Thursday, October 29, 1998

Pelakon Teater harus berkeyakinan tinggi


Selepas menyelami dunia lakonan pentas, barulah dia menyedari antara berlakon teater dan filem mempunyai dua perbezaan yang besar.
Pada pendapatnya, di pentas teater juga, seseorang pelakon itu harus mempunyai keyakinan tinggi.
Menurutnya, di pentas teater, dia harus belajar mempraktikkan kepentingan pergerakan 'bahasa tubuh' kerana apabila berdiri di pentas, pelakon menyerahkan seluruh tubuhnya untuk tontonan.
Berbeza dengan lakonan drama yang khusus memfokus kepada bahagian tertentu misalnya muka dan kebanyakan fokus adalah bahagian pinggang ke atas.
''Setelah berlakon, saya faham bahawa bukan senang untuk berjaya sebagai pelakon teater,'' katanya baru-baru ini.
Dalam Selendang Umi, Idham melakonkan dua watak yang berbeza karakter iaitu sebagai seorang anak keluarga bangsawan dan seorang pemuda kampung.
Dia juga harus menampilkan dua watak yang berbeza dalam jangkamasa yang singkat. Itulah antara cabaran berlakon di pentas.
Setelah muncul dalam Selendang Umi, Idham mula merasakan satu kelainan daripada apa yang pernah dilakukannya sebelum ini.
''Di sini, saya menganggap saya baru belajar asas lakonan dan saya akan terus belajar dari semasa ke semasa,'' ujarnya lagi.
Dia juga berharap peminat teater tidak mengukur keupayaannya menerusi teater tersebut kerana sebagai teater sulung semestinya dia tidak terlepas daripada menampilkan kelemahan.

Saturday, October 24, 1998

Teknologi dalam teater Selendang UMI


Kemajuan teknologi telah turut memberi pengaruh terhadap teknik pementasan sesebuah teater di negara ini. Teknologi dimanfaatkan untuk memberikan kesan yang lebih mendalam kepada penonton terhadap teater berkenaan.
Teater Selendang Umi arahan Adnan Hamzah yang kini dipentaskan di Panggung Eksperimen, Kompleks Budaya Negara (KBN), Kuala Lumpur menggunakan skrin besar selain pengunaan pemuzik secara langsung.
Teater yang membariskan pelakon Erra Fazira, Ahmad Idham, Ahmad Tarmimi Siregar, Vanidah Imran dan Ennie Sulastri ini dipentaskan sehingga 1 November ini.
Skrin besar di belakang pentas bagi menggambarkan suatu yang bermain dalam fikiran pelakon dalam babak tertentu.
Dalam satu babak menampilkan watak pegawai Jepun Hara San (lakonan Ahmad Tarmini) meratapi kematian isteri dan anak-anaknya yang berada di Hiroshima semasa tragedi bom atom digambarkan menerusi skrin besar itu.
Skrin juga turut menampilkan gambaran penjajahan Jepun ketika Mak Ungku (lakonan Zulhaila Siregar) bercerita mengenainya kepada tetamunya.
Di kala pelakon bercerita tentang kebesaran Tuhan misalnya, skrin menunjukkan keindahan alam ciptaan Tuhan seperti air terjun, hutan, sungai dan sebagainya.
Selendang Umi adalah sebuah karya sasterawan negara Datuk Noordin Hassan yang menampilkan tema ketuhanan.
''Mesej dalam teater ini tidak dipaparkan secara langsung sebaliknya dalam bentuk simbolik,''kata Adnan semasa ditemui selepas pementasan kepada media baru-baru ini.
Menurut Adnan, dialog yang diluahkan oleh pendokong watak mempunyai maksud yang mendalam untuk dihayati oleh penonton.
Malah judul Selendang Umi juga sesuatu yang simbolik. Selendang diibaratkan sebagai satu penutup kepada sesuatu yang mempunyai pelbagai kisah di sebaliknya.
''Apabila selendang disingkap, pelbagai kisah yang berlaku disebaliknya,'' kata Adnan lagi.
Sementara itu Adnan mengakui pengambilan pelakon yang tidak berpengalaman dalam teater dianggap sebagai cabaran kerana harus menerangkan secara terperinci selok belok berteater.
Erra, Vanidah, Ahmad Idham dan Ennie Sulastri adalah muka baru dalam teater walaupun telah lama berlakon di filem dan drama.
''Walaupun mereka tidak ada pengalaman berteater tetapi saya puas hati dengan komitmen mereka, '' ujar Adnan lagi.
Oleh: ROSLI MANAH

