Thursday, July 30, 1998

Teater Melayu dan korporat


TEATER Sirih Bertepuk Pinang Menari dipentaskan sekali lagi baru-baru ini. Teater arahan Adnan Hamzah daripada naskhah Sasterawan Negara, Datuk Nordin Hassan itu diangkat menjadi agenda penting oleh Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Setelah sekian lama teater Melayu dikatakan dianak tiri oleh pelbagai pihak, sukar mendapat tajaan dan prestij yang semakin tercabar, pementasan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur ini dianggap suatu yang menyegarkan.
Sebelah siangnya ahli DPMM memerah kepala memilih teraju sebuah Dewan Perniagaan Melayu, menentukan hala tuju korporat Melayu pada alaf baru dan cabaran dalam krisis ekonomi paling buruk ini, sebelah malamnya mereka menonton teater.
Ini bermakna teater telah diangkat semula prestijnya. Malah pementasan teater Melayu karya seorang sasterawan negara wajar dilihat sebagai satu signifikan menarik dalam konteks nasib teater Melayu masa kini.
Siapa lagi yang boleh menyelamat dan memberikan masa depan yang lebih terjamin lagi bermaruah kepada teater Melayu kalau bukan korporat Melayu sendiri? Dan ini telah dilakukan oleh barisan kepimpinan DPMM yang diterajui oleh presidennya Tan Sri Tajudin Ramli.
Barangkali ini juga satu jawapan kepada pandangan-pandangan yang prejudis terhadap komitmen korporat terhadap teater Melayu. Kalau mengambil teater Inggeris sebagai bandingan, teater Melayu memang perlu ada sokongan seperti yang ditunjukkan oleh DPMM ini.
Teater Melayu perlu diberi label baru; menjana pemikiran, peka kepada pergulatan sosiopolitik dan bertanggungjawab membina bangsa berbudaya.
Sedikit latar belakang mengenai pementasan ini; bayaran untuk menyaksikan pementasan ialah RM10,000, RM7,500 dan RM4,000 untuk satu meja sepuluh orang. Bermakna ini bayaran paling tinggi untuk menyaksikan teater Melayu iaitu RM1,000 seorang.
Seperkara lagi yang menyaksikannya pula bukan sebarangan orang. Mereka adalah ahli DPMM yang bukan penonton regular teater Melayu yang banyak dipentaskan di Kuala Lumpur.
Banyak pihak terutama penggiat teater sering prejudis terhadap komitmen dan tanggungjawab sosial korporat khususnya korporat Melayu terhadap pembangunan teater. Mereka dilihat sebagai tidak banyak membantu menaja untuk memberi peluang yang lebih luas kepada teater Melayu berada pada tahap elitisnya.
Tetapi dengan pemilihan naskhah Peran dan Sirih Bertepuk Pinang Menari yang kedua-duanya dihasilkan oleh Nordin Hassan sempena Mesyuarat Agung DPMM, korporat yang bernaung di bawah DPMM mempunyai agenda tersendiri untuk menjawab segala keluh-kesah penggiat teater selama ini.
Khabarnya DPMM membuat perancangan mementaskan tiga naskhah karya Nordin Hassan sempena mesyuarat agung dewan perniagaan itu. Tahun lalu DPMM mementaskan Peran, tahun ini Sirih Bertepuk Pinang Menari dan tahun depan sebuah lagi naskhah sasterawan negara ini akan dipentaskan oleh DPMM.
Ini sebenarnya suatu yang cukup membanggakan kerana kalau mahu DPMM boleh membawa kumpulan teater profesional dari luar negara. Mereka mementaskan naskhah karya sasterawan Barat. Malah bagi DPMM tidak menghadapi masalah membelanjakan sekian banyak wang untuk mementaskan Hamlet karya Shakespears.
Tetapi DPMM secara penuh simbolik memilih naskhah sasterawan tempatan yang dihasilkan dengan pengaruh dan situasi sekeliling yang lebih dekat dengan masyarakat di sini. Taraf pementasan pula perlu dilihat sebagai usaha meletakkan nilai teater Melayu ke tahap paling tinggi.
Wajar diingat bahawa pementasan Peran dan Sirih Bertepuk Pinang Menari bukan dianjurkan oleh DPMM sebagai projek amal seperti yang biasa dilakukan. Tanpa berhasrat memperkecil usaha pementasan amal yang lain, pementasan DPMM ini untuk ahli-ahli kalangan korporat Melayu. Tentunya kesan, semangat dan nilai sesebuah pementasan berbeza apabila diletakkan dalam suasana atau premis yang berbeza. Dalam konteks ini, pemikiran dalam teater Melayu relevan dengan perjuangan dan hala tuju korporat Melayu.
Kalau dilihat daripada subjek yang dikemukakan dalam kedua-dua naskhah ini, Noordin Hassan secara sinis melemparkan kritik sosial terhadap nilai peradaban baru manusia Melayu yang sinonim dengan tamak haloba, hasad dengki dan gila kuasa.
Kalau tokoh-tokoh korporat seperti Tajudin, Salleh Sulong dan banyak lagi yang meletakkan teater Melayu antara agenda penting DPMM, kini giliran penggiat teater untuk melangsungkan ketajaman pemikiran dalam karya.


