Saturday, June 27, 1998

Panggung negara Sebagai Institusi Budaya


PANGGUNG Negara, bangunan yang berkonsep sirih junjung di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur akan mula digunakan seawalnya Julai ini. Gagasan, gerakan dan perdebatan tentang pentingnya sebuah panggung bertaraf nasional telah dimulakan lebih 15 tahun lalu.
Sejak lebih 15 tahun lalu, kalangan penggiat budaya, karyawan dan seniman mengemukakan hujah tentang peri pentingnya sebuah prasarana yang menjadi landasan tamadun ilmu dan seni.
Panggung Negara akhirnya menjadi kenyataan sekalipun kos pembinaannya terus meningkat dari semasa ke semasa. Keprihatinan kerajaan untuk mengimbangi antara tuntutan kemajuan fizikal dengan hal-hal yang bersifat spirituil memang wajar diberi pujian. Kos terakhir Panggung Negara ialah RM206 juta berbanding sebelum ini hanya RM160 juta.
Sebenarnya Panggung Negara yang memiliki seni bina yang unik menggabungkan elemen tradisi dan kontemporari ini mencatatkan banyak fakta menarik lagi menakjubkan. Antaranya bangunan ini dengan kelengkapan teknologi terkini adalah antara sepuluh panggung terbaik di dunia.
Dari segi kapasiti, Panggung Negara adalah yang terbesar di dunia apabila boleh menampung 1,500 penonton pada satu-satu masa. Ini yang pertama di dunia.
Dengan fakta-fakta ini Malaysia telah memiliki sebuah prasarana yang lengkap dan moden bagi mendorong kegiatan bercorak kesenian.
Bagaimanapun satu perkara yang perlu diingat ialah Panggung Negara tidak dapat berdiri sendiri segagah fakta yang bertaraf dunia dari segi fizikalnya sahaja.
Panggung Negara yang menelan belanja sebesar itu perlu disokong oleh tradisi seni, ilmu dan pemikiran untuk meletakkan ia benar-benar bertaraf dunia.
Panggung Negara memerlukan produk seni yang relevan dengan fungsi bangunan ini sebagai sebuah institusi seni dan budaya serta boleh mencerminkan identiti negara ini.
Ia memerlukan pengisian sekurang-kurang 200 hari persembahan dalam setahun. Ini yang membuatkan banyak pihak yang berasa sedikit khuatir apakah organisasi seni dan budaya tempatan telah bersedia memenuhi keperluan sebesar itu. Inilah pentingnya gagasan awal lebih 15 tahun. Gagasan itu sebagai satu isyarat awal supaya Panggung Negara tidak tercari-cari produk seni.
Dalam jangka masa itu Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan (dulu Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan) perlu menggerakkan secara proaktif untuk membina landasan tamadun seni kalangan masyarakat dan penggiat seni.
Sewajarnya masyarakat telah bersedia dan tidak perlu lagi kerja-kerja mencipta penonton seperti pendekatan yang dilakukan sekarang.
Di mana ukuran tradisi seni dan budaya yang menunjangi Panggung Negara kalau persembahan terutama teater masih di peringkat amatur, mengumpan dengan celebrity dan mengharapkan bantuan sepenuhnya daripada kerajaan?
Tetapi ini bukanlah matlamat asal yang diperdebatkan lebih 15 tahun lalu mengenai Panggung Negara. Institusi ini bukanlah sumber pelancongan yang melulu sekalipun sememangnya menarik pelancong. Yang penting Panggung Negara bukan sahaja digeruni kerana kecanggihan teknologi tetapi juga produk yang berjiwa Malaysia.