Teater Ikan Cantik cetus kontroversi

Teater arahan aktivis Aidlin (Alin) Mosbit itu baru sahaja selesai dipentaskan di negara tersebut.
Lima daripada enam pelakon wanita yang terlibat berbangsa Melayu.
Teater Ikan Cantik bukan sahaja mempamerkan para pelakon wanitanya berkepala botak, malah turut menggemparkan penonton dengan adegan ranjang dan bercium.
Malah, pakaian yang menjolok mata sehingga hampir terkeluar payudara para pelakonnya dan adegan ranjang serta pasangan bercium telah menjadi sasaran kritikan penonton.
Kemarahan umat Islam di negara itu terhadap teater tersebut semakin meluap apabila para pelakon dan pengarahnya mempertahankan tindakan mereka.
Teater tersebut dianggap secara terang-terangan terkeluar daripada tatasusila kehidupan orang Melayu dan umat Islam.
Kontroversi tercetus apabila para pelakonnya, Emanorwatty Salleh, Farahliza Farouk Ong, Elnie Shumastri Mashari, Esther Yap, Lily Menoler dan Rafeyah A. Rahman bertindak membotakkan kepala mereka kerana alasan untuk menghayati watak yang diberikan di dalam teater tersebut.
Teater Ikan Cantik mengisahkan kehidupan manusia yang mencari kejayaan, tetapi akhirnya tumpas akibat perbuatan sendiri.
Seorang kolumnis yang menulis dalam akhbar Berita Harian Singapura, Sabtu lalu, Salim Omar secara lantang mengkritik teater tersebut.
''Mereka tidak sedar bila melakukan betul-betul benda-benda yang menjolok mata di atas pentas-kononnya untuk mencerminkan keburukan dalam masyarakat-maknanya mereka bukan setakat berlakon sahaja, tetapi sudah melakukan perbuatan buruk yang sama dilakukan oleh orang-orang yang mereka hendak dedahkan,'' tegas Salim.
Bagi Salim, Mereka hendak sampaikan mesej untuk menyedarkan masyarakat, tapi hakikatnya ialah ''dua kesilapan tidak membetulkan perkara yang salah''.
''Orang lain pun ada pentaskan teater untuk paparkan keadaan sebenar. Tetapi mereka tidak pun melampau sangat sampai bebas bercakap atau melakukan benda-benda yang lucah di atas pentas,'' ujar Salim.
Bagaimanapun, Aidlin pula menjelaskan, para pelakon teater itu dengan rela hati membotakkan kepala dengan hasrat mesej sebenar dapat disampaikan dengan cara tersendiri.
Pengarah yang merupakan siswazah Sarjana Muda Seni (Drama) dari Queensland University of Techonology, Australia, itu mempertahankan apa yang dipaparkan melalui teater arahannya.
''Sesuatu pementasan itu harus dilihat secara menyeluruh, bukan memisah-misahkan adegan dan dilihat hanya daripada satu sudut,'' katanya.
Walaupun teater Ikan Cantik sudah berakhir dipentaskan minggu lalu, namun kontroversinya masih berlanjutan, malah sehingga sekarang peminat teater di Singapura masih mempersoalkan motif sebenar teater itu.
''Yang memeningkan kepala ialah ke mana arah teater Melayu? Drama ini terlalu berani, Apakah motifnya?'' kata peminat teater, Johari Abdul Aziz, lulusan bidang drama di sebuah maktab di Kuala Lumpur.
Oleh: ZULKIFLEE BAKAR

