Wednesday, September 16, 1998

Zakaria Ariffin Imam dan teater


NOVEL Imam karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein akan dibawa ke pentas oleh Zakaria Ariffin. Imam adalah novel besar dan unik. Ia menuntut cabaran yang bukan sedikit untuk dikemukakan dalam medium dan tafsiran yang berbeza.
Cabaran memindahkan satu genre sastera ke teater atau filem memang ada keseronokannya. Tetapi tidak kurang juga sukarnya. Ini kerana adaptasi adalah karya baru yang memperlihatkan persepsi baru penulisnya.
Lalu bagaimana Imam yang memenangi hadiah utama Sayembara Novel Sako anjuran Kumpulan Utusan di tangan Zakaria? Imam bukan sahaja tebal yang menjadi salah satu faktor menyulitkan kerja diadaptasi tetapi isu agama dan kepimpinan yang dibawa menuntutkan perhatian yang khusus.
Tetapi banyak yang yakin Zakaria, nama besar dunia teater yang pernah dilahirkan oleh Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mampu menangani proses adaptasi ini dengan baik. Teater Imam bukan sahaja perlu mengangkat persoalan dalam novel malah pemikiran pengarang dan penulis naskhah ini ke pentas.
Imam satu lagi karya besar yang dihasilkan oleh Zakaria selepas menulis dan mengarah Pentas Opera, Raja Lawak, Belum Selesai dan Perempuan Seorang Leftenan Inggeris serta mengarah Tok Selampit karya Dr. Anuar Nor Arai.
Kerana itu tidak hairan kalau Zakaria dilihat sebagai tenaga penting, berwibawa lagi konsisten untuk menggerakkan teater Malaysia. Antara aliran teater absurd dan kontemporari pada dekad 70-an, Zakaria memberi dinamisme baru untuk mendekati khalayaknya.
Sekalipun teaternya tidak membariskan pelakon popular tetapi nama Zakaria sendiri kalangan peminat teater sudah ada 'bintangnya'. Dengan teater yang mudah dihayati seperti Raja Lawak, serumit kiasan dan falsafah Tok Selampit, Imam pula membawa masyarakat mengakrabkan diri dengan karya sastera.
Kepada sesetengah orang, Zakaria adalah master yang mempunyai sentuhan yang tersendiri terhadap teater bercorak period. Dia berminat dengan dunia tahun 40-an dan 50-an. Dunia kabaret dan pentas bangsawan.
Babaknya hidup dengan pemilihan prop, warna dan cahayanya. Buktinya pentas bangsawan tahun 50-an mampu membawa penonton menjelajah kesuraman di belakang tabir bangsawan.
Tetapi pada masa yang sama dia memperlihatkan kejayaan apabila Raja Lawak bercorak komedi muncul sebagai teater paling popular dalam sejarah teater negara ini.
Zakaria antara aktivis yang pernah dilahirkan oleh Badan Budaya DBP selain daripada Johan Jaaffar, Othman Haji Zainuddin, Ismail Dahaman dan banyak lagi yang meneruskan kegiatan dalam bidang berkaitan.
Lalu tidak hairan kalau Zakaria selalu dikaitkan dengan teater-teater besar, mendapat perhatian meluas dan sambutan khalayak yang memuaskan kalaupun tidak sehebat Raja Lawak.
Dan jangan lupa, hampir semua teater besar arahan Zakaria diterbitkan oleh Badan Budaya DBP. Ini membuktikan selain kekuatan seseorang karyawan, keterbukaan institusi yang menaungi kegiatan seperti itu juga cukup penting bagi tujuan menghidupkan teater.
Secara lebih jelas, dalam mendepani kepentingan teater yang melampaui satu aktiviti pada akhir abad ini, cara pengurusan dan memberi keutamaan yang tepat juga akan menentukan masa depan teater.
Tentunya tidak ada siapa yang boleh menafikan sistem pengurusan dan keterbukaan Badan Budaya DBP untuk mementaskan teater besar telah banyak melahirkan aktivis teater yang berbakat besar.
Zakaria dianggap bernasib baik kerana dilahirkan oleh sebuah kumpulan yang dinaungi oleh institusi bahasa yang rapat dengan hal-hal kesenian dan kebudayaan. Dan menerusi badan ini, Zakaria mempunyai banyak peluang untuk memperlihatkan bakatnya.
Kita perlu realistik dengan pengurusan kebanyakkan kumpulan teater Melayu di Kuala Lumpur yang agak lembab. Tidak ada perancangan dan sumber tajaan untuk projek jangka panjang.
Ini antara yang membuatkan pengarah berbakat sukar berkerja dengan pengurusan yang tidak terancang. Tetapi Badan Budaya DBP agak lain. Perancangan dan pengurusan telah meringankan pengarah memikirkan hal-hal yang tidak sepatutnya difikirkan.
Sumber kewangan yang besar bukan faktor kelancaran sebuah produksi kalau tanpa pengurusan yang cekap.
Teater sebesar Imam tentunya tidak menjadi kenyataan kalau diuruskan secara sambil lewa. Kerana itu banyak yang yakin dengan pengurusan Badan Keluarga DBP dan kemampuan Zakaria, Imam tidak mengecewakan.



E-MEL: kuseman@pc.jaring.my
Oleh: KU SEMAN KU HUSSIEN