Wednesday, June 10, 1998

Mencari Juita kisah perempuan kabaret


''Aku hanya perempuan kabaret. Dan, seperti yang kau katakan, perempuan kabaret tidak layak miliki harapan yang tinggi. Ah, kalaulah dapat kugantikan Kamil menjadi Salman mungkin aku juga boleh membina harapan, Julia.''
Demikian antara petikan dialog yang diluahkan oleh Julia ketika cuba meyakinkan rakan sekerjanya, Zakiah, tentang kehidupan dunia kabaret. Julia telah lebih 20 tahun menjadi perempuan kabaret. Dia tahu segala tipu helah dan kehendak pelanggan.
Justeru itu dia tidak mahu rakan baiknya itu terlalu mempercayai pengunjung di situ. Zakiah yang baru bekerja di situ atas paksaan suaminya, amat mengagumi Julia. Baginya Julia banyak mengajarnya tentang kehidupan sebenar.
Dalam masa yang sama, Julia sering bercerita kepadanya tentang kehidupan perempuan kabaret Singapura yang bernama Engku Juita.
Kisah perempuan-perempuan kabaret ini diketengahkan dalam teater Mencari Juita yang dipersembahkan oleh Panggung Negara dengan kerjasama Grup Seni Utusan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pementasan naskhah karya Siti Rohayah Attan selama sembilan malam ini bermula dari 6 hingga 14 Jun ini mulai 8.30 malam di Auditorium DBKL, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Mencari Juita mengisahkan tentang Engku Fikri yang mencari ibu, Engku Juita, yang telah meninggalkannya bersama adik kembarnya, Engku Fatimah, sejak mereka kecil lagi.
Bagaimanapun harapan Fikri untuk mencari ibunya mendapat tentangan Fatimah yang beranggapan Juita tidak layak menjadi ibu mereka. Dalam masa yang sama Engku Johan, adik angkat Juita yang baru pulang dari England juga mencari perempuan itu.
Johan dan Fikri bertemu dan mereka turut sama mencari Juita. Mereka menemui Juita yang meneruskan dunia jogetnya tetapi perempuan itu enggan mengakui Johan dan Fikri mempunyai pertalian dengannya.
Katanya, ''Aku tidak pernah berkahwin. Perempuan kabaret tidak boleh berkahwin. Tidak boleh ada anak.
Itu perkara utama untuk jadi perempuan kabaret sejati. Kalau kahwin, ada suami... suami akan dihina dan dicerca.
''Kalau ada anak... anak akan malu beribukan perempuan kabaret. Saudara berdua harus tahu perkara itu.''
Antara pelakon yang menjayakan pementasan ini ialah Fauziah Ahmad Daud, Raja Azura, Mubarak Majid, Jalaluddin Hassan, Melissa Saila, Hani Mohsin, Azizah Mahzan, Wan Maimunah, Sidi Oraza, Umi Aida, Norzizi Zulkifli, Azizi Mohd. Said, Hasnul Rahmat, Erma Fatima, Zakaria Yusuf, Zaifri Hussin dan Abu Bakar Sulaiman.
Teater ini juga mengetengahkan bakat dua kanak-kanak iaitu Tengku Iefiz Tengku Alauddin dan Cut Mutia Tengku Iskandar. Ia turut dibantu oleh penari-penari Kompleks Budaya Negara.