Thursday, October 22, 1998

Raja Sakti paparkan kesenian Melayu

Kumpulan itu terdiri daripada pengurusan dan artistik berkaliber seperti pengurus, pakar perkhidmatan, pakar artistik, kareografer, penggubah lagu, jurutari, pemuzik dan artis budaya.
Persembahan Raja Sakti dan Selayang Pandang menggabungkan peralatan muzik tradisional. Muzik gamelan menjadi asas dan nadi utama keseluruhan persembahan tersebut.
Barisan pemuzik Kumpulan Kesenian Petronas yang bermain gamelan mengiringi acara persembahan dramatari itu turut memukau penonton khususnya penonton asing kerana persembahan yang biasa diadakan menggunakan alat muzik moden.
Persembahan dramatari yang diadakan itu dibuat dalam dua segmen. Segmen pertama mempersembahkan dramatari Raja Sakti yang memaparkan cabang kesenian Melayu dengan melambangkan ciri-ciri adat, budi, bahasa dan kehalusan seni itu sendiri.
Pada segmen pertama, persembahan diadakan dalam lima babak. Raja Sakti mengisahkan tentang keinginan Galoh Ajeng untuk berumah tangga. Namun begitu, tidak ada seorang anak raja yang sudi memperisterikannya. Raja Bentara Indera berusaha mencarikan jodoh untuk puteri kesayangannya itu.
Baginda telah menitahkan Balang Tiga Kelana mengetuai rombongan merisik Raja Sakti iaitu putera kepada Raja Ahmad yang memiliki wajah yang tampan. Pinangan tersebut ditolak kerana Galoh Ajeng berwajah hodoh.
Balang Tiga Kelana telah melarikan Raja Sakti lalu dipersembahkan kepada Raja Bentera Indera. Galoh Ajeng cuba menggodanya, tetapi tidak dipedulikan oleh Raja Sakti.
Persembahan Raja Sakti ditangani oleh Roslee Mansor (pengarah & olahan), Harun Deraman (penulis cerita), Che Hassan Yahaya (kareografer), M. Yazid Zakaria (pengarah muzik) dan Norazian A.Hamid (penyelaras tari).
Raja Sakti turut menampilkan lapan penari yang memegang watak utama dalam dramatari itu. Mereka telah dibantu oleh 32 artis tari Kumpulan Kesenian Petronas yang lain.
Sebanyak 17 orang pemuzik gamelan digunakan untuk mengiringi persembahan tersebut.
Pada segmen kedua pula, Kumpulan Kesenian Petronas mempersembahkan tarian-tarian tradisional dan juga tarian etnik yang terdapat di negara ini.
Pada awal persembahan, mereka mempersembahkan tarian pembukaan dengan membawa lambang ''pohon beringin'' dan juga ''tepak sirih''.
Tarian itu bersimbolkan selamat datang dan mengalu-alukan penonton yang datang pada hari tersebut.
Salah satu tarian yang membawa maksud selamat datang ialah tarian makan sirih dan juga silat. Tarian ini mempunyai hubungan dengan persahabatan serta jalinan muhibah yang dipaparkan.
Acara pada hari itu diteruskan lagi dengan tarian piring. Tarian ini menarik perhatian kerana ia menguji sejauh mana kecekapan penari mengendalikan dua buah piring yang diletakkan pada tapak tangan. Tarian ini juga dikenali di kalangan masyarakat Minangkabau.
Seterusnya, persembahan yang popular di sekitar Sabah dan Sampoerna iaitu Mengilok.
Selain itu, tarian kipas turut dipersembahkan pada malam itu. Setiap penari menggunakan satu kipas dengan pelbagai aksi semasa menggayakan tarian itu.
Kumpulan Kesenian Petronas turut menampilkan produk keluaran tempatan iaitu kain songket dalam tarian songket pada persembahan itu.
Persembahan seterusnya ialah rodat iaitu persembahan yang terkenal di pantai timur. Persembahan itu juga sering diadakan pada majlis keraian dan juga perayaan tertentu.
Persembahan tarian dengan diiringi lagu-lagu medley Melayu seperti inang, joget dan zapin turut menghiburkan. Setiap rentak menampilkan tarian yang berbeza.
Persembahan terakhir pula menampilkan lagu-lagu medley Nona-Nona iaitu lagu hiburan pelbagai kaum yang ada di negara ini.
Selayang Pandang ditangani oleh Roslee Mansor (pengarah), A.Muriz Rose (pengarah muzik), Che Hassan Yahaya (kareografer), Hamidon Hamid dan Fahizal Ismail (pengarah tari).
Oleh: ROZI ABDUL RAZAK

