Sunday, January 23, 2000

Erma pertama kali arah teater


Teater sebenarnya bukan baru bagi Erma tetapi penglibatannya selama ini hanya sebagai pelakon, bukan pengarah yang memerlukan dia memperlihatkan persepsinya untuk mencorakkan sesebuah persembahan.
Erma mengakui, bidang kerja antara pelakon dan pengarah agak jauh kerana pengarah harus mengawasi semua aspek dalam sesebuah pementasan sedangkan pelakon hanya lakonannya sahaja.
Sebagai permulaan menempatkan diri sebagai pengarah teater, Erma mahu memberikan sesuatu yang terbaik yang diangkat daripada pengalaman berlakon beberapa teater sebelum ini.
Tahun lalu dia membawa watak Nyai Sunarti dalam teater Lantai T. Pinkie arahan Rosminah Tahir dan mendapat pujian daripada banyak pihak.
''Saya akan memberikan sesuatu yang terbaik untuk teatar pertama arahan saya ini,'' kata Erma semasa ditemui baru-baru ini. Mencari Salina di bawah arahannya turut meletakkan Rosminah sebagai penolong pengarah.
Dia berharap penonton tidak akan kecewa dengan arahan sulungnya itu dan dia sendiri berjanji memberikan persembahan yang terbaik untuk peminat teater.
Melalui Mencari Salina, Erma juga turut muncul sebagai pelakon utama di samping pelakon lain antaranya Umie Aida, Azizah Mahzan, Wan Maimunah, Sidi Oraza dan beberapa lagi.
Teater yang menelan belanja lebih RM100,000 itu akan dipentaskan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 6 hingga 14 Jun ini.
Bagaimanapun Mencari Salina di bawah arahan Erma akan menemui peminat pada 7, 9, 11 dan 13 Jun.
Mencari Salina adalah sebuah parodi bebas daripada watak Salina yang dipetik daripada novel Salina karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said. Ia dipersembahkan oleh Panggung Negara dengan kerjasama BNE Studio dan DBKL.
Walaupun mementaskan teater berdasarkan skrip yang ditulis oleh penulis lain namun Erma tidak mengikut seratus peratus skrip tersebut sebaliknya membuat improvisasi berdasarkan pandangannya sendiri.
Oleh: ROSLI MANAH