E-mail: mailto:kuseman@pc.jaring.my

Saturday, July 18, 1998

Imam ke pentas


Menurut Ketua Pengarah DBP, A. Aziz Deraman sewaktu sidang akhbar teater Imam baru-baru ini, pemilihan novel ini sebagai naskhah yang akan dipentaskan didasarkan kepada beberapa karakter.
''Salah satu sebab mengapa novel ini dipilih adalah kerana ia dianggap sebagai salah sebuah karya terbaik pernah ditulis oleh karyawan negara ini. Ramai berpendapat bahawa Imam memaparkan suatu kisah yang luar biasa, dengan mengangkat isu keislaman.
''Ringkasnya, novel ini cuba menegaskan bahawa agama Allah ini bukan semata-mata untuk keperluan akhirat, tetapi juga untuk dijadikan pegangan dan panduan hidup di dunia,'' katanya.
Drama adaptasi ini akan diarahkan oleh penggiat teater, Zakaria Ariffin dan dibantu oleh A. Wahab Hamzah, sempena Festival Teater Komanwel 1998.
Ia juga merupakan program kerjasama dengan Kerajaan Negeri Kedah, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (KKKP) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), sempena Festival Teater Komanwel 1998.
Teater ini akan dipentaskan pada 28 hingga 31 Ogos ini di Alor Setar, Kedah dan 27 September hingga 2 Oktober di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur.
''Pengangkatan novel Imam sebagai hasil seni dalam bentuk teater amatlah kena pada tempatnya selaras dengan matlamat DBP untuk mengembangkan seni dan budaya Melayu serta kesusasteraannya.
''Maka dengan demikian amatlah wajar DBP menganjurkan pementasan Teater Perdana DBP 1998 dengan mengangkat skrip adaptasi Imam oleh Zakaria Ariffin.
Pemilihan ini juga merupakan suatu bentuk penghargaan kepada SN tersebut semasa hayatnya,'' tambahnya.
Imam mengisahkan tentang Imam Mihad yang dikatakan terbunuh di sempadan Sarawak/Kalimantan ketika bertugas sebagai tentera sewaktu konfrontasi Indonesia-Malaysia, Mihad kembali ke kampung Anggerik Desa. Beliau disambut dengan penuh keriangan oleh seluruh penduduk.
Memandangkan Mihad adalah waris kepada Haji Salih, dan masjidnya memerlukan seorang imam baru, beliau ditawarkan jawatan tersebut.
Meskipun sudah berumah tangga dengan Siti Nur Aisyah, gadis Indonesia yang menyelamatkan nyawanya di sempadan Kalimantan, Mihad mengambil keputusan menerima tawaran itu dan kembali menetap di tempat kelahirannya.
Sebagai imam muda yang berfikiran 'baru', banyak pembaharuan dan perubahan yang dilakukan oleh Mihad, bukan sahaja masjid Haji Salih, malah untuk kebajikan penduduk kampung.
Beliau melihat agama bukan semata-mata untuk bekalan akhirat, tetapi juga sebagai panduan bagi menghadapi kehidupan di dunia. Kerana itu, beliau banyak menitikberatkan soal-soal pendidikan, ekonomi dan sosial di kalangan jemaahnya.
Namun, perubahan dan cara yang diketengahkan oleh Imam Mihad ini disalahertikan oleh sesetengah golongan, terutamanya yang diterajui oleh haji Syamsuri (sepupunya) dan Haji Abdul Rahman (bekas imam).
Mihad dituduh dan difitnah cuba menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan al-Quran dan Sunnah.
Pelbagai usaha dilakukan untuk menjatuhkannya. Beliau lalu disiasat oleh Majlis.
Penemuan emas di tanah wakaf Haji Salih merumitkan lagi antara anggota kariah. Cadangan Mihad untuk memindahkan masjid ditentang oleh Haji Syamsuri.
Perebutan kuasa, tamak haloba, dengki khianat, dendam kesumat, adalah tanda-tanda jelas yang membawa alamat kepada bencana perpecahan.
Perpecahan dan pelbagai gejala masyarakat yang terungkap dalam Imam ini merupakan sesuatu yang tidak pernah terputus dan sentiasa subur mewarnai kehidupan masyarakat.
Antara pelakon yang menjayakan pementasan ini ialah Zaidi Omar (Imam Mihad), Ahmad Yatim (Imam Shamsuri), Sabri Mohd. Zain (Haji Ismail), Badrul Hisham Mohd. Noh (Haji Qomar), Sabri Yunus (Lebai Saat), Marlia Musa (Siti Nur Aisyah) dan Bohari Ibrahim (Haji Daud).
Turut menjayakan pementasan ini ialah Zulkifli Ismail (Pegawai Majlis), Roslan Madun (Yang Dipertua Majlis), Jamaluddin Abu Hassan (Pegawai I), Mohd. Ali Osman (Mohidin) dan lain-lain.

Saturday, July 04, 1998

Siti Di Alam Fantasi terapkan unsur pengajaran

Teater yang dilakonkan sepenuhnya oleh Artis Muda Panggung Negara ini akan menemui khalayak mulai 5 hingga 11 Julai ini pukul 8.30 malam di Auditorium Pusat Penerangan Pelancongan Malaysia (Matic), Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Pementasan yang mengenakan tiket RM10 ini hanya akan mengadakan satu saja persembahan siang, pukul 3.30 petang, 12 Julai ini.
Siti Di Alam Fantasi di samping mempertaruhkan bakat kanak-kanak berteater juga menguji daya kreativiti pengarah lakonnya, Aminah Rhapor, pengarah tari, Sharifah Mahani Syed Kassin, dan pengarah muzik serta vokal, Suhaimi Md. Zain.
Teater muzikal satu setengah jam ini membawa kisah tentang Siti yang menyambut ulang tahunnya yang kelapan. Semasa menyambut majlis hari jadi itu, satu bayang hitam muncul mencuri geliga keluarga Siti.
Semua menjadi kaku dan rumah dijilati tumbuhan seolah-olah telah ditinggalkan berpuluh tahun lamanya.
Sebatang pokok dengan banir yang mencengkam Siti membuka rahsia; ''Kekayaan datang dari tuah geliga, kelak papa kedana hingga tujuh keturunan jika geliga tidak dapat ditemukan.''
Siti disuruh mencari geliga yang dicuri. Sebilah pisau diberi sebagai senjata yang boleh menembusi apa saja. Siti juga diarahkan supaya memulakan perjalanan ke arah barat dan bertanya supaya dia tidak terus sesat.
Di pertengahan jalan, Siti bertemu dengan dua penganggur yang sanggup bekerja dengannya. Bersama dengan dua pengikutnya, Siti memulakan pengembaraan.
Mereka sampai di sebuah kilang lama yang menjadi temasya lipas-lipas yang memberitahu Siti supaya jangan masuk ke kiri atau ke kanan. Tetapi oleh kerana kesombongan Siti, dia telah masuk ke kiri. Seekor sesumpah telah menunggu mereka dan mengikut saja ke mana saja mereka pergi.
Siti dan pengikutnya kemudian berjumpa dengan kelip-kelip yang memberikan lampu sebagai penyuluh jalan. Kemudian bertemu dengan ulat bulu yang gatal, tersangkut di sarang.
Pelbagai cabaran yang terpaksa Siti hadapi untuk mendapatkan semula geliga keluarganya. Ini termasuklah ditelan lipan dan terpaksa berada di dalam perut lipan.
Siti Di Alam Fantasi seperti teater-teater sebelumnya bukan sekadar hiburan, sebaliknya ia turut menerapkan unsur-unsur pengajaran, isu-isu semasa yang relevan dengan semua generasi dan kritikan sosial yang membina.
Melalui teater ini apa yang ingin diketengahkan ialah tentang ''kaya tidak semestinya angkuh meraja dan miskin tidak semestinya hamba selama.''
Teater ini membariskan bakat Nur Izzaty Zafirah Abd. Rahim (Siti), Ruviyamin Roslan (Mamat), Azlan Ithnin (Andan), Cut Muthia Tengku Iskandar (Burung Bayan Budiman), Auni Alias (Pokok) dan Tengku Iedil Zuhrie Putra (Lipas).
Lain-lain pelakon ialah Siti Nor Athirah Azli, Mohd. Izat Aiman, Tengku Ifiezulasyrifie Putra, Tjut Intan Tengku Iskandar, Nor Amirah Aqilah, Fatin Erna Siregar, Suziela Abd. Gani, Razali Ismail, Fairuz Azmi, Hafiz Amirhamzah, Hanir Amirhamzah, Noor Suriyani Malek, Puteri Ayu Jasmin, Zehra Zambri dan Wan Esya Shakira.


Oleh: SITI ROHAYAH ATTAN