Saturday, October 17, 1998

Fauziah Nawi pentaskan puisi Usman Awang

Fauziah menganggap genre puisi adalah suatu yang sukar difahami dan memeningkan. Bagaimanapun dia terpesona dengan puisi-puisi Sasterawan Negara Datuk Usman Awang.
Puisi Usman Awang bagi Fauziah telah menjentik minatnya untuk meneroka jauh ke alam puisi ketika zaman persekolahan terutama puisi Ke Makam Bonda dan Tulang-Tulang Berserakan.
Fauziah kini semakin mendekati puisi sekalipun dia bukan kalangan penyair. Dan sebagai penghormatan kepada sasterawan itu Fauziah akan mementaskan teater Dari Bintang Ke Bintang pada 8 hingga 14 November ini di Matic.
Dari Bintang Ke Bintang adalah skrip yang diadaptasi daripada puisi-puisi karya Usman Awang. Pementasan ini adalah sebagai memperingati 50 tahun penglibatan Usman Awang dalam dunia penulisan.
''Sewaktu di alam persekolahan saya diperkenalkan dengan puisi Pak Usman. Saya bukanlah peminat puisi tetapi puisi seperti Ke Makam Bonda dan Tulang Tulang Berserakan memperkenalkan kepada saya apa itu puisi yang sebenarnya,'' jelas Fauziah ketika ditemui di sesi latihan Dari Bintang Ke Bintang baru-baru ini.
Sekalipun secara jujur mengakui tidak pernah mencintai puisi, namun mengkaji puisi ciptaan Usman Awang memberikan lembaran baru dalam hidup Fauziah.
Menurutnya, lebih 20 buah puisi Usman Awang telah dijadikan intipati skrip teater ini tanpa mengubah struktur dan perkataan-perkataannya.
Baginya juga melakukan sesuatu tanpa minat memang satu perkara yang sukar. Tetapi kerana merasakan betapa besar perjuangan sasterawan ini dalam kesusasteraan tidak wajar diketepikan begitu sahaja.
''Membuat sesuatu yang saya sendiri tidak minat adalah sesuatu yang sukar. Saya ambil cabaran ini kerana saya tahu jika saya berjaya mengadaptasinya, ia lebih bermakna.
''Bagi saya puisi sesuatu yang sukar dan menyukarkan orang untuk memahami, tetapi ia mempunyai nilai seni yang tinggi,'' jelas Fauziah.
Mendalami puisi Usman Awang juga memberikan jawapan sasterawan ini seorang yang berjiwa romantis, prihatin kepada isu kemanusiaan sejagat dan pengkritik sosial yang berfikiran tajam.
''Hidupnya sarat dengan cinta dan kasih sayang. Saya tersentuh apabila menghayati puisi-puisi beliau,'' katanya.
Pada 7 November ini genap 50 tahun penglibatan Usman Awang dalam dunia kesusasteraan apabila beliau pertama kali menulis puisi, Korban Tanah Air pada 7 November 1948.
Fauziah melahirkan rasa gembira dengan kerjasama yang diberikan oleh pelakon-pelakon teater ini yang sanggup berlakon tanpa memikirkan bayaran.
Menurut Fauziah, kalau ukuran kewangan menjadi faktor untuk melahirkan teater ini, Dari Bintang Ke Bintang tidak akan dipentaskan.
Kata Fauziah, meskipun tanpa bayaran yang sewajarnya kerana masalah kewangan, pelakon yang menjayakan teater ini sanggup bertolak ansur dan ini satu pengorbanan besar yang dilakukan oleh semua pihan yang terlibat dengan pementasan ini.
''Awal-awal lagi saya jelaskan kepada mereka bahawa saya tidak mempunyai peruntukan yang besar untuk membayar mereka,'' tegas Fauziah.
Katanya, tanpa sumber kewangan yang kukuh mereka masih boleh berkarya sekalipun dengan props dan kelengkapan yang seringkas dan semurah yang mungkin.
''Meskipun dengan pelakon hanya memakai pakaian hitam putih dan pentas yang kosong, teater ini akan tetap dipentaskan, jelas Fauziah bersemangat.
Antara pelakon yang terlibat di dalam teater ini ialah Datuk Rahim Razali, Norish Karman, Ibrahim Akil, Harun Latiff dan Fauziah Nawi sendiri.
Pementasan Bintang Ke Bintang ini dijayakan bersama oleh Majlis Teater Kuala Lumpur dan Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Wilayah Persekutuan.
Oleh: TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDIN

Sunday, October 11, 1998

Pementasan teater Imam

Zakaria Ariffin, pengarah terkenal yang telah menghasilkan banyak kerja pentas antaranya yang terkenal Raja Lawak dan Perempuan Seorang Leftenan Inggeris meminta kebenaran itu sebagai kerjanya semasa mengikuti kursus di Iowa Universiti, Amerika Syarikat tahun lalu.
Akhirnya Imam ke pentas dari 28 September hingga 2 Oktober lalu di DBKL, Kuala Lumpur. Pelakunya, pelakon hebat seperti Ahmad Yatim (Haji Syamsuri), Zaidi Omar (Imam Mihad), Hisham Ahmad Tajuddin (Haji Abdul Rahman), Marlia Musa (Siti Nur Aisyah), Sabri Yunus (Lebai Saat), Zulkifli Ismail (Pegawai Majlis). Ia dibantu pelakon lain seperti Rasdi Daud (Debok), Badrul Hisham Mohd. Noh (Haji Qamar) dan Mohd. Ali Osman (Mohidin).
Perlu diingat, Imam bukanlah drama komersial, bukan drama aksi atau melankolik. Ia adalah drama realisme tentang falsafah, kemanusiaan dan keagamaan dalam masyarakat. Selalunya, drama jenis ini adalah drama yang jauh mementingkan kredibiliti pelaku-pelakunya. Dalam erti kata lain drama ini berpaksikan kepada lakonan.
Melihat pementasannya secara 100 peratus tumpuan, Zakaria perlu dikalungkan ucapan tahniah. Beliau berjaya mengetengahkan sebuah adaptasi yang berjaya. Tidak ramai yang berani menghulurkan diri untuk melakukan kerja ini apatah lagi mengadaptasikan sebuah novel besar yang sebegitu sukar. Ertinya, skrip yang dihasilkan oleh Zakaria cukup baik dan berkesan.
Selain itu, lakonan bermutu yang ditunjukkan oleh kesemua pelakonnya terutama Zaidi, Hisham dan Zulkifli tidak perlu dipertikaikan. Pelontaran dialognya jelas dan mampu merangkumi ruang yang sebesar DBKL yang boleh memuatkan 600 penonton itu.
Ahmad Yatim pula tidak kurang hebatnya, cuma sesekali lontaran dialognya tidak kedengaran. Ia seperti 'merungut'. Khatijah Tan dan Rasdi Daud yang muncul hanya beberapa ketika, serta-merta membawa kita ke arus kesedihan.
Bagaimanapun, entah di mana silapnya, Marlia Musa seperti kehilangan arah dan tidak mengenali wataknya sendiri. Sebagai Siti Nur Aisyah, dia adalah mualaf yang dikahwini oleh Imam Mihad (lakonan Zaidi Omar), tidak konsisten pemilihan loghatnya.
Ini menjadikan kita tertanya-tanya adakah loghatnya itu mirip kepada bangsa dan agamanya (Kristian) atau dipengaruhi oleh latar zaman itu kerana dia menggunakan bahasa yang sedikit baku.
Dari sudut teksnya tiada siapa yang menafikan kejayaan Zakaria. Namun, sebagai sebuah drama, ada banyak kelemahan yang sewajarnya tidak berlaku sekiranya Zakaria mahupun penolong pengarahnya, A. Wahab Hamzah lebih berhati-hati.
Perkara yang paling ketara ialah simbol masjid yang diketepikan begitu saja sehingga saya sendiri tertanya-tanya di antara dua rumah yang dijadikan set utama itu yang mana satukah masjid.
