Sunday, May 17, 1998

Nostalgia ~ Rahman B raja bangsawan tanah air

Nostalgia -- Rahman B raja bangsawan tanah air
NAMA Rahman B. pastinya tidak asing lagi dalam dunia bangsawan sekitar tahun 60-an dan 70-an ketika pentas bangsawan menjadi pilihan ramai.
Walaupun kini ketika bangsawan tidak lagi segah dulu, namun nama beliau tetap tersemat kukuh di hati penggemarnya.
Insan seni tersebut jugalah menjadi tempat banyak pihak membuat sebarang rujukan atau penyelidikan tentang bidang bangsawan dan rasanya tidak ada yang lebih berpengalaman dalam bidang tersebut melainkan diri beliau sendiri.
Sebagai orang yang tidak pernah jemu memperjuang dan menghidupkan kembali bangsawan ketika itu, Rahman B. memang selayaknya diberi gelaran tokoh bangsawan atau Raja Bangsawan.
Abdul Rahman Abu Bakar atau Pak Man itu juga mengakui bahawa beliau dibesarkan dalam latar bangsawan kerana ibu bapanya juga merupakan orang bangsawan yang terkenal pada zaman itu.
"Sejak berusia dua bulan lagi, saya sudah naik ke pentas kerana dibawa oleh ibu saya yang juga merupakan Sri Panggung pada masa itu.
"Apabila usia sudah meningkat remaja, saya sendiri mengambil keputusan untuk bersama dengan bapa saya bagi meneruskan perjuangannya,'' kata Pak Man ketika ditemui di kediamannya di Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau bersama dua lagi saudaranya iaitu Rahim B. dan Rohani B. itu juga merupakan antara mereka yang cukup aktif dalam bangsawan.
Pak Man yang baru saja kembali menunaikan fardu haji itu mengakui bahawa dia bergiat aktif dengan kumpulan bangsawan yang dimiliki oleh bapanya sendiri, Rubis Bangsawan sejak tahun 50-an ketika beliau baru berusia 18 tahun.
Bersama dengan kumpulan tersebut kata Pak Man, mereka merantau seluruh Malaysia untuk menemui peminat-peminat bangsawan.
Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi, Pak Man akhirnya mengambil alih tempat bapanya dengan mengetuai kumpulan bangsawan itu pula.
Pada masa itu kata Pak Man, sebagai seorang daripada ahli kumpulan bangsawan yang sebenarnya, mereka perlu memastikan bahawa mereka sememangnya mahir dalam selok-belok bidang tersebut.
Kata Pak Man, mereka bukan saja perlu tahu berlakon saja tetapi pada masa yang sama juga mereka berperanan sebagai pereka kostum atau pereka prop untuk pentas bangsawan itu.
"Maksudnya setiap orang ahli pentas bangsawan harus serba boleh kalau mereka berlakon pun mereka tidak akan berlakon satu watak saja setiap masa.
"Semuanya harus mencuba pelbagai watak daripada watak tambahan hinggalah ke watak utama,'' kata beliau.
Selain berlakon bangsawan, kata Pak Man, beliau juga turut aktif berlakon filem iaitu pada tahun 60-an dan 70-an.
"Saya banyak berlakon untuk Merdeka Filem dan saya pernah berlakon untuk filem Amok Tok Nading, Harimau Berantai dan Semambu Kuning termasuk beberapa buah drama swasta,'' kata beliau.
Walaupun berpeluang untuk berlakon dalam banyak filem atau drama pada masa itu, kata Pak Man, beliau terpaksa menolaknya kerana minat beliau lebih kepada bidang bangsawan.
Berlakon bangsawan memberikan lebih banyak kepuasan dan seronok ketika berlakon berbanding main filem, kata beliau hinggakan sukar bagi dirinya untuk meninggalkan bidang tersebut sehingga hari ini.
Jadi tidak hairanlah ketika zaman bangsawan semakin malap pada tahun 70-an beliau masih mahu meneruskan perjuangannya.
Pak Man yang bergerak bersama kumpulan bangsawan Bintang Timur ketika itu mengakui bahawa pada masa itu semakin banyak kumpulan bangsawan terpaksa gulung tikar kerana tidak dapat menghadapi persaingan dengan dunia filem.
"Bintang Timur ialah satu-satunya kumpulan bangsawan yang masih mampu bertahan lama. Ketika kumpulan bangsawan lain sudah 'mati' Bintang Timur masih mendapat jemputan untuk mengadakan persembahan.
"Bagaimanapun apa yang agak mengecewakan ialah apabila ramai para pelakon bangsawan pada masa itu sudah lari ke layar perak. "Hinggalah pada tahun 80-an apabila sudah tidak ada lama persefahaman antara ahli kumpulan Bintang Timur dan akhirnya kami pun terpaksa dibubarkan,'' cerita beliau.
Menurut beliau, selepas itu beliau banyak berlakon dalam drama di TV sehinggalah beliau ditawarkan menjadi pensyarah sambilan di Akademi Seni Kebangsaan sejak beberapa tahun dulu.
Beliau yang merupakan pensyarah dalam bidang bangsawan itu mengakui bahawa peluang tersebut paling baik untuknya kerana sekurang-kurangnya beliau dapat mengembalikan kegemilangan zaman bangsawan itu.
Semenjak berkhidmat dengan ASK itu, beliau pernah menjayakan beberapa buah pementasan bangsawan seperti Raja Laksamana Bentan dan Haris Fadhilah.
Beliau yang baru saja kehilangan isteri tercinta Rohaya Rahman yang juga merupakan bekas Sri Panggung dan pelakon yang meninggal dunia kerana sakit buah pinggang pada bulan Ramadan lalu mengakui hidupnya benar-benar terisi dengan tugas-tugas tersebut.
Bapa kepada enam orang anak itu juga berkata bahawa beliau akan terus menyumbangkan pengetahuan dan pengalaman tentang dunia bangsawan yang dikutipnya sejak berpuluh tahun dulu dan selagi ada yang mahukan khidmatnya.