Thursday, June 04, 1998

Khalid Salleh dan semangat Anak Alam


BENARKAH Anak Alam telah mati? Pertanyaan ini tentunya nampak sedikit provokatif. Apa lagi bagi sebuah kumpulan yang mencetuskan gerakan karya eksperimental yang penting dalam sejarah seni dan sastera dekad 70-an.
Anak Alam lebih kepada satu reformasi seni apabila tampil dengan bentuk karya yang di luar konvensional. Bukan itu sahaja malah banyak melahirkan bakat-bakat baru dalam semua cabang seni; lukisan, teater, puisi dan muzik.
Anak Alam cukup hebat apabila didukung oleh Sasterawan Negara Datuk Usman Awang, Latiff Mohidin, Mustafa Haji Ibrahim, A. Ghafar Ibrahim, Siti Zainon Ismail, Pyanhabib, Khalid Salleh, Aziz H.M dan beberapa lagi.
Gerakan yang diasaskan oleh Anak Alam sebenarnya tidak pernah mati. Semangat berkarya terus mengalir kepada kebanyakkan seniman yang pernah membesar di banglo usang di sebelah Padang Merbuk ini.
Suatu hal yang penting ialah Anak Alam diujudkan pada zaman 'kemiskinan' tetapi mampu memperlihatkan karya-karya yang mencabar pemikiran. Kalau peruntukkan menjadi agendanya, Anak Alam tidak mungkin wujud. Barangkali siapa sahaja yang menganggap diri sebagai aktivis teater, semangat Anak Alam wajar ditelaah semula.
Pada 6 hingga 12 Jun ini di Matic, Khalid Salleh akan mementaskan sekali lagi teater konvensionalnya, Kena Main. Pementasan ini dianggap memberi erti yang cukup besar di sebalik ketiadaan Anak Alam. Apa lagi di tengah-tengah 'gemerlapan' dan 'elitis' teater Melayu pada seting, bintang dan kutipan box office.
Pementasan Kena Main yang tidaklah 'mewah' kerana Khalid adalah antara aktivis kelahiran Anak Alam pada zaman teater meredah kemiskinan. Tetapi ia menjadi penting sebagai membuktikan Anak Alam tidak pernah mati setelah membina bakat dan seniman muda dekad 70-an.
Siapa Khalid Salleh sebenarnya? Selain seorang lelaki sering memakai beret, membawa beg sandang dan mudah ditemui di Jalan Masjid India, apa lagi yang diketahui mengenai seniman ini?
Sebenarnya tidak ada siapa menduga penjual ubat di kaki lima ini berhasil menjadi pelakon apabila diberi kepercayaan oleh Krishen Jit dalam Bukan Bunuh Diri.
Inilah manusia bernama Khalid Salleh yang pernah berceloteh di depan khalayak selama lima jam terus-menerus di kaki lima. Bagi rakan-rakannya, Khalid bukan menjual ubat tetapi buat teater di kaki lima.
Kini Khalid satu-satunya generasi Anak Alam yang konsisten dengan teaternya. Dia menjadi kelangsungan budaya dan fenomena berkarya Anak Alam. Ini kerana Anak Alam diwujudkan bukan zaman teater yang dilonggokkan dengan kemewahan. Sebaliknya anak-anak muda yang senama dengan kebebasan berkarya.
Lalu tidak hairanlah kalau Khalid diasuh mementaskan teater berbelanja kecil. Zaman Anak Alam tidak mengajar pengarah teater mengheret bintang ke pentas kecuali mempunyai kelayakan.
Kerana itu teater persembahan Khalid yang sebelum ini tidak ada bintang sekalipun pernah membawa Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Nordin Razak menjadi pelakon Gong Gedombak.
Bintang bagi Khalid adalah yang diyakini boleh berlakon dengan baik. Kena Main turut memanfaatkan bakat kalangan mereka yang cacat penglihatan tetapi diyakini bakatnya.
Kena Main adalah pengalamannya di kaki lima. Dan Khalid pernah berkata, kehidupan di kaki lima menyembunyikan banyak mistik dan rahsia. Lalu Kena Main adalah secebis daripada rahsia itu yang mahu dikongsikan bersama khalayak.
Ia agak berbeza dengan naskhah Khalid sebelum ini; Si Bereng-Bereng, Umbut Mayang Mengurai, Bertam Bertam Bukan Semambu, Sijil Penuh dan Gong Gedombak.
Semua karyanya lebih menyusur ke alam di bawah sedar, membuka satu lapisan pemikiran dan menghubungkan dengan dunia real. Khalid lebih mendekati persoalan mistik selain kehidupan yang dilihat dengan mata kasar.
Lalu lahirlah kisah percintaan pemuda nelayan dengan Puteri Tujuh yang muncul dalam mentera Ulek Mayang, bunian dalam Si Bereng-Bereng atau Raja Abdullah yang terkejut dengan gelagat anak muda di Kuala Lumpur dalam Gong Gedombak.
Tetapi Kena Main agak lain. Teater ini ada sentuhan muzikalnya. Kisahnya pemuzik cacat penglihatan mencari rezeki di kaki lima. Khalid sebenarnya ingin bercerita tentang suatu yang relevan dengan kita semua.


E-mel kuseman@pc.jaring.my
Oleh: KU SEMAN KU HUSSIEN

Wednesday, June 03, 1998

Gunung Keriang Lagenda puteri disumpah


GUNUNG Keriang yang lebih dikenali dengan nama lain 'Mount Caves' adalah satu artifak pra-sejarah silam yang mengandungi pelbagai misteri dan khazanah berharga di dalamnya. Ia terletak lebih kurang lapan kilometer dari pusat bandar Alor Setar, ibu negeri Kedah.
Gunung Keriang juga dikenali sebagai Bukit Gajah bagi masyarakat Cina. Dengan ketinggiannya yang melebihi 714 kaki, bukit itu dikelilingi oleh pemandangan sawah padi yang menghijau subur.
Asal usul Gunung Keriang ini diambil bersempena dengan cerita mitos yang terjadi sebelum ini. Menurut pendapat orang-orang tua dahulu, gunung ini berasal daripada sebuah kapal yang membawa pengantin diraja iaitu seorang puteri. Akibat keengganan puteri tersebut berkahwin dengan gedembai lalu disumpah menjadi batu.
Dipercayai dalam sebuah gua di sini terdapat serpihan pinggan yang amat banyak, dipercayai kepunyaan tuan puteri.
Menurut penduduk, kawasan ini dahulunya adalah laut. Kawasan ini sekarang telah mengalami proses semulajadi dengan izin dan kudrat Allah SWT.
Bukti yang menunjukkan Gunung Keriang berasal daripada sebuah kapal adalah bersumberkan kepada penemuan tali panjang sebesar lengan yang dipercayai tali sebuah kapal. Tali ini bersambung pada sauhnya yang ikut terkena sumpahan sang gedembai itu.
Terdapat juga batu yang berbentuk serombong kapal yang berlubang atau berongga di tengahnya. Terdapat juga batu-batu yang menyerupai manusia, kelihatan berpakaian seperti pengantin Cina bersanggul lintang. Dipercayai itulah puteri yang terkena sumpahan.
Ada yang mengatakan bahawa gunung ini berasal daripada sebuah pulau yang mengandungi banyak pokok keriang, lalu diberi nama 'Gunung Keriang'.
Tanda-tanda yang menunjukkan gunung ini berasal daripada sebuah pulau berdasarkan kepada terdapatnya kulit-kulit kerang dan kepah di sekitar gunung ini.
Dari segi geografinya, Gunung Keriang terdiri daripada rangkaian bukit-bukit yang terdapat di daerah Kota Setar, Yan dan Kubang Pasu. Antaranya termasuklah Bukit Kodiang, Bukit Choras dan Pulau Kerengga.
Dengan khazanah dari perutnya yang bernilai maka tidak hairanlah kiranya penduduk di sini menjadikan batu-batu di gunung ini sebagai punca rezeki mereka seharian, selain bersawah padi.
Batu-batu dari gunung ini dijadikan sebagai baja untuk penanaman padi sawah. Batu kristal yang lebih dikenali sebagai 'batu bunga' oleh setiap penduduk di sini amat berharga bagi mereka.
Selain itu, penduduk di sini juga turut mencari tahi kelawar untuk dijadikan baja tanaman dan sawah padi.
Yang pastinya, Gunung Keriang adalah lagenda silam berbentuk mitos yang terus terpelihara khazanahnya agar tidak luput dari ingatan masyarakat kini dan selamanya.
Dengan hasrat itulah maka pihak kerajaan Negeri Kedah Darul Aman telah mewartakan Gunung Keriang sebagai kawasan pelancongan negara.

Tuesday, June 02, 1998

Teater Mayang Mengoyang di Terengganu


Mayang Mengoyang karya Pengetua Maktab Perguruan Batu Rakit Kuala Terengganu, Ghazali Ismail akan diarah oleh Wan Hanafi Su. Ia dipentaskan di Dewan Besar Wisma Darul Iman (WDI), Kuala Terengganu mulai 2 petang.
Menurut Ketua Satu Media, Mazlan Zakaria, pementasan tiga hari itu dikhaskan untuk tetamu khas (21 Jun), pelajar (22 Jun) dan peminat-peminat teater (23 Jun).
Antara pelakon yang akan menjayakan Mayang Mengoyang ialah Eman Manan, Wan Hanafi Su, Sulaiman Yassin, Nadia Fadhil, Sharifah Hasniza, Kamal Rozaman dan beberapa penggiat teater Terengganu.
Menurut Mazlan pementasan teater ini adalah sebagai langkah untuk mengembalikan zaman kegemilangan teater Terengganu di era 70-an dan 80-an.
Mayang Mengoyang mengisahkan perlakuan sumbang sepasang manusia yang akhirnya melahirkan seorang anak perempuan yang diberi nama Perawan.
Setelah Perawan membesar dan mengetahui siapa dirinya yang sebenar, kelakuannya yang selama ini bersopan santun berubah seperti orang yang menghidap sakit jiwa.
Keganjilan kelakuan semakin menjadi-jadi apabila dua pemuda yang tidak senang dengan Perawan sering mengungkit asal usul Perawan.
Dalam pada itu, Tok Peteri berusaha mengubati Perawan agar pulih seperti manusia biasa. Tetapi dalam usaha Tok Peteri mengubati Perawan, pelbagai cubaan dan dugaan menimpanya.
Mazlan berharap dengan kegiatan berteater ini dapat mengisi masa lapang remaja daripada kegiatan yang tidak bermoral di samping menjadikan kegiatan budaya sebagai sumber pendapatan.
Bagi menjayakan program ini, Media berharap orang perseorangan, badan-badan korporat serta syarikat-syarikat swasta dapat menghulurkan bantuan.
Kepada mereka yang berhajat berbuat begitu bolehlah datang pada hari tersebut atau berhubung dengan Teater Rakyat Mayang Mengoyang, Pangkalan Budaya Batu Buruk, 20400 Kuala Terengganu atau melalui telefon nombor 09-6228662 (Tengku Jalal Tengku Nara).


Oleh: IBRAHIM NAJID AZIZ

Mencari Juita judul baru


Keputusan menukar judul ini dilakukan oleh penulis skripnya dan penganjur dua minggu lalu setelah mendapati nama Juita lebih global dan melambangkan kemelayuan jika dibandingkan dengan nama Salina.
Pelakon-pelakon bagi pementasan ini juga merasakan bahawa pemilihan nama Juita lebih memberikan semangat kepada mereka untuk merealitikan teater yang mengambil masa dua jam pementasan ini.
Sebenarnya nama Juita memang telah sedia ada di dalam skrip asal dan didapati watak inilah menjadi inti cerita. Justeru itu, pemilihan nama tersebut didapati lebih tepat.
Mencari Juita mengisahkan tentang pencarian anak kembar Engku Fikri dan Engku Siti Fatimah yang mencari ibunya Engku Juita yang telah meninggalkan mereka sejak kecil. Pencarian mereka dibantu oleh bapa saudara angkat mereka iaitu Engku Johan.
Bagaimanapun, timbul konflik apabila Engku Siti Fatimah enggan menerima hakikat bahawa ibunya adalah perempuan yang kurang baik. Manakala, Engku Fikri dan Engku Johan cuba meyakinkannya bahawa Engku Juita tidak rela dengan apa yang dilakukannya selama ini.
Antara pelakon yang menjayakan pementasan bagi kumpulan A ialah Fauziah Ahmad Daud, Raja Azura, Jalaluddin Hassan, Mubarak Majid, Melissa Saila, Norzizi Zulkifli, Zakaria Yusof, Azizi Mohd Said, Cut Muthia Tengku Iskandar dan Tengku Iefiz Tengku Alauddin.
Bagi kumpulan B ialah Umi Aida, Hani Mohsin, Wan Maimunah, Sidi Oraza, Erma Fatima, Azizah Mahzan, Abu Bakar Sulaiman, Zaifru Husin dan Hasnor.
Tiket bagi pementasan ini berharga RM30 dan boleh diperoleh di DBKL atau Panggung Negara (03-2925487).