Tiada tanda-tanda yang dijadikan simbol untuk menerangkan ke arah itu. Penonton hanya menyedari ia sebuah rumah ibadat (tentunya beranggap hanyalah surau) apabila kedengaran suara azan subuh dari ruang tersebut ketika ketukan menandakan menjelangnya waktu sembahyang subuh. Sewajarnya, malah kita sendiri sedia maklum masjid mudah dikenali dengan kubahnya, manakala bintang dan bulan terletak di puncaknya.
Apa yang kelihatan di atas pentas hanyalah model dua buah rumah dan jika salah satu itu dianggap masjid, ia hanya layak untuk sebuah surau. Di sinilah kelemahan kepada pembinaan struktur setnya yang dimungkinkan kerana tiada pembacaan skrip dilakukan oleh perekanya.
Seperkara lagi kedudukan masjid tersebut juga diletakkan di sebelah kiri penonton. Adalah lebih baik, lebih mulia dan nampak lebih bermoral jika ia berada di sebelah kanan penonton kerana kanan itu melambangkan unsur yang lebih positif.
Kedudukan rumah Imam Mihad yang terletak di sebelah kanan penonton serta keluasan rumah itu yang tidak membantu kepada perjalanan cerita menyebabkan ruang pentas terbatas. Ada ketikanya berlaku blocking apabila Marlia duduk di sebelah pelakon lain.
Akibat kepada struktur set yang tidak teliti ini, mempengaruhi perjalanan keseluruhan pementasan yang menyebabkan berlakunya black out yang terlalu kerap sehingga sepuluh kali. Black out ini dilakukan kerana keperluan penambahan dan pengeluaran props terhadap sesuatu babak.
Babak-babak yang lain antaranya di pejabat majlis, pejabat dan ruang depan rumah Lebai Saat menggunakan ruang tengah yang juga menjadi pemisah antara masjid dan rumah Imam Mihad.
Bagaimanapun, sekiranya tiga ruang tetap digunakan iaitu sebelah kanan penonton masjid, sebelah depan (90 darjah dari penonton) adalah rumah Imam Mihad manakala sebelah kiri ialah ruang yang universal yang telah tersedia props seperti meja panjang (untuk babak di pejabat dan depan rumah Haji Saat) saya kira masalah black out boleh diatasi.
Selain itu, kelemahan tatacahaya juga mengganggu mood penonton. Pada malam kedua pementasan, Haji Mihad dan Siti Nur Aisyah menyambut kedatangan Debok di dalam gelap dan mereka terus berbual di dalam gelap dan secara tiba-tiba lampu di beranda rumahnya menyala. Siapa yang memetik suiz dari dalam rumah?
Tatacahaya untuk menggambarkan senja juga menimbulkan kekeliruan penonton. Namun segala kesilapan yang dilakukan itu seperti dilupakan begitu saja semata-mata kerana terlalu ghairah dengan lakonan pelakunya yang cukup berkesan.
Kesimpulannya, Imam berjaya dari sudut transformasi dan teksnya serta pemahaman yang jitu di kalangan pelakunya. Namun, kesilapan-kesilapan kecil yang dinyatakan tadi menjadi Imam sedikit terganggu kelancaran pementasannya.
Oleh: SITI ROHAYAH ATTAN