Friday, May 15, 1998

Mencari Salina kisah malang anak bangsawan

Mencari Salina membariskan pelakon terkenal seperti Fauziah Ahmad Daud, Erma Fatima, Raja Azura, Jalaluddin Hassan, Marlia Musa, Mubarak Majid, Azizah Mahzan, Wan Maimunah dan Umie Aida.
Ia akan dipersembahkan selama sembilan malam berturut-turut mulai 6 Jun hingga 14 Jun ini di Auditorium DBKL.
Mencari Salina adalah sebuah karya parodi bebas oleh Siti Rohayah Atan berdasarkan watak Salina dalam novel Salina tulisan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.
Sebagaimana latar novel tersebut yang mengisahkan kehidupan era 50-an, Mencari Salina juga mengekalkan latarnya sebagai menampakkan set yang menarik di dalam persembahan tersebut.
Kelainan Mencari Salina berbanding teater lain ialah pementasannya yang dibahagikan kepada dua kumpulan yang ditangani oleh Rohayah sendiri dan Erma Fatima. Ia akan dipentaskan secara berselang-seli.
Ia sebagai satu percubaan untuk mewarnai lagi dunia teater tanah air dan teknik itu pernah dilakukan oleh pengarah terdahulu sedikit masa lalu.
Teater ini mendapat peruntukan lebih RM100,000 daripada Panggung Negara.
Dalam pementasan pertama, ia membariskan Fauziah Ahmad Daud, Raja Azura, Jalaluddin Hassan, Marlia Musa, Melissa Saila, Mubarak Majid dan beberapa pelakon lain.
Pementasan kedua pula menampilkan Azizah Mahzan, Umie Aida, Wan Maimunah dan dirinya sendiri. Pelakon lelaki yang dipilih ialah M. Nasir, Hasnor dan Sidi Oraza.
''Bagaimanapun, pelakon lelaki yang saya namakan itu belum memberikan keputusan muktamad lagi,'' kata Erma semasa ditemui di majlis sidang akhbar mengenai teater tersebut baru-baru ini.
Erma mengakui walaupun dia menggunakan skrip yang sama, terdapat sedikit improvisasi yang dilakukannya berdasarkan pandangannya sendiri mengenai watak-watak yang ditampilkan.
Sementara itu, Mencari Salina adalah sebuah teater yang terpilih mewakili Malaysia di dalam program Festival Teater Komanwel sempena Festival Kebudayaan Komanwel Kuala Lumur 1998 yang bermula April lalu sehingga Oktober ini.
Mencari Salina mengisahkan mengenai Engku Salina seorang anak bangsawan yang menjadi perempuan joget kerana kedurjanaan sepupunya sendiri Halim dan juga kesengsaraan selepas perang lalu membawa diri ke Singapura.
Salina yang merasakan dirinya berdosa dan malu untuk mengakui anaknya sendiri Fikri dan Fatimah.
Kerana ingin lari daripada bayangan dosanya, Engku Salina mencuba hidup baru dengan menukar namanya kepada Juwita.
Sebagai Juwita, dia terpaksa berlakon sepanjang masa untuk menyembunyikan perasaan dalamannya yang sengsara.
Tiket-tiket berharga RM30 untuk menonton Mencari Salina boleh didapati di pejabat Utusan Melayu, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin dengan menghubungi Noraini atau Azman di talian 03-221-7055 sambungan 171/183.
Tiket-tiket juga boleh diperolehi di pejabat BNE Studio, Wangsa Maju atau menghubungi talian 03-411-0594. DBKL akan mula menjual tiket pada 30 Mei ini.


