayaran kerana populariti, lebih tiga kali ganda harga sebuah teater ''air sirap''.
Nampaknya kita semua perlu menunggu Panggung Negara untuk memberikan sedikit imej dan semangat seni kepada Kuala Lumpur. Tetapi untuk mengecapi zaman seperti 70-an atau 80-an di mana aktivis agak bebas berkarya barangkali tidak berulang lagi.
Ayuh! kita ke Hard Rock Cafe, Bistro atau Foster's Hollywood untuk mengisi malam. Ini jiwa baru Kuala Lumpur.
Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN

Pertemuean Anak Seni Kedah 8 April

Jurucakap penganjur, Murat Ibrahim memberita-hu, pertemuan yang dirancangkan itu adalah yang julung kali diadakan sebagai mengeratkan silaturahim antara penggiat seni yang berasal dari Kedah.
''Kedah melahirkan banyak penggiat seni yang bukan sahaja bergiat di Kedah malah di Kuala Lumpur dan mewarnai bidang perfileman, muzik dan teater. Kami berhasrat mahu mempertemukan mereka sempena suasana Hari Raya,'' ujar Murat yang juga tokoh teater dan bangsawan yang terkenal di Kedah.
Murat menjangka lebih kurang 600 penggiat seni yang berada di Kedah dan juga di luar negeri itu dan berharap dapat meluangkan masa untuk bertemu dengan rakan-rakan lama pada majlis itu.
Antara penggiat seni yang berasal dari Kedah dan mencipta nama dalam bidang seni ialah pelakon veteran Mahmud June, Abu Bakar Omar, Zulkifli Zain, Azean Irdawaty, Omar Abdullah, Zulkifli Ismail dan banyak lagi.
''Majlis pertemuan ini bukan sahaja untuk pela-kon malah mereka yang bergiat dalam semua bidang seni seperti dunia penulisan, teater, muzik, lakonan dan sebagainya,'' kata Murat yang merupakan orang yang mencetuskan idea untuk menganjurkan pertemuan ini.
Menurut Murat, beliau meminta maaf kerana tidak dapat menghantar surat undangan kepada semua anak seni negeri Kedah terutama yang bergiat di luar negeri itu kerana ketiadaan alamat terbaru.
Bagaimanapun beliau sangat berharap mereka yang mengetahui tentang pertemuan ini boleh menghubunginya menerusi telefon 010-4445916 atau 04-7314425.