Sunday, January 16, 2000

Teater Negeri Terbantut


KUALA Lumpur seringkali dilihat sebagai 'syurga teater' kerana kekerapan pementasannya. Ini menyebabkan teater negeri sering dilihat sebagai lesu dan tidak berdaya maju berbanding Kuala Lumpur. Perkara ini dikuatkan dengan penghijrahan penggiat aktif sama ada pengarah mahupun pelakon yang berpotensi.
Memang tidak dinafikan pementasan teater negeri tidak sekerap Kuala Lumpur. Bagaimanapun, bukan bererti ia sudah tidak dipedulikan lagi. Terdapat beberapa faktor berlakunya fenomena ini yang tentunya dikaitkan dengan peruntukan, kemudahan, kepakaran dan semangat.
Negeri yang terkenal kerana kehebatan penggiatnya seperti Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Johor juga melalui dilema tersebut. Soal duit, ketiadaan kemudahan, pengarah dan pelakon yang berwibawa serta semangat kerja yang lemah membantutkan segala usaha meletakkan teater negeri sebagaimana Kuala Lumpur.
Akibatnya, mereka hanya aktif bagi persediaan Pekan Teater yang mungkin ada sedikit peruntukan melalui Pejabat Kebudayaan dan Kesenian negeri masing-masing. Kelebihan ini kerana Pekan Teater adalah program Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan (KKKP). Bayangkan jika program itu bukan di bawah budi bicara KKKP!
Bererti setahun hanya sekali pementasan yang diadakan. Itu pun tahapnya sekadar untuk pertandingan. Dalam hal ini, fenomena yang berlaku di Melaka amat mendukacitakan. Ia adalah dilema yang paling menakutkan tahun 1999 apabila hanya satu kumpulan yang bertanding bagi Pekan Teater di negeri itu.
Johor mungkin sedikit bernasib baik tahun 1999 kerana di bawah Yayasan Warisan Johor teater Dato' Onn dapat mengelilingi Johor dan dua kali singgah di Kuala Lumpur yang tentunya melibatkan kos lebih setengah juta. Apakah Johor akan meneruskan tradisi tersebut atau ia hanya akan tamat di situ saja?
Sekurang-kurangnya kerajaan negeri Johor prihatin terhadap nasib teater di negeri itu dan bersedia untuk mementaskan teater karya, arahan, lakonan dan cerita anak negerinya sendiri berbanding negeri lain.
Membincangkan perkara ini, saya tertarik dengan forum teater di Negeri Sembilan, baru-baru ini di bawah tajuk Kembalikan Martabat Teater Negeri Sembilan. Forum anjuran Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan (PKKNS) adalah sebagai usaha menyorot perkembangan dan permasalahan teater di negeri tersebut.
Di dalam forum itu, panelnya Kamarul AR dan Wagiman NS melihat bahawa masih ada kemampuan penggiat peringkat negeri untuk berkarya sekiranya ada sokongan pelbagai pihak. Bagaimanapun, horizon yang terkongkong di peringkat negeri saja tidak memberi ruang kepada penggiat untuk memperlihatkan kemampuan mereka ke peringkat nasional.
Justeru, fenomena membawa dan mementaskan teater dari negeri-negeri ke Kuala Lumpur akan memberi imej baru kepada suasana berteater di peringkat negeri. Bagaimanapun, ia amat memerlukan kerjasama dari semua pihak terutama penaja.
Menurut mereka, peluang yang diberikan kepada penggiat negeri ini akan dibuktikan dengan sebaik mungkin demi menjaga nama baik sendiri dan juga negeri masing-masing.
''Apabila dipentaskan di Kuala Lumpur, ramai yang mengetahui tentang bakat dan kebolehan penggiat dari negeri-negeri tertentu. Ia juga memberi keyakinan kepada penggiat peringkat negeri untuk bersaing dengan mereka yang telah mengukir nama di Kuala Lumpur,'' kata Kamarul, anak Negeri Sembilan yang aktif mengarah di Kuala Lumpur.
Kamarul berpendapat, bantuan daripada pengarah yang telah berhijrah ke ibu kota amat penting bagi mempastikan kesinambungan peringkat negeri itu berterusan. Kuala Lumpur biasanya akan memberikan nafas dan cara berkarya yang agak berbeza di peringkat negeri akibat daripada pengaruh khalayak dan penajaan.
Namun begitu, pengarah teater Kota Lukut ini bersetuju bahawa Kuala Lumpur juga tidak terlalu menjanjikan penajaan yang mudah kerana ada juga teater yang terpaksa dibatalkan akibat ketiadaan penajaan.
Sehubungan itu beliau menyeru semua pihak terutama kerajaan negeri supaya bersedia untuk memberi bantuan kepada kumpulan teater bagi mempastikan perkembangan teater berterusan.
Wagiman pula melihat masalah dalaman menyebabkan teater di Negeri Sembilan melalui proses yang tidak seceria zaman kegemilangannya. Perkara utama yang dijadikan alasan ialah ketiadaan tempat bagi latihan, perjumpaan dan sebagainya di samping sokongan kewangan daripada kerajaan negeri.
''Masalah utama di Negeri Sembilan ialah ketiadaan 'pelabuhan' (tempat) bagi kami mengadakan pertemuan dan seterusnya melayarkan kapal kami. Jika masalah tempat ini tidak diatasi saya rasa semua harapan dan cita-cita kami tidak akan ke mana.
''Memang di Seremban sedang dibina Taman Seni Budaya tetapi ia hanya akan siap sepenuhnya pada 2001 sedangkan perkembangan teater semakin pantas. Saya bimbang Negeri Sembilan akan ketinggalan. Sebelum siapnya Taman Budaya, tentu ada alternatif bagi kami untuk berdrama,'' katanya yang telah melibatkan diri dalam dunia pentas sejak lebih 30 tahun lalu.
Menurut Wagiman, pada 70-an dan 80-an aktivis teater di Negeri Sembilan aktif dan sering menang dalam pertandingan. Contohnya drama 'Mencari Kaki Langit' dianggap sebagai antara lima drama terbaik peringkat kebangsaan. Pernah mendapat anugerah terbaik antaranya Pelakon Wanita Terbaik melalui drama 'Phobia'.
Drama 'Jantung' arahan Wagiman menjadi drama komedi terbaik peringkat kebangsaan dan dipentaskan seluruh negara sebanyak 52 kali.
''Saya harap akan diadakan bengkel pengarahan kepada pengarah-pengarah yang berada di negeri terutama di Negeri Sembilan. Bengkel atau kursus ini akan memberi peluang kepada mereka yang tidak mendapat pendidikan teater secara formal untuk sama-sama menimba ilmu dan pengalaman daripada mereka yang berpengalaman.
''Dengan cara ini segala ilmu dan pengalaman yang diperolehi itu akan disebarkan kepada anak-anak muda di daerah mereka. Ia secara tidak langsung menjadi asas kepada generasi tersebut sebelum mereka mengambil giliran,'' tambahnya.
Mereka berharap hasrat untuk mementaskan randai 'Alahai Si Ujang' di Kuala Lumpur akan menjadi kenyataan. Ini kerana teater ini pernah dicadangkan untuk dipentaskan di ibu kota dan para pelakon telah mengadakan latihan hampir dua minggu tetapi oleh kerana tiada penaja dan bantuan dari peringkat negeri, cadangan itu terpaksa dibatalkan.

