Friday, August 21, 1998

Pembangunan seni dan anjakan minda


BARANGKALI banyak yang tidak menyedari bahawa Ogos ini berlaku dua peristiwa penting dalam mengangkat martabat seni di negara ini. Ogos selalunya dikaitkan dengan ''bulan merdeka'' sarat dengan slogan, kempen dan macam-macam lagi yang setahun sekali sifatnya.
Tetapi Ogos ini juga bermulanya era baru bagi muzik apabila dengan rasminya Dewan Filharmonik Petronas digunakan untuk persembahan orkestra. Dan satu lagi, muncul album lagu-lagu P. Ramlee yang diklasikkan oleh sebuah orkestra yang bertaraf dunia.
Tentunya Ogos ini membawa makna kemerdekaan yang berbeza. Setelah sekian banyak orang bercakap tentang merdeka, kemerdekaan dan memaknakan kebebasan, kita mempunyai ruang untuk memberi satu pengiktirafan tinggi ke arah pembangunan seni.
Dalam kedaifan muzik tempatan, pengaruh muzik liar dari Barat dan Kuala Lumpur yang menjadi pasar baru bagi memasarkan produk dari Amerika dan Eropah, Kuala Lumpur kini antara destinasi muzik klasik yang bertaraf dunia.
Di Barat, seni memberi sumbangan yang besar terhadap pembangunan minda selain ekonomi dengan saiz industri muzik yang besar. Tetapi di negara ini seni belum lagi dianggap sebagai penyumbang kepada pembangunan minda.
Seni muzik, teater malah filem bermula dengan pendekatan popular dan masih dengan tahap lamanya. Seni bagi kita adalah wang dan keuntungan. Lalu tidak hairanlah kalau kita baru sahaja memiliki dewan khusus untuk persembahan muzik klasik seperti orkestra. Isnin lalu Dewan Filharmonik Petronas serta Orkestra Filharmonik Malaysia (OFM) dilancarkan dengan rasminya. Mungkin ini antara mercu tanda terbesar ke arah membentuk budaya muzik sebagai menifestasi pemikiran masyarakat menjelang abad ke-21.
Dewan yang berharga RM70 juta terletak di Menara Berkembar Petronas. Sebenarnya ia bukan menumpang gah di menara tertinggi di dunia ini atau kerana harganya.
Yang menjadikan dewan ini besar dan penting kerana ia adalah manifestasi pembangunan negara yang memberi keutamaan kepada pembangunan minda. Dan muzik adalah alatnya.
Semalam pula album lagu-lagu P. Ramlee yang digubah dan dipersembahkan dalam bentuk orkestra oleh Bolshoi Ballet Theatre Orchestra dari Tashkent. Kumpulan orkestra ini bertaraf dunia dan mereka memilih untuk mempersembahkan lagu P. Ramlee dalam bentuk klasik yang mendekati hukum hakam falsafah muzik klasik Barat.
Pastinya ada suatu yang ironik apabila lagu-lagu P. Ramlee diklasikkan dalam kebingitan metal dan liuk lintuk dangdut serta lemah-gemalai nasyid yang mewarnai muzik kita hari ini. Penerbitan album ini nampaknya telah menongkah arus tradisi penerbitan album yang sering diukur dengan ''cakera platinum''.
Album klasik ini tidak malu kalau berada di pasaran dunia. Ini menjadi kenyataan kerana komitmen yang diperlihatkan oleh pihak korporat. Penerbitan album yang menelan belanja RM400,000 ini dibiayai oleh Renong Berhad.
Barangkali banyak bertanya rasional Renong Berhad atau Petronas untuk mengaut untung daripada projek seni yang tidak popular ini? Macam biasa, orang akan bertanya berapa kerat sahaja yang minat muzik klasik? Siapa yang akan menonton konsert orkestra?
Tetapi Renong Berhad dan Petronas telah memberi keutamaan untuk pembangunan muzik, bukan keuntungan jangka pendek.
Penerbitan album klasik daripada lagu ciptaan tempatan tidak wajar disamakan penerbitan album pop yang bercambah di sana sini. Begitu juga pembinaan dewan akustik yang bertaraf dunia untuk persembahan orkestra. Kedua-dua peristiwa ini wajar dilihat sebagai satu anjakan minda yang berlalu dalam masyarakat.
Ia turut sama digerakkan oleh pihak korporat yang memperlihatkan tanggungjawab sosial mereka. Sekali gus, membawa Kuala Lumpur sebagai destinasi baru muzik klasik di dunia. Memanglah OFM relatifnya masih muda dan bertatih tetapi misi ke tahap dunia cukup jelas.
Anjakan minda dan keutamaan ke arah pembangunan tamadun muzik sebenarnya bukanlah diukur kepada saiz industri muzik. Tidak semua negara yang mempunyai industri muzik yang besar memiliki tamadun muzik yang tinggi.
Tetapi OFM dan pengurusan Dewan Filharmonik Petronas harus juga memberi laluan kepada muzik berasas tempatan yang sesuai diklasikkan. Biarlah OFM menjadi tuan rumah dewan canggih dan berprestij ini.
E-mel : kuseman@pc.jaring.my
Oleh: KU SEMAN KU HUSSIEN

Saturday, August 08, 1998

Pekan Teater peringkat zon


Seperti tahun sebelumnya penganjur Pekan Teater, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan membahagikan pertandingan iaitu kepada tiga zon bagi memilih johan iaitu Zon Timur yang akan diwakili empat negeri manakala Zon Selatan dan Zon Utara, masing-masing akan diwakili lima negeri.
Menurut Penyelaras Pekan Teater, Junaidah Salleh, bagi Zon Timur pertandingan akan bermula dari 16 hingga 19 Ogos di Taman Budaya, Kuantan manakala Zon Selatan berlangsung di Dewan Teater, Seremban.
Bagi Zon Utara pertandingan berlangsung di Taman Budaya, Ipoh mulai 27 hingga 29 Ogos.
''Kumpulan yang menjuarai setiap zon akan bertanding ke peringkat akhir yang berlangsung dari 16 hingga 21 November di Kompleks Penerangan Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang, Kuala Lumpur,'' kata Junaidah.
Menurut beliau, skrip bagi pertandingan kali ini adalah bebas yang mana ia boleh dipilih daripada skrip yang telah sedia ada ataupun skrip baru yang dihasilkan oleh kumpulan yang mengambil bahagian.
Bagaimanapun menurut beliau, skrip baru itu dikehendaki melalui beberapa proses sebelum diberikan kebenaran untuk dipentaskan.