Oleh: ROSLI MANAH

Saturday, May 09, 1998

Kuala Lumpur tuan rumah Festival Monodrama Asia


Festival ini adalah antara acara kebudayaan dan kesenian yang diadakan sempena Sukan Kuala Lumpur 98, pesta sukan yang kedua terbesar selepas Sukan Olimpik.
Acara yang akan berlangsung di Kuala Lumpur mulai 1 hingga 5 Ogos depan ini akan memberi pendedahan kepada peminat teater tempatan tentang satu lagi genre teater yang menuntut kemampuan pelakon berinteraksi dengan penonton.
Festival anjuran Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia ini di selenggarakan oleh Panggung Negara dengan kerjasama Dan Dan Theatre Production dan The Performing Arts of Todern.
Difahamkan sebanyak sembilan negara termasuk Malaysia akan mengadakan 14 persembahan sepanjang lima hari festival tersebut berlangsung.
Dalam festival bersejarah ini, lapan aktivis monodrama daripada negara Asia yang sudah terkenal di peringkat antarabangsa akan membuat persembahan istimewa mereka.
Pengarah festival, Soon Choon Mee berkata, monodrama memang asing bagi peminat teater di negara ini sekalipun pelakon Khalid Salleh telah beberapa kali mewakili negara ke festival yang sama sebelum ini.
''Melalui festival yang menampilkan tokoh monodrama antarabangsa itu nanti, peminat teater tempatan akan didedahkan dengan lebih jelas kepada persembahan ini,'' ujurnya.
Tambahnya, sekalipun belum dikenali di sini, tetapi monodrama adalah teater yang begitu popular di negara Asia terutamanya di Jepun dan Korea.
Tidak hairan, dua buah negara ini mampu melahirkan tokoh monodrama terkenal seperti Hoichi Okamoto dan Sim Woo Sung yang akan turut serta dalam festival di sini.
Sim Woo Sung merupakan pengasas Persatuan Monodrama Asia. Sekalipun lahir dalam keluarga yang memperjuangkan permainan boneka di Korea, tetapi beliau merupakan aktivis Asia pertama yang mempersembahkan kesenian monodrama di dalam Sukan Olimpik di Seoul pada tahun 1988.
Selain dua tokoh tersebut, aktivis teater Putu Wijaya (Indonesia), Kuo Pao Kun (Singapura), Maya Performing Arts Group (Thailand), Van Hoc (Vietnam) dan Zilur Rahman John (Bangladesh) juga antara aktivis monodrama yang telah menyatakan persetujuan untuk mengadakan persembahan di negara ini.
Pada tahun 1991, Khalid Salleh muncul sebagai aktivis pertama yang mengadakan persembahan di dalam festival antarabangsa ini yang berlangsung di Jepun.
Menurut Soon juga, monodrama ialah persembahan solo seorang pelakon atau pencerita (artis) di pentas yang lebih banyak bermain dengan pergerakan dan monolog.
Tanpa memerlukan bantuan pelakon lain di pentas artis terbabit akan bercerita, bergurindam dan menyampaikan dialog (lebih kepada monolog) bersendirian di pentas antara 45 minit hingga sejam.
Jalan cerita bagi sesebuah persembahan monodrama biasanya lebih banyak melibatkan kebudayaan dan kesenian masyarakat di sesebuah negara.
Tujuh aktivis tempatan juga akan mengadakan persembahan mereka sempena festival ini. Selain Khalid Salleh, aktivis tempatan yang akan membuat persembahan ialah Faridah Merican (The Actors Studio), Tam Yuet Yoong (Dan dan Theatre Production), Mew Chang Tsing (Kuali Works) dan Tam Ai Suan (The North Theatre).
Sebelum ini festival ini pernah diadakan di Jepun pada tahun 1991, 1994 dan 1995. Sementara di Korea pada tahun 1986 dan 1988, Taiwan (1989) dan India (1993).
Untuk memberi lebih pendedahan kepada orang ramai tentang monodrama, penganjur juga akan membuka tujuh bengkel monodrama dan seminar berkenaan perkembangan kesenian tersebut sepanjang festival itu berlangsung.


Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

Pertemuan temukan tiga wanita lara


Mereka selalu bercerita, mengadu dan berseloka serta menunjukkan kebolehan masing-masing. Salleh sudah biasa dengan sikap dan kisah hidup pelanggannya.
Kisah bermula apabila Salleh menceritakan perihal Salina yang tidak menentu keadaan hidupnya setelah dikecewakan oleh lelaki yang disaranya, Abdul Fakar.
Lelaki itu telah mengusir Salina dari rumahnya. Salleh begitu simpati dengan nasib Salina.
Kedai Salleh didatangi pula Nyai Sunarti yang menunggu kehadiran kekasihnya keturunan Belanda, Tuan Delarosa. Nyai Sunarti merasakan kebahagiaan dan kegembiraan bakal menanti tetapi sebenarnya terdapat kesengsaraan di jiwanya.
Kedai itu kemudiannya disinggahi oleh Sharifah Rokiah yang balik dari membeli-belah. Di kedai itu Nyai Sunarti dan Sharifah Rokiah yang sebelum ini memang kenalan telah menimbulkan konflik dan satu kesimpulan yang tidak disangka-sangka.
Bagi Nyai Sunarti segala kata-kata yang keluar dari bibir Sharifah Rokiah tidak langsung dihiraukan kerana baginya perempuan bekas artis itu cemburu akan kedudukannya sekarang.
Dalam masa yang sama, muncul Fatimah dengan beg pakaiannya yang bercita-cita untuk menjadi penyanyi.
Dia merasakan bahawa di situlah tempat yang sesuai baginya untuk menunjuk bakat apatah lagi dengan berkumpulnya pengarah yang akan memberi ruang kepadanya untuk berlakon dan menyanyi.
Sebenarnya tiga watak ini ditemukan oleh pengarahnya Hamzah Mohd. Tahir lewat teater eksperimen realitinya bertajuk Pertemuan. Ketiga-tiga watak ini merupakan watak utama dalam tiga kisah yang dihasilkan dua karyawan ternama.
Watak Salina diangkat dari novel Salina karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said manakala watak Nyai Sunarti adalah perempuan simpanan Belanda yang dipinjam dari naskhah teater Lantai T. Pinkie, juga karya Samad.
Hakikatnya kedua-dua watak ini 'digilai' oleh kebanyakan pengkarya teater dan bagi Hamzah sendiri 'kegilaan' ini dapat direalitikan menerusi teater monolog yang dihasilkan dari resolusi Bengkel Teater Produksi yang diadakan secara bergerak seluruh Sarawak anjuran Unimastage, baru-baru ini.
Manakala, watak Sharifah Rokiah yang bermonolog dalam bahasa Inggeris diangkat dari The Stronger karya August Strindberg.
Pertemuan hakikatnya membawa isu wanita yang global, yang relevan masakini sekalipun antaranya pernah berlaku sejak 1890 (naskhah The Stronger ditulis). Ia mengetengah masalah emosi, tekanan jiwa dan laranya hidup wanita akibat kemelaratan diri dan persekitaran. Lalu, Pertemuan sekadar mengingatkan bahawa isu-isu sebegini tetap ada dan para wanita harus berwaspada.
Teater yang ditangani oleh Taharah Ahmad (Nyai Sunarti), Vanitha Abdul (Sharifah Rokiah), Hamzah Tahir (Salleh Ahmad) dan Dayang Kartini (Fatimah) akan dipentaskan pada 15 dan 16 Mei ini di Panggung Eksperimen, Kuala Lumpur. Pada 23 Mei pula di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.