Wednesday, October 07, 1998

Tikar Mengkuang drama realisme yang memikat

Teater karya A.Talib Hasan ini menjadi pengubat luka Pejabat Kebudayaan Kesenian Wilayah Persekutuan (PKKWP) selepas kegagalan Jejak Pahlawan memikat hati penonton dan pengkritik beberapa minggu lalu.
Cerita yang dikandung dalam teater lebih 90 minit ini amat mudah; tentang khabar bahawa orang besar iaitu Demang Besar mahu meminang anak Pak Desa bernama Intan untuk dijodohkan dengan Demang Putera. Ia secara tidak langsung melihat dua jurang kemewahan antara masyarakat yang miskin dan kaya.
Khabar ini menyebabkan Pak Desa (lakonan Yalal Chin) dan Jabur (Zainol Ariffin @ Zaibo) berbincang dan membayangkan perkara yang bukan-bukan tentang hajat Demang itu. Antaranya bagaimana Pak Desa akan lupa daratan sehingga menyebabkan kematian anaknya Intan (Rozita Izlyn).
Ia juga menggambarkan bagaimana susah payahnya Pak Desa dan pelbagai pegawai membuat persiapan bagi menyambut kedatangan Demang Besar. Segalanya mesti diatur sehinggalah masa Intan melahirkan anak juga kena tepat pada waktunya.
Teater ini memang menghiburkan apatah lagi dengan telatah Wan Maimunah (Bidan) dan pelakon lain seperti Harun Hashim (Doktor), Jamaluddin Bab (Pegawai Protokol), Jalil Hamid (Demang Besar) Hashim Mohd Nor (Juru Sajian) dan Zulkifli Mohamad (Demang Putera).
Di sebalik ketawa dan lakonan mereka yang berkesan itu ternyata tersimpul sindiran yang amat tajam. Antaranya sindiran yang boleh diketengahkan ialah bagaimana seseorang itu boleh mengetepikan saudara sendiri apabila mendapat kemewahan, darjat yang berbeza, mengetepikan tradisi lama seperti peranan bidan dan banyak lagi.
'Tikar mengkuang' itu sendiri membawa simbol yang tersendiri yang mana ia menekankan soal akar bangsa. Sekiranya kita melupakan asal usul dan sejarah bangsa dan keluarga sendiri kerana mahu mengejar kemewahan, tentu musibah yang menimpa adalah menakutkan.
Pak Desa tidak sesekali membenarkan tikar mengkuang yang sudah koyak, diwarisi sejak lama dulu dibuang atau dialihkan daripada rumahnya. Dia sanggup bergaduh dengan sesiapa saja yang mahu berbuat demikian.
Keseluruhannya, teater ini memberi nafas kepada perkembangan teater tahun ini kerana unsur humornya yang memikat. Lakonan pelakon pilihan Lokman memang terbaik dan tepat sekali. Pemilihan Yalal contohnya mengubat rindu peminatnya setelah lama beliau tidak muncul di pentas.
Berlokasikan masyarakat Melaka sebagai latar pilihan, penggunaan bahasa pasar (bahasa Melaka) memang segar dan melucukan.
Pengucapannya saja sudah berjaya memujuk penonton untuk sama-sama ketawa. Kelebihannya kerana pelakon utamanya seperti Yalal berasal dari Melaka, begitu juga pengarahnya.
Biarpun Tikar Mengkuang pernah Lokman arahkan pada 1991 tetapi Lokman tetap memastikan ia adalah hasilan yang terbaik. Sebelum ini banyak juga pengarah yang mementaskan teater yang sama lebih daripada sesekali tetapi hasilnya tidaklah begitu menggalakkan.
Lokman membuktikan kerja seninya yang bermula dengan berlakon Bukit Keramat arahan Supiat Mukri pada 1980 adalah yang terbaik. Selepas ini mungkin beliau akan menghasilkan sesuatu yang lebih baik.
Oleh: SITI ROHAYAH ATTAN