Wednesday, April 01, 1998

P. Ramlee ~~ Kekayaannya tidak disingkap

Pada 22 Mac lalu adalah ulang tahun kelahiran seniman tersohor, P. Ramlee. Dan kalau hayatnya masih ada, P. Ramlee telah berusia 70 tahun. Tahun ini juga masyarakat pelbagai kaum dan darjat telah suku abad kehilangan seniman yang disifatkan sebagai milik rakyat ini.
Pelbagai gelaran diberikan kepada P. Ramlee termasuk seniman agung dan Tan Sri; gelaran paling tinggi yang pernah dimiliki oleh seniman negara ini.
Sekalipun telah suku abad meninggal dunia tetapi poskad P. Ramlee tentang isu sosial seperti dalam Antara Dua Darjat, Penarik Beca, Semerah Padi atau trilogi Bujang Lapuk terus ditatap oleh generasi hari ini.
Bagi kebanyakkan orang, P. Ramlee adalah seniman besar yang pernah dilahirkan oleh dunia kepulauan Melayu ini. Beliau menguasai semua bidang dalam seni; berlakon, menyanyi, berlawak mengarah dan mencipta lagu.
Bakat P. Ramlee memang luar biasa dan sukar dimiliki oleh seniman lain kalau mengambilkira penguasaannya dan penerimaan masyarakat terhadap karya filem dan muziknya.
Baru-baru ini sempena memperingati hari lahir P. Ramlee ada dianjurkan persembahan Pandanglah Lihatlah. Antara isi kandungan persembahan itu ialah memperagakan pakaian P. Ramlee dan Saloma serta menyanyikan lagu-lagu P. Ramlee.
Majlis seperti ini bukannya tidak boleh dianjurkan sebagai memperingati P. Ramlee tetapi sewajarnya ada acara lain yang lebih mengenengahkan atau membongkarkan pemikiran luar biasa P. Ramlee.
Karya-karya P. Ramlee adalah milik masyarakat dan P. Ramlee perlu diketengahkan sebagai seniman yang menjadikan zaman kegemilanganya di Jalan Ampas sebagai ruang untuk mengubah pemikiran masyarakat.
Sejak 25 tahun lalu hingga kini nampaknya belum ada usaha yang bersungguh-sungguh untuk memartabatkan P. Ramlee sebagai seniman besar setaraf dengan khazanah seni yang ditinggalkan.
Lebih malang lagi bagi sesetengah pihak isu royalti karya P. Ramlee lebih penting daripada menyelongkar ''kekayaan'' dalam karya-karya P. Ramlee. Isu royati P. Ramlee boleh diselesaikan dengan saluran yang betul dan itu bukan isu masyarakat.
Malanglah bagi P. Ramlee kalau khazanah yang ditinggalkan tidak ditelaah oleh generasi anak cucunya. Bagi seniman sehebat dan dihormati seperti P. Ramlee, nilai karyanya bukan terletak kepada royalti kerana itu bukan isu sejagat.
Banyak orang terlupa bahawa P. Ramlee dalam konteks kita adalah John Wayne atau Orson Welles. Dan di mana-mana tempat di dunia tidak mempunyai banyak manusia seperti P. Ramlee. Kerana itu masyarakat dan negara wajar berbangga memiliki P. Ramlee.
Berbangga sahaja tidak ada membawa karya P. Ramlee ke martabat sewajarnya kalau tidak dirangsang ke arah membuat kajian yang menyeluruh ke atas seniman ini. Bayangkan setelah suku abad P. Ramlee meninggal dunia, belum ada usaha ke arah apresiasi untuk melihat P. Ramlee dalam konteks cinema dunia.
Saban tahun, P. Ramlee hanya dilihat daripada sudut yang membangkitkan nostalgia. Sedangkan tidak semua orang mempunyai nostalgia itu sekalipun mereka terpegun dengan sinikal Bujang Lapuk kritikan tajam dalam Antara Dua Darjat. Atas alasan itu, P. Ramlee perlu dilihat secara retrospektif.
Masyarakat tidak perlu merasa tersinggung kalau ada kalangan generasi muda yang melihat P. Ramlee daripada sudut pandangan yang agak provokatif. Barangkali masyarakat juga perlu realistik kalau ada generasi muda menganggap P. Ramlee mendahului pengagum Marxist atau sosialis mengecam golongan bangsawan.
Ada sesetengah pula menganggap, P. Ramlee bertanggungjawab menjadikan orang Melayu berjiwa kecil. Lihat sahaja imej manusia kaya yang digambarkan dalam filem P. Ramlee, mereka semua berpekerti buruk, tamak dan penindas yang tidak berperikemanusiaan.
Kekayaan bagi orang Melayu adalah suatu yang negatif malah boleh menjadikan seseorang itu menjadi seburuk Haji Bakhil dalam filem P. Ramlee.
Benarkah kesan daripada ketaksuban terhadap filem-filem P. Ramlee menjadikan orang Melayu kecil dan kerdil jiwa mereka? Ini kerana yang baik pekerti dan budinya adalah yang miskin melarat dan papa seperti watak lakonan P. Ramlee dalam filem-filemnya. Benarkah?
Sewajarnya ada apresiasi tentang P. Ramlee yang membuka atau mengupas tanggapan seperti ini tanpa sebarang segan silu. Kalau tangapan ini tidak benar, apa pula yang sebenarnya?
Apakah P. Ramlee berfahaman sosialis apabila melihat semua golongan bangsawan atau orang kaya sebagai musuh nombor satunya? Semua ini menuntut pengkajian yang menyeluruh tentang P. Ramlee. Karya P. Ramlee harus dilihat sebagai arkib yang merakamkan pengaruh seniman dalam budaya popular pada zaman awalnya.
Tentunya ia tidak ada terjawap kalau sekadar persembahan dan artis generasi hari ini memakai kaca mata hitam imej Panca Sitara atau sketsa filem komedi P. Ramlee. Sebagai seniman besar, P. Ramlee perlu dilihat dengan pemikiran yang lebih besar daripada isu remeh yang mengaibkan P. Ramlee.
Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN

FAMILY ~~ Teroka konsep baru teater

BERTEATER dalam banglo besar yang usang dengan hidangan pelbagai cerita yang berbeza di lokasi yang berlainan, mungkin janggal bagi sesetengah penonton khususnya peminat teater tempatan.
Bagaimanapun, tradisi berteater di luar daripada bentuk biasa, seperti di Matic atau Panggung Negara, adalah konsep baru yang diperkenalkan di negara ini.
Inilah yang bakal dipersembahkan oleh penggiat teater Inggeris,Five Arts Centre menerusi teater Family.
Dengan menggunakan lokasi dalam sebuah banglo usang, di situlah produser, pengarah dan para pelakon serta mereka yang terlibat di dalamnya mempersembahkan teater Family dengan konsep yang berselerak iaitu di bilik dan ruang yang terdapat dalam banglo tersebut.
Family adalah tema utama yang merangkaikan beberapa cerita lain di dalamnya yang dihasilkan oleh tujuh penulis.
Mereka masing-masing menghasilkan beberapa buah cerita yang akan dilakonkan sama ada oleh pelakon lain atau penulis itu sendiri, dalam bilik-bilik yang berlainan.
Menurut pengarah Family, Krishen Jit, konsep teater tersebut yang dipanggil 'persembahan pada ruang yang tertentu' masih baru di negara ini, tetapi pernah dipentaskan empat tahun lalu oleh kumpulan yang sama di Galeri Seni Kebangsaan.
Katanya, bagi teater yang berkonsepkan sedemikian, pengarah dan produser menguasai khalayak dengan memberi peluang kepada mereka berfikir sendiri tentang tema, mesej serta persoalan-persoalan yang diutarakan.
Krishen Jit memberitahu, tujuan teater tersebut ialah mendidik khalayak supaya tidak akan menumpukan perhatian kepada satu-satu teater sahaja, sebaliknya pasti akan menjelajah menyaksikan teater yang lain.
''Dengan mengutarakan teater begini, kita memberi alternatif kepada khalayak untuk melihat mana-mana teater yang diminati kerana kita menyediakan beberapa teater yang dipentaskan dalam ruang dan bilik yang terdapat dalam rumah banglo ini.
''Kita menyelerakkan pemusatan khalayak yang akan membina tumpuan mereka sendiri,'' ujar Krishen Jit yang ditemui sewaktu pratonton teater tersebut, baru-baru ini.
Jelasnya, walaupun pementasan teater tersebut kelihatan berselerak dan masih baru, daripada apa telah dipersembahkan oleh Five Arts Centre sebelum ini, penerimaan daripada khalayak amat baik kerana pementasan sedemikian tidak asing di luar negara termasuk di Singapura.
Katanya, Family adalah sebuah cerita mengenai satu keluarga Cina dimonopoli oleh kaum wanita yang menjalani proses kehidupan, daripada miskin kepada mewah. Pembukaan bagi Family ialah dengan menampilkan suasana karnival yang meraikan hari lahir Puan Yang yang ke-98 tahun. Karnival dipilih sebagai pembukaan teater kerana disifatkan membawa pelbagai unsur kehidupan.
Daripada karnival itu, Family berkembang dengan penglibatan dengan cerita masing-masing dengan mengggabungkan tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India yang mempunyai sejarah dan budaya yang berbeza.
Antara cerita yang akan disampaikan itu ialah mengenai keganasan dalam rumahtangga, pontianak, monolog peminat setia Sheila Majid, rakaman ucapan Perdana Menteri yang disiarkan menerusi radio serta cerita seorang lelaki yang ingin mengubah dirinya menjadi wanita.
Ujar Krishen, banglo tersebut dipilih sebagai lokasi teater kerana ia sendiri mempunyai sejarah tersendiri antaranya pernah diduduki oleh sebuah keluarga Cina.
Family ditulis oleh Leow Puay Tin dan turut diarahkan oleh Wong Hoy Cheong. Antara pengarah yang terlibat dalam teater ini ialah Hayati Mokhtar, Mohan Ambikaipaker, Kam Raslan, Amir Muhammad, Nernice Chauly, Charlene Rajendran dan Briana Shay.
Persembahan Family akan bermula pada 8 hingga 14 April dan 16 hingga 22 April ini di 211, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Tiket berharga RM25 boleh didapati The Actors Studio dan Art Salon. Hanya 100 penonton sahaja dihadkan pada setiap malam.
Oleh: NOR ASIKIN HASSAN