Oleh: SITI ROHAYAH ATTAN
16/01/2000

Saturday, January 15, 2000

Mana Setangginya siapa lebih layak mengarah


AGENDA paling penting yang mesti dilaksanakan oleh Istana Budaya bagi menyambut tahun baru ini ialah mementaskan naskhah Mana Setangginya. Realitinya dengan pementasan ini akan menutup segala kritikan dan cemuhan yang dilemparkan terhadap pengurusan Istana Budaya selepas naskhah besar Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassaan ini dijadikan 'bola' dalam 'percaturan' mereka yang berkepentingan di situ. Janji tetap janji. Ia mesti dikotakan.
Jika selama ini Mana Setangginya seperti menjadi korban keghairahan bekas Pengarah Istana Budaya, Supiat Mukri untuk menghasilkan skrip yang terbaik iaitu Keris Sang Puteri bagi membuka pintu Istana Budaya, bagi istiadat tepung tawar.
Mana Setangginya juga menjadi naskhah yang ditakuti oleh pengarah teater sehebat Datuk Rahim Razali sehingga terpaksa menggeleng kepala beberapa kali dan akhirnya tidak berani memikul tanggungjawab itu.
Kerana dua sifat ini iaitu ghairah dan hebat inilah, Mana Setangginya menjadi korban. Keghairahan dan kehebatan itu jugalah memusnahkan sebuah produksi besar yang kononnya menelan belanja lebih RM800,000 dengan hasil yang begitu menyedihkan. Perkara ini terus akan tercatat dalam sejarah dan akan menjadi kajian serta perbincangan anak-anak zaman akan datang.
Saya tidak melihat kewajaran Istana Budaya menolak Mana Setangginya pada tahun ini. Soal peruntukan tidak akan menjadi soal biarpun kosnya menyamai kos Keris Sang Puteri. Tidak mengapa asalkan hasilnya jauh lebih baik daripada teater yang menghampakan itu.
Jika benar seperti desas-desus yang Mana Setangginya akan dipentaskan, timbul pula soalan yang menarik; siapa yang layak mengarahnya? Inilah perkara yang perlu diteliti apabila keputusan mementaskan teater ini dibuat.
Di tangan pengarahnyalah yang akan menentukan jaya atau gagalnya teater ini. Sekiranya Istana Budaya tersilap memilih pengarah, padah akan menanti Mana Setangginya dan keparahan ini akan lebih melukakan hati pengkaryanya.
Kita tidak menafikan bahawa sesungguhnya, di negara kita memang ramai pengarah besar pada kaca mata khalayak teater. Kita ada Rohani Yusoff dan Adnan Hamzah yang mana kedua-duanya seperti sinonim dengan karya Noordin kerana pernah diberi kepercayaan mengarah. Kita juga ada Syed Alwi, Zakaria Ariffin, Rosminah Tahir, Zaifri Husin, Ahmad Tamimi Siregar, Rahim Razali, Normah Nordin dan Aminah Rhapor. Mereka rajin berkarya.
Malangnya, mereka belum mencapai tahap pemikiran Noordin. Maka, mereka masih perlu dibimbing jika teringin mengarah Mana Setangginya. Dalam erti kata yang jujur, mereka masih belum layak untuk mengarah karya sehebat Mana Setangginya.
Justeru, bagi pementasan sulung Mana Setangginya hanya layak diarah oleh Noordin. Mereka yang lain hanya layak sebagai penolong pengarah atau pengurus pentas.
Mana Setangginya, sama seperti teater Noordin yang lain iaitu masih berpegang kepada prinsip teater fitrah; teater untuk ibadah. Lihat sajalah Peran, Cindai, 1400, Jangan Bunuh Rama-Rama dan terbaru Pelayaran Nur Atma (dekonstruksi dari Jangan Bunuh Rama-Rama).
Semuanya mengambil dari akar Islam, dipinjam dari cerita-cerita dari al-Quran dan hadis. Inilah wajah teater Malaysia - SRA.