Oleh: SITI ROHAYAH ATTAN

Tuesday, May 05, 1998

Karyawan teater digesa membangunkan TEMA


Arjuna yang sebelum ini menjadi timbalan presiden menggantikan pengarah teater Sungai Mengalir Lesu, Zakaria Ariffin yang menerajui persatuan itu sejak 1995.
Mesyuarat agung TEMA tahun ini mengalami perubahan yang menarik apabila ahli yang mengundi terdiri daripada karyawan atau penggiat seni perseorangan.
Sebelum ini keahlian TEMA tertumpu kepada persatuan teater negeri yang berdaftar dengannya.
Setiap persatuan hanya layak menghantar tiga wakil untuk mengundi.
Menurut Arjuna, kelonggaran untuk menjadi ahli ini memberi ruang kepada karyawan teater untuk tampil memberi sumbangan ke arah meningkatkan status kewujudan organisasi teater peringkat kebangsaan.
''Justeru itu, saya menyeru kepada semua karyawan yang sayangkan teater supaya menjadi ahli TEMA seumur hidup dan sama-sama memajukan seni pementasan ini,'' katanya.
Menurut beliau, karyawan teater harus sama-sama berganding bahu dan menilai secara jujur terhadap keperluan sebuah organisasi besar yang mampu membangunkan teater seperti TEMA.
Dalam mesyuarat yang dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (KKKP), Datuk Sabbaruddin Chik, Kamarul Ibrahim (Kamarul A.R) yang dulunya setiausaha agung dipilih sebagai timbalan presiden.
Manakala jawatan baru yang diperkenalkan dalam pemilihan kali ini iaitu naib presiden dimenangi oleh Ibrahim Akir.
Shukor Yon pula dipilih sebagai setiausaha agung manakala Ariffin Mohd. Nor sebagai bendahari agung.
Tujuh jawatankuasa yang dipilih ialah Ariffin Mohd. Nor, Che Azhar Ibrahim, Yusof Akib, Osman Zaharuddin, Zulkifli Ismail, Faziah Sulaiman, Wan Soffi Megat Ahmad dan Said Nordin.
Sabbaruddin ketika merasmikan mesyuarat itu berkata, TEMA telah banyak memainkan peranan dalam membangunkan kesenian teater tanah air yang mana ia memberi ruang kepada anak-anak teater untuk aktif dalam bidang tersebut.
Sehubungan itu katanya, TEMA memerlukan pengurusan yang baik bagi meneruskan kesinambungan peranan tersebut dalam mengendalikan projek-projek yang secara langsung didukungi oleh KKKP.
''Keadaan ekonomi negara kita kini mungkin menjejaskan sedikit sebanyak perancangan bagi membangunkan teater.
Namun, itu bukanlah menjadi satu alasan untuk kita jarang berteater.
''Mungkin dari segi persembahan kepada umum perlu dikurangkan ekoran kurangnya peruntukan, namun kegiatannya harus diteruskan supaya suasana kemeriahan teater itu tetap terjaga,'' kata Sabbaruddin.
Menurut beliau, KKKP akan terus berusaha supaya setiap kegiatan yang dijalankan mendapat sokongan dan dukungan yang baik dari pada masyarakat sama ada tempatan mahupun dari luar.