Thursday, October 01, 1998

Teater Imam Provokatif tetapi jujur

Imam yang dipentaskan oleh Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sehingga esok adalah naskhah adaptasi daripada novel Imam karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein.
Menerusi teater ini Zakaria melanjutkan premis sosial yang dibina oleh Abdullah dalam naratif teksnya.
Premis sosialnya masyarakat majmuk di sebuah perkampungan di negara ini. Premis ini membuatkan Imam menjelaskan pertentangan antara anjakan minda golongan muda yang dinamik dengan kepimpinan lama yang fobia dengan perubahan.
Pementasan Imam adalah kesukaran untuk memindahkan idea pengarang yang dilukiskan dengan teks kepada visual yang mise en scene di pentas.
Keterbatasan visual ini nampaknya diatasi dengan jayanya oleh Zakaria yang juga penulis naskhah teater ini.
Latar sebuah masyarakat yang akrab dengan nilai-nilai kehidupan beragama diperhalusi dalam pementasan ini. Lalu kekuatan untuk menyampaikan yang tersirat dalam Imam tidak bergantung kepada setting beranda masjid dan beranda rumah Imam Mihad.
Imam menghalusi isu yang diperdebatkan dengan dialog yang dianggap cukup padat, sinikal dan tidak kurang juga yang perlu dilihat subteksnya.
Imam yang didukung oleh pelakon berwibawa; Ahmad Yatim, Zaidi Omar, Zulkifli Ismail, Marlia Musa dan banyak lagi adalah keberanian luar biasa membahaskan isu yang melengkari rakyat jelata.
Kalau sebelum ini banyak yang menganggap novel Imam sebuah karya berunsur Islam, teater Imam memberikan ruang kepada penonton untuk melihat tafsiran sebuah karya adaptasi yang lebih sejagat.
Konspirasi Haji Abdul Rahman (Hisham Ahmad Tajudin) bekas imam Kampung Anggerik Desa yang mahu merampas kembali jawatan yang diberikan kepada Imam Mihad (Zaidi Omar) dengan sokongan rakannya Haji Shamsuri (Ahmad Yatim) dalam konteks hari ini adalah isu semasa yang berlaku di seluruh dunia.
Konspirasi begitu banyak diangkat dalam novel-novel popular Barat. Tetapi teater Imam memberi pendekatan dan penekanan yang lain. Dengan mengambil premis sosial, kekukuhan agama anggota masyarakatnya, konspirasi berlaku dengan penuh sopan dan tertib.
Ia dimaniskan dengan tutur kata orang beragama, bersandarkan kepada perjuangan menegakkan syiar Islam dan menjaga kepentingan rakyat. Demikianlah Imam yang menyaksikan sebuah kesukaran bagi golongan muda melakukan perubahan yang bertentangan dengan hukum hakam dan amalan sebelumnya.
Setelah lama Kuala Lumpur tandus dengan teater-teater yang menjentik minda dan relevan dengan perkembangan intelektual dalam masyarakat, Imam pula kelihatan agak provokatif, lantang tapi jujur.
Teater ini semacam memberi isyarat tentang sebuah pergolakan yang kerap memangsakan rakyat, melontarkan mereka dalam kekeliruan dan paling malang menjadikan mereka landasan untuk mencapai matlamat.
Dalam Imam, golongan yang memihak kepada imam tua memainkan isu Imam Mihad tidak menggunakan teks khutbah Jumaat yang disediakan oleh pihak Majlis Agama. Haji Abdul Rahman dan Haji Shamsuri dengan lantang mengkritik Imam Mihad kerana banyak bercakap soal dunia daripada dosa dan pahala.
Tidak cukup dengan itu, isu isteri Imam Mihad, Aishah (Marlia Musa) yang baru memeluk Islam didakwa sebagai ejen Kristian ke kampung itu. Siapa yang tidak percaya kalau dakwaan itu keluar daripada mulut seorang tokoh seperti Haji Abdul Rahman dan Haji Shamsuri?
Sebelum ini Zakaria pernah membayangkan kesukaran untuk mementaskan Imam. Katanya, lebih 100 halaman dalam novel adalah sesi temu bual. Tetapi yang banyak membantu teater Imam adalah babak temu bual yang dianggap sebagai narator kepada pementasan ini.
Teater Imam ketandusan babak-babak aksi dan melankolik yang selalu dianggap pemikat penonton.
Tetapi kekuatan teater tidak hanya kepada melankolik atau aksi sahaja. Kekuatan teater terletak kepada stail pengarahan dan dinamisme pelakon menghadirkan watak-watak di pentas.
Ahmad Yatim, Zaidi dan Zulkifli Ismail tiga watak utama yang kerap muncul di pentas memberikan persembahan yang baik. Lakonan mereka terkawal dan memagut perhatian. Interaksi dalaman dan luaran ada perseimbangan, marahnya tersimpan dan senyum yang kelihatan penuh kesakitan.
Ahmad Yatim adalah Pemburu Khamis dalam filem Pemburu dan Haji Pawi dalam Anak Sarawak. Tetapi Haji Shamsuri cukup berbeza daripada kemunculan Ahmad Yatim sebelum ini.
Kekecewaan di hatinya dapat disembunyikan di sebalik ketokohan sebagai orang yang pernah menjawat penolong imam.
Zaidi yang banyak menghidupkan teater Sungai Mengalir Lesu arahan Wahab Hamzah menampilkan Imam Mihad yang pintar tapi waspada terhadap semua di sekelilingnya.
Teater Imam tentunya tidak sekadar untuk tontonan tetapi sebuah mise en scene yang menuntut kita membaca setiap geraknya.
Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN