Saturday, September 16, 2000

Sindiran ~~ dalam Nyiur Gading Puncak Mahligai



Teater yang kini dipentaskan sehingga 24 September itu menyampai kritikan sosial dan hal ehwal semasa dalam bentuk jenaka.
Nyiur Gading Puncak Mahligai berlatar belakang kisah pemerintahan beraja zaman silam yang disesuaikan dengan isu semasa.
Ia menampilkan Maya, Ahmad Idham, Wan Maimunah, Razak Ahmad, Mubarak Majid, Azizul Khamis dan penampilan istimewa penyanyi veteran Aspalela Abdullah dan pemain gambus Fadzil Ahmad.
Teater itu mengangkat muzik ghazal sebagai muzik latar persembahan. Malah Fadzil Ahmad diberi kepercayaan bertindak selaku pengarah muzik.
Aspalela yang memang terkenal dengan syair turut bersyair yang menceritakan tentang suatu yang akan berlaku dalam babak demi babak.
Teater arahan Kalam Hamidi itu mengisahkan Tengku Mahkota yang tertarik dengan penari ghazal yang dikenali sebagai Puteri Ghazal.
Puteri itu menolak cinta Tengku Mahkota kerana dia telah berkasihan dengan rakan sekampung, Lanang. Penolakan itu membuatkan Tengku Mahkota jatuh sakit.
Kemangkatan sultan membuatkan bondanya menjemput puteri raja seluruh dunia untuk diperkenalkan kepada Tengku Mahkota.
Dalam pemilihan itu puteri raja Singapura, India, Jawa, Arab, Inggeris dan Terengganu memperkenalkan diri masing-masing.
Babak tersebut menampilkan sindiran secara langsung mengenai situasi semasa negeri dan negara tersebut dalam bentuk jenaka.
Puteri raja China dari Singapura misalnya bercerita mengenai negerinya yang maju dari segi perniagaan dan menjadi pusat perdagangan.
Bendahara dan Temenggung yang menguji puteri itu mencelah mengatakan negaranya bergantung hidup pada air sumbangan negeri Johor.
Puteri Raja Jawa pula dalam loghat Jawa Indonesia bercerita mengenai negaranya yang penuh dengan semangat perjuangan, reformasi dan demonstrasi sehingga lupa makan nasi.
Puteri Inggeris pula berbangga dengan negerinya yang boleh mendidik Putera Mahkota dalam pemerintah cara mereka yang menindas sekiranya memilihnya sebagai permaisuri.
Putera Mahkota tetap inginkan Puteri Ghazal dan dia sekali lagi jatuh pengsan apabila mengetahui puteri itu sedang bersiap untuk berkahwin dengan Lanang.
Untuk menyelamatkan suasana, adindanya, Tengku Seri Banun menggantikan tempat Puteri Ghazal dan berkahwin dengan Lanang untuk membolehkan puteri itu dimiliki oleh Putera Mahkota.
Set teater itu dibuat secara sederhana dan tidak menggunakan segala kelengkapan yang dimiliki oleh Istana Budaya itu.
Setnya hanya sebuah rumah penghulu di sebuah kampung, satu kawasan kebun di kampung dan sebuah istana.

Wednesday, September 13, 2000

Sastera dan manifestasi kegelisahan




karya sastera terbaik dihasilkan oleh para sasterawan yang tertekan jiwa dan nuraninya. Tekanan yang keras menjadikan karya sastera semakin tajam untuk dikunyah oleh rakyat.
Di negara kita, terbukti antara karya-karya terbaik dihasilkan oleh sasterawan yang dihimpit perang, pergolakan dan kemiskinan. Nada karya mereka sedikit kasar dan keras. Tetapi mereka membawa rakyat bangun melawan suratan dan persekitaran biar dari arus yang berbeza.
Kemiskinan juga telah melahirkan Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad. Jeha dan Lahuma benar-benar wujud dan membuktikan kemiskinan akan mengundang malang yang bertimpa-timpa.
Novel Salina karya A. Samad Said lahir dari kesan psikologi yang ditinggalkan selepas perang. Anak Mat Lela Gila karya Pak Sako pula secara sinikal dan berbaur penentangan serta kebencian kepada penjajah.
Kalau ditelusuri lagi, maka pasti kita akan menemui bahawa kelahiran puisi Duri dan Api umpamanya disebabkan tekanan menghimpit Usman Awang tahun 60-an. Sementara puisi satira Pak Uteh pula Usman bercerita tentang jurang antara rakyat dengan pemimpin mereka yang ''bermobil'' besar.
Pada dekad 70-an, kemunculan penggiat sastera seperti Dinsman, Nordin Hassan, Hatta Azad Khan dan banyak lagi adalah manifestasi kemarahan dan protes. Nada karya-karya mereka selari dengan kebangkitan rakyat dan gelembong-gelembong wap panas di kampus-kampus.
Menifestasi kemarahan dan kegelisahan misalnya disuarakan dalam Jangan Bunuh Rama-Rama (1971) karya Nordin Hassan. Disebabkan parut 13 Mei masih merah, maka sebagai alternatifsastera digunakan untuk menyuarakan tentang peristiwa itu.
Bahasa dan sastera perlu diletakkan secara beiringan dalam keperluan hidup masyarakat. Tetapi setelah zaman berubah, rakyat menikmati ''keselesaan'' hidup, kepentingan bahasa dan sastera sudah tidak relevan lagi.
Ketika semua bercakap tentang keperluan material, kesukaran mencari karya yang tajam, untuk apa lagi bersusah payah memikirkan perihal sastera? Bukankah telah terbukti manusia mampu hidup malah menikmati kemewahan yang luar biasa sekali pun tanpa mendaulatkan sastera dan bahasa?
Sekarang kita merayakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN). Acara kesusasteraan dan bahasa selama sebulan ini dimulakan tahun lalu antara matlamatnya ialah untuk mengukuhkan jati diri dan citra Malaysia melalui bahasa dan sastera.
Tema BBSN tahun ini ialah Bahasa dan Sastera Citra Negara. Sama ada tema mahupun matlamat diadakan BBSN ini memang enak didengar. Tetapi realitinya bahasa dan sastera tidak seindah yang terungkap pada tema BBSN kali ini. Kedua-duanya masih jauh dari masyarakat, tidak dibudayakan dan acaranya kecil-kecilan.
Secara jujur berapa orang yang meletakkan sastera dan budaya sebagai keperluan dalam jiwa untuk menjadi sebuah bangsa yang merdeka? Sastera menjadi kering kontang malah lebih teruk dari kegawatan ekonomi yang melanda beberapa tahun lalu.
Sastera dan bahasa telah lama dilanda kegawatan. Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan BBSN memang baik malah wajar dipuji. Tetapi dengan acara begini sahaja tidak boleh diharapkan sepenuhnya untuk memberi martabat baru kepada sastera dan bahasa.
Sastera dan bahasa perlu melalui proses yang panjang untuk membesar dan menjadi umpama aur dan tebing dalam kehidupan. Antaranya sanggup melihat kepentingan sastera dan bahasa di luar ruang litup material semata-mata. Kerana itu mungkin ada benarnya sastera dan bahasa hanya diperlukan apabila manusia berada dalam tekanan. Lalu sastera tumbuh dan menjana pemikiran rakyat sekali gus memancarkan jati diri ketika manusia berhempas pulas membebaskan diri dari tekanan demi tekanan.
Ini barangkali ada signifikan dengan Teratak Zaaba yang mengambil masa empat tahun untuk disiapkan. Sebagai maklumat tambahan, jangkamasa ini telah menyiapkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara yang termoden di Asia.
Kita tidak boleh terus menyalahkan pihak yang mengusulkan pembinaan teratak untuk mengenang tokoh dan pejuang bahasa ini. Semua yang berlaku adalah cermin kepada kedudukan sastera dan bahasa Melayu dalam masyarakat.
Sempena BBSN, ada baiknya kalau dibaca dan dihayati semula puisi Keranda 152 karya Usman Awang. Setidak-tidaknya BBSN cuba berusaha mengubati kelukaan Usman dalam Keranda 152.


E-mel: kuseman@pc.jaring.my

Tuesday, September 12, 2000

Stars of Musicals


Teater arahan pengarah muzikal terkenal Martin Yates itu dibawakan oleh Penerbangan Malaysia dan Celcom dan diterbitkan oleh SW Show Productions.
Sebagai satu usaha mendedahkan karyawan tempatan pada teater, tenaga kreatif tempatan juga akan diberi peluang mengambil bahagian di dalam pementasannya.
Sebanyak 14 pemuzik orkestra dari Orkestra Simfoni Kuala Lumpur akan menyertainya selain beberapa pelakon dan penari.
"Setakat ini kami belum lagi dapat memastikan tempat pementasan kerana ia dipilih berdasarkan kesesuaiannya,'' kata Pengarah Urusan SW Productions, Shireen Woon.
Pengerusi Celcom dan Penerbangan Malaysia, Tan Sri Tajudin Ramli dalam majlis menandatangani kontrak di Kuala Lumpur semalam berkata, pihaknya ingin mendedahkan penonton tempatan kepada pementasan teater muzikal itu.
Pementasan oleh teater bertaraf dunia itu diharap dapat membuktikan kemampuan Malaysia dalam menganjurkannya acara seumpama itu.
Martin berharap kehadiran mereka ke Malaysia akan membuka peluang kepada penggiat teater di sini untuk bekerjasama dan menimba ilmu.
Dia juga akan berkongsi pengalaman dengan tenaga kerja tempatan yang turut sama dalam pementasan itu untuk mengembangkan teater muzikal di sini.
Martin adalah satu nama yang terkenal dalam pementasan teater muzikal di London dan pernah mengarahkan muzik untuk London Symphony, The Phiharmonia, City of Birmingham Symphony dan BBC Concert Orchestra.
Dia juga pernah mengarahkan muzikal antaranya The Phantom of The Opera, Miss Saigon, Sunset Boulvard, Carousel dan banyak lagi.
Teater itu menampilkan Joanna Amphil, Simon Bowman, Katrina Murphy, Andrew Halliday, Paulette Ivory, Sally Ann Triplet dan banyak lagi.
Stars of Musical adalah sebuah teater yang menggabungkan sedutan beberapa pementasan muzikal terkenal seperti Phantom of The Opera, Les Miserables, Miss Saigon, The King And I, My Fair Lady, Cats, Grease, Chicago dan lain-lain.
Katrina Murphy dan Andrew Halliday yang turut hadir di sidang akhbar itu menyanyikan tiga buah lagu sedutan teater tersebut.
12/09/2000

Monday, September 11, 2000

Sidang media ~~'panas' kerana Istana Budaya


Ketua Setiausaha Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Tengku Alauddin Tengku Abdul Majid menggunakan pentas sidang media teater itu untuk meluahkan kekecewaannya kepada pihak media.
Sidang media teater berkenaan yang diadakan di Istana Budaya, pada petang Jumaat lalu, dan terlewat lebih dua jam itu, menjadi 'panas' apabila Tengku Alauddin mempertikaikan peranan wartawan yang dianggap lebih banyak menulis mengenai keburukan Istana Budaya.
Beliau mempersoalkan kredibiliti wartawan yang dianggap mencari makan menerusi cara yang tidak profesional.
"Nampaknya, golongan wartawan seperti ini mencari makan dengan cara mahu membunuh Institusi Melayu sendiri,'' katanya dengan nada emosional.
Pelbagai pihak terutamanya aktivis teater mula melihat perjalanan dan pentadbiran di Istana Budaya yang sudah tidak berfungsi dengan normal sejak kebelakangan ini, apabila mengenakan dasar 'tutup pintu' kepada individu-individu tertentu.
Dasar ini ternyata telah meminggirkan penggiat-penggiat teater yang benar-benar komited dengan hasil karya mereka dan turut membunuh hasrat untuk mengadakan persembahan di tempat yang berprestij itu.
Istana Budaya yang dibina dengan kos RM206 juta itu bakal menyambut ulang tahun pertamanya pada 15 September ini.
Pada sidang media itu juga, Tengku Alauddin mengeluarkan kenyataan pedas dengan berkata 'seolah-olah tanpa Istana Budaya, wartawan tidak boleh cari makan.''
Sebelum itu, beliau turut menarik perhatian dengan berkata, kebanyakan wartawan Melayu malas untuk menonton persembahan teater Inggeris menyebabkan kritikan negatif hanya dilontarkan ke atas teater Melayu semata-mata.
"Cuba kalau mereka ini menonton teater Inggeris sudah tentu banyak lagi keburukan yang akan dilihat,'' jelasnya.
Dengan cara melihat kelemahan teater berbahasa Inggeris, menurut beliau, pihak media dapat melihat kelebihan yang ada di dalam sesebuah pementasan teater Melayu daripada pelbagai aspek.
Penjelasan yang dibuat oleh Tengku Alauddin ini memberikan jawapan bahawa segala kritikan dan pandangan yang diberikan oleh pihak media yang mahu melihat Istana Budaya berfungsi sebaik mungkin tidak diambil dari sudut yang positif.
Sebaliknya, pentadbir di Istana Budaya itu melihat pelbagai saranan dan kritikan tidak lebih dilihat sebagai serangan peribadi dan pandangan yang emosional sifatnya.
Pada sidang media itu juga, pihak wartawan tidak diberi peluang untuk mengemukakan sebarang soalan kepada panel penganjur teater itu.
Sebelum ini, pementasan teater bercorak epik, bangsawan dan patriotisme dipentaskan di Istana Budaya, sebelum beralih kepada pementasan teater berkonsep komedi menerusi Nyiur Gading Puncak Mahligai.
Teater arahan Kalam Hamidi ini bakal menampilkan pelakon Ahmad Idham bergandingan dengan penyanyi yang popular dengan lagu Matahari, Maya.
Turut terbabit di dalam pementasan teater yang akan bermula dari 14 hingga 24 Oktober ialah Razak Ahmad, Kamsah Abdullah, Zaibo, Mubarak Majid, Zakaria Yusof, Wan Maimunah, Ibrahim Akir dan Syukor Yon.

Sunday, September 10, 2000

Akibat baca puisi cara literal


Puisi sekali lagi terseret dalam kancah debat yang paling asas sifatnya. Sewajarnya debat atau kontroversi yang melanda puisi bukan lagi pada perkara titik bengit yang tidak menguntungkan sesiapa. Terbaru sekali segmen puisi dalam konsert M. Nasir di ntv7 telah dipotong kerana dibimbangi akan mencetuskan provokasi dan kontroversi.
Difahamkan arahan itu dibuat oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) yang sebelum ini kerjanya menapis filem. Memotong segmen puisi Pyanhabib, Sani Sudin dan Marsli NO bukanlah isunya. Sebaliknya tindakan itu memperlihatkan isu yang lebih besar iaitu pengawal-pengawal moral kita yang masih `membaca' karya seni secara literal. Inilah masalah yang sebenarnya dan amat mendukacitakan apabila puisi masih tidak boleh dibezakan dengan teks ucapan atau ceramah.
Puisi bukan teks ucapan yang seratus atau seribu orang membaca akan memahami benda yang sama. Tetapi karya seperti puisi bergantung kepada kemampuan individu. Kerana itu kalau ada menganggap sesebuah karya boleh memberikan kesan negatif, itu tafsiran peribadi. Barangkali pihak yang lain melihat dari perspektif yang lain.
Pyanhabib bukan kerjanya menulis puisi untuk mencari makan. Sama juga dengan Sani Sudin dan Marsli. Mereka tidak rugi apa-apa kalau puisi dilarang disiarkan di TV. Malah ntv7 juga tidak rugi. Cuma yang akan mengalami kerugian ialah tradisi kesusasteraan yang diremehkan sedemikian rupa.
Apabila puisi Politik karya A. Samad Said dan Bicara Dengan Teman Lama karya A. Samad Ismail disiarkan di RTM, ini membayangkan satu perkembangan bahawa puisi sudah tidak lagi `dibaca' secara literal. Tetapi apabila segmen puisi tentang kemerdekaan dibimbangi kesan buruknya, maka jawapan yang tepat ialah puisi itu dibaca seumpama sebuah teks ucapan.
Tragedi yang menimpa puisi Sani, Pyanhabib dan Marsli sebenarnya bukanlah perkara baru. Ini sebahagian daripada petanda birokrat kita yang kabur tetapi masih mengakui celik dan pakar tentang puisi.
Sekarang ini fobia sudah berjangkit kepada banyak orang. Apa lagi yang diberi tugas untuk menangani hal-hal begini. Fobia membuatkan hilang kewarasan dan hasilnya tiga buah puisi yang telah ratusan kali dibacakan tidak boleh disiarkan di TV.
Sebelum ini puisi Doa karya Chairil Anwar yang dinyanyikan oleh Zubir Ali pernah mencetuskan kontroversi. Puisi yang dilagukan ini kontroversi kerana hal yang remeh. Ia cuma dalam puisi ada menyebut, ``Tuhan kuketuk pintumu.'' Ada pihak membaca puisi ini secara literal lalu negatiflah puisi Chairil Anwar.
Tulisan ini bukanlah menuntut kebebasan yang tiada batas. Tetapi berilah sedikit ruang untuk karya-karya seni berkembang dalam persekitaran yang sihat. Kalau namanya karya seni, hujah dan makna tidak akan disampaikan dalam ungkapan seharian. Dalam bahasa seharian, lembu boleh berjalan tetapi dalam puisi lembu boleh terbang. Inilah puisi. Sebenarnya kita menganggap pihak yang dipertanggungjawab menapis adalah orang yang memahami karya seni yang berada di tangan mereka. Bukan mudah untuk menghukum sesebuah karya itu menyimpang kalau kemampuan menguasai medium itu berada di peringkat yang asas.
LPFM perlu membuka diri kepada hal-hal begini. Tidak perlu terlalu bimbang tiga puisi anak muda ini akan memberikan kesan buruk yang luar biasa. LPFM perlu mengakui hakikat, bukan semua orang boleh tulis puisi. Kalau semua boleh tulis dan boleh menilai puisi, yang ada bukan puisi tetapi ucapan yang kita dengar siang dan malam.


E-mel: kuseman@pc.jaring.my

Saturday, September 09, 2000

Istana Budaya "persekitarannya" berpenyakit


DALAM bidang perubatan manusia dikatakan tidak sihat apabila ada sistem yang menjalankan tubuh badannya tidak berfungsi dengan normal. Ia dikatakan berpenyakit dan dirinya dikatakan sakit; sama ada sakit fizikal atau mental.
Bagaimana menentukan seseorang itu berpenyakit?
Seseorang itu dikatakan berpenyakit setelah didiagnosa, didapati sistem dalam tubuhnya tidak berfungsi sebagaimana yang ditetapkan oleh tabii. Ini berlaku disebabkan oleh gangguan luar, seperti jangkitan atau persekitaran tidak kondusif yang menyebabkan jiwanya tertekan.
Sakit seharusnya diberikan rawatan. Jika dibiarkan tanpa rawatan, akibatnya mungkin mati!
Pastinya ada yang bertanya "Eh, apa kena mengenanya antara bidang perubatan dengan Istana Budaya, sihat ke dia ni''. Ini penting untuk menetapkan pemikiran sebelum terus membincangkannya.
''Patutkah aku menulisnya?'' Hati saya meronta-ronta inginkan kepastian. Saya berpendapat, saya tidak boleh membiarkan gelodak ini berterusan. Jika dibiarkan mungkin menyebabkan jiwa tertekan.
Kaedah dalam mencari penyelesaian ini, saya ambil pendapat rakan-rakan yang tiada kaitan dalam hal ini tetapi mereka pembaca akhbar harian. Saya memilih mereka kerana saya tidak mahu terpengaruh oleh pihak yang bertelagah. Begitulah metodologi saya untuk tulisan ini.
Pada satu tengah hari dalam sebuah bilik rehat, sambil membelek-belek akhbar, ''Patutkah saya tulis hal ini,'' sambil menunjukkan rencana yang berkaitan dengan perkara yang akan dibincangkan.
''Sudah tentu'' kata rakan saya yang agak serius.
''Ini bukan bidang saya''
''Betul...'' rakan sebelah kiri saya menyetujui pendapat saya.
''Jadi bagaimana ya?'' saya berkeras ingin juga menulis.
''Jadi? ha, ha...'' rakan saya yang kurus mentertawakan saya. ''Bukankah kita ada saham di dalamnya?''
Baru saya terfikir dan mengangguk.
Orang kampung, orang bandar, orang besar dan orang kecil apabila disebutkan Istana Budaya persepsi pertama mereka ialah nama itu adalah satu nama yang sungguh gah. Istilah istana ini membawa konotasi tempat yang perlu dihormati ke-rana di situlah ketua pemerintah tinggal dan sewajarnya sekelian rakyat berbangga dan bersedia mempertahankannya.
Namun, sangat malang pula bagi Istana Budaya itu. Kerana sejak tertubuhnya, ia telah di selubungi dengan warna-warni percakapan.
Pembaca akhbar pasti dapat menghidu percakapan berlaku di antara pihak penguasa Istana Budaya dengan penggiat teater.
Ada yang mempertahankan Istana Budaya dan merayu supaya tidak dipersalahkan Istana Budaya. Ada yang mengatakan Istana Budaya telah menjalankan tanggungjawabnya mengikut per-aturan. Ada yang menyalahkan bahawa terdapat puak tertentu tidak sukakan pentadbir Istana Budaya.
Di sebelah pihak pula menyalahkan Istana Budaya kerana tidak memilih naskhah yang baik untuk dipentaskan. Ada pula yang mengatakan individu tertentu sahaja yang dibenarkan berkreativiti di situ. Ada pula yang menyatakan naskhah yang dipentaskan di Istana Budaya adalah gagal cuma lulus dari segi teknologi sahaja.
Saya kira cukuplah dengan beberapa contoh ini. Jika diteruskan pasti memeningkan kepala.
Memang ramai penulis memperkatakan tentang hal ini. Jika rajin membuat penelitian boleh memberikan sedikit senario yang berlaku di belakangnya. Saya tidak mahu melihat sebagai polemik. Apa yang ingin saya bincangkan di sini hanyalah kaedah penyelesaiannya.
Dari awal lagi, saya mengambil latar bagaimana kerjaya perubatan merawat pesakit. Mungkin dari analogi profesion perubatan itu boleh dijadikan panduan bagi menyelesaikan masalah Istana Budaya.
Tujuan saya bukan untuk memperkecilkan kemampuan mentadbir, mengurus atau menyelesaikan kemelut Istana Budaya. Kemusykilannya kalaulah mereka berkemampuan dan ada kaedah untuk menyelesaikan kemelut tersebut; mengapa polemik itu masih lagi berterusan dan semakin panas? Ini memalukan. Sungguh malu kerana orang kampung pun sudah tahu!
Saya ingin simpulkan bahawa sebenarnya 'persekitaran' Istana Budaya adalah berpenyakit dan pastinya mereka sakit. Persekitaran yang dimaksudkan di sini ialah pentadbir Istana Budaya dan mereka yang "kesian dengannya'' dan di satu pihak pula ialah penggiat teater.
Saya katakan berpenyakit kerana sistem dalam perjalanan Istana Budaya sudah tidak berfungsi dengan normal. Jika sistem perjalanannya berfungsi dengan normal pasti percakaran tidak berlaku.
Jangan ditanya siapa yang berpenyakit atau sakit, sama ada pentadbir Istana Budaya dan mereka yang "kesian dengannya'' atau di satu pihak lain, penggiat teater.
Juga jangan ditanya sakit apa, sakit fizikal atau sakit mental ke? Membincangkan perkara itu bukanlah tujuan tulisan ini, mungkin boleh dibincangkan dalam tulisan lain.
Jika Istana Budaya berpenyakit maka sewajarnya ia perlu diubati. Jika tidak ia akan menjadi tokak dan lama kelamaannya akan bernanah. Akibatnya menghamburkan bau busuk ke serata pelosok. Atau, akhirnya ia akan mati. Setiap penyakit itu pasti ada ubatnya, kecualilah kalau terkena jangkitan virus HIV!
Bagaimanapun saya percaya bahawa penyakit Istana Budaya ini bukan akibat dari jangkitan virus HIV.
Kesimpulannya penyakit menyerang dalam persekitaran Istana Budaya ada ubatnya. Sama ada pengubatannya menggunakan ubat yang pahit atau payau atau menggunakan kaedah pembedahan. Natijahnya pengubatannya mestilah dilakukan.
Sebelum memberikan rawatan, satu langkah penting yang dilakukan oleh doktor ialah membuat penyiasatan. Ini dilakukan dengan cara melakukan ujian darah waima najis pun dan ujian-ujian lain ECG, Scan, x-ray dan sebagainya. Selepas diteliti semua kemungkinan dari ujian tersebut maka barulah dapat dikenal pasti sistem yang tidak berfungsi dengan normal.
Setelah dikenal pasti jenis penyakitnya barulah rawatan yang bersesuaian diberikan.
Saya kira sepatutnya penyakit Istana Budaya itu perlu disembuhkan sebagaimana kaedah yang saya jelaskan di atas.
Pertama, cari punca masalah. Selepas dikenal pasti masalahnya, uraikan simpulan masalah itu. Begitu mudah bukan! Tetapi mengapa tidak dilakukan untuk penyakit yang dihidapi oleh Istana Bu-daya itu.
Kaedah asas telah diberikan, maka perinciannya perlulah difikirkan bersama. Jangan malukan Istana Budaya, kesian dia. kalau dia bernyawa pasti mukanya akan merah padam kerana malu akibat tiada upaya penggerak dan penggiatnya menyelesaikan masalah sendiri dan bergantung kepada orang lain untuk mengajarnya. Alahai!



Oleh: DR. SHAROL LAIL SUJAK

Monday, September 04, 2000

Teater 23250 tiup semangat perjuangan


BERSESUAIAN dengan musim memperingati tarikh kemerdekaan negara, teater Muzika 23250 Tragedi Bukit Kepong turut meniupkan semangat perjuangan.
Ia memberi gambaran bagaimana anggota polis menggadai nyawa dan tidak mahu menyerah kalah apabila Balai Polis Bukit Kepong di daerah Muar, Johor, diserang segerombolan pengganas komunis pada tahun 1950.
Selain anggota polis, semangat tinggi isteri anggota polis dan orang kampung turut ditonjolkan dalam teater yang dipentaskan di Istana Budaya itu.
Teater yang menampilkan Zul Yahya dan Maizurah Hamzah sebagai pelakon utama itu berakhir pementasannya, malam tadi, dengan mendapat sambutan hangat penonton.
Malah, persembahan terakhir teater itu dikhususkan kepada pelajar sekolah untuk menyemai semangat cintakan perjuangan kepada mereka.
Sesuai dengan konsepnya teater muzika, lagu-lagu menarik digubah oleh Rosli Selasih yang mampu menaikkan semangat penonton.
Watak utama yang ditampilkan dalam teater arahan Lokman Ghani itu ialah Mata-Mata Othman Yusof dan isterinya Halimah.
Pasangan itu bakal menimang cahaya mata sulung dan Othman meninggalkan isterinya di kampung kerana tanggungjawab yang harus ditunaikan di Balai Polis Bukit Kepong.
Halimah yang ditinggalkan di kampung menjadi tidak siuman selepas melahirkan anak mereka kerana terkejut dengan berita yang membabitkan suaminya.
Kerana menyangka suaminya meninggal dunia, wanita itu menjadi tidak siuman, malah tidak mengenali suaminya yang kembali selepas peristiwa itu.
Suasana sayu dan sedih ditonjolkan apabila Othman bertemu dengan isterinya di hospital jiwa.
Walaupun tidak siuman, wanita itu masih mengatakan suaminya seorang pejuang negara yang berani.
Kesan bunyi untuk menggambarkan situasi serangan pengganas komunis itu membuatkan panggung bergema dengan bunyi letupan senapang.
Bunga api turut digunakan untuk menampakkan aksi serangan itu seperti nyata di atas pentas.
Pada satu persembahan, satu-satunya anggota polis terbabit yang masih hidup sehingga hari ini, bekas Mata Mata Yusof Rono, isteri anggota polis, Mariam Ibrahim dan seorang kanak-kanak pada masa itu, Abu turut diberi penghormatan di atas pentas.
Suasana pilu menyelubungi penonton, apabila melihat pejuang yang kelihatan uzur itu naik ke pentas.
Apatah lagi melihat mereka tidak kering air mata apabila menonton persembahan yang tentunya mengimbau peristiwa pahit itu.
Ia menandakan perjuangan mereka turut dirasai oleh masyarakat hari ini.
Turut berlakon dalam teater itu ialah S. Sahlan, Sarimah Arshad, Wan Shades, Dilla Alie, Mior Ahmad Zaudi, Den Wahab, Kazar dan puluhan pelakon pembantu.
Datuk Seri Setia J.J. Raj Jr yang bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Pagoh pada masa kejadian itu turut muncul sebagai pelakon undangan khas teater itu melakonkan wataknya sendiri.
Teater itu dibawakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Oleh: ROSLI MANAH


Opera Ayu Cendana papar jati diri


Teater Opera Ayu Cendana yang akan dipentaskan di Panggung Eksperimen Kompleks Budaya Negara (KBN) selama 10 hari mulai malam ini lebih menjurus kepada persoalan jati diri.
Teater arahan Fauziah Nawi ini pernah dipentaskan di Ipoh, Perak pada Oktober tahun lalu.
Sebagai seorang aktivis teater, Fauziah menjadikan watak Julia dan Tengku Asyik sebagai simbol perjuangan yang harus diteladani oleh masyarakat terutamanya orang Melayu yang masih mencari arah demi untuk memajukan diri.
Teater Opera Ayu Cendana berkisar tentang sekumpulan pemain bangsawan ketika zaman penjajahan Inggeris. Kumpulan bangsawan Bintang Timur cuba menerapkan unsur-unsur moden dalam persembahan untuk menarik perhatian penonton.
Bagaimanapun idea yang dikemukakan oleh Ramli itu tidak dipersetujui oleh Julia yang dikenali sebagai Sri Panggung dalam kumpulan tersebut. Julia berpendapat bangsawan Melayu mempunyai nilai tersendiri dan tidak perlu dinodai oleh budaya Barat.
Akhirnya, Julia membawa diri dan bekerja sebagai tukang sapu di sebuah panggung. Sementara itu, Tengku Asyik yang juga cenderung pada teater moden.
Usaha Tengku Asyik yang ingin memodenkan teater tradisi bangsawan itu mendapat tentangan daripada kawan-kawan. Akhirnya, dia mulai sedar dan kembali kepada akar umbinya.
Sekali pun sekarang ini ada kecenderungan membawa artis-artis popular ke pentas untuk memancing penonton tetapi Fauziah tetap percaya kepada bakat seseorang pelakon.
Kerana itu dalam teater ini tidak ada bintang popular sebaliknya dilakonkan oleh pelakon teater yang banyak berkorban masa dan tenaga sebelum ini.
Malah, kata Fauziah, dia yakin dan percaya setiap pelakon dapat membentuk watak mereka dengan baik setelah menjalani latihan yang begitu lama.
Antara pelakon yang menjayakan teater Opera Ayu Cendana ialah Suhaila Sulaiman, Rezza Zainal Abidin serta Faizal Hussein yang berlakon sebagai Ramli.
Tiket-tiket berharga RM20 boleh dibeli di Panggung Eksperimen Kompleks Budaya Negara atau menerusi talian 03-4535393.

Saturday, September 02, 2000

Makna Kemerdekaan ~~ dalam Kepulangan Perahu Layarnya.


Saat-saat yang cukup nostalgia ini turut dirakamkan oleh para penyair di dalam puisi-puisi mereka. Salah seorang penyair yang mengungkapkan peristiwa bersejarah ini ialah Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.
Penyataan penyair ini tentang detik-detik tersebut terlihat dalam puisinya Kepulangan Perahu Layarnya yang tersiar dalam majalah Mastika pada September 1956.
...perahu layar berlabuh mesra dan keluarlah kekasih hatinya
Dinda melati mengapakah di sini menunggu kekanda seorang diri?
Antara sendu dan menara rindunya, gadis manis lembut bersuara:
Menunggumu, kanda kepulanganmu terlalu lambat, mengapa?
Di laut ombak tertalu buas, topan dan hujan terlalu ganas
Mereka menguji kewajaan kanda, tetapi kanda tenang menghadapinya dan dalam ombak, topan dan hujan, kanda dengar satu pekikan:
'MERDEKA' bergegar-gegaran
Kanda pulang untuk kemerdekaan...
Puisi ini sekiranya dibaca seimbas lalu dengan mengambil maksud di permukaan sahaja akan terjelmalah ke dalam minda kita mengenai penantian seorang gadis menunggu kepulangan kekasihnya yang telah lama berlayar.
Setiap kali perahu-perahu layar berlabuh di teluk, gadis manis ini mengharapkan kekasihnya turut pulang mengubat rindunya. Tetapi harapannya hanya tinggal harapan.
Teruna yang ditunggunya tetap belum pulang dan kesedihannya berpanjangan. Kegelisahan juga menghantui kerana bimbang kekasihnya bertemu gadis lain sehingga enggan pulang.
Kebimbangannya luput tatkala perahu layar berlabuh dan kekasih yang ditunggu akhirnya keluar menemuinya. Gadis gembira tidak terkata melihat orang yang telah lama meninggalkanya kembali juga.
Lantas gadis itu terus tenggelam di dalam pelukan sayu kekasihnya seperti tidak mahu dilepaskan lagi walaupun sesaat.
Demikianlah tanggapan yang dapat dibuat terhadap puisi tersebut apabila melihat dan membacanya secara kasar di bahagian permukaan. Tanggapan ini menjadi kian nyata jika dilihat kepada imej-imej yang dipilih serta diterapkan oleh A. Samad.
Imej seperti gadis manis yang kemanjaan, teruna, perahu layar dan pantai misalnya terasa cukup sesuai dengan gambaran peristiwa tersebut.
Namun begitu, pembaca dan penghayat puisi yang peka tentunya dapat menangkap maksud yang terpendam di dasar puisi tersebut. Sesungguhnya, apa yang ada di dasar puisi ini ternyata amat jauh beza maksudnya.
Pembacaan secara close reading berupa menemukan maksud sebenar yang hendak dikemukakan oleh A. Samad di dalam puisinya itu. Melalui puisi ini, penyair mengutarakan persoalan tentang keinginan untuk menggapai kemerdekaan selepas sekian lama terbelenggu oleh penjajahan.
Tajuk puisi itu sendiri secara tersirat menjelaskan maksud yang terbuku di hati penyairnya. Tanah air yang sudah begitu lama berada di dalam gengaman penjajah akhirnya dikembalikan juga kepada pemiliknya.
Melalui baris demi baris, penyair mengungkapkan penyataan diri, dengan pengucapan perasaannya berhubung keinginan untuk melihat bumi tercinta yang sekian lama terjajah ini dikembalikan semula kepada penduduk pribuminya.
Detik-detik yang dinantikan itu diyakini penyair semakin hampir dan pasti berada dalam dakapan penduduk Tanah Melayu. Frasa dan gadis manis yang kemanjaan menunggukan kepulangan/kekasih sayang memperlihatkan penantian penduduk negara ini untuk memdakap kemerdekaan yang telah dijanjikan penjajah.
Detik itu, pastinya suatu saat yang sukar untuk dilupakan sehingga 'dimatanya kemarau cahaya, di hatinya kemarau cinta'. Suasana ini dilukiskan oleh penyair begini: "... dan gadis manis yang menunggu hatinya terlalu terharu/ Ada hendaknya terunaku pulang dari pelayaran itu!''
Kata orang, penantian itu satu penyiksaan tetapi kesudahannya akan terasa manis. Begitulah gambaran yang dilakarkan di dalam puisi tersebut.
Dari jauh terpandang olehnya perahu layar menuju kearahnya
Berlarilah ke lidah pantai melonjak ria sepenuh hati:
"kanda engkaukah yang pulang? Engkaukah kandaku sayang,
Kenapa begitu lama? Terlalu kemaraulah hatiku sudah!
Demikianlah gambaran penyair akan penantian detik-detik indah itu sehingga harapan terlalu menggunung untuk mengemengecapi kemerdekaan akhirnya kesampaian juga.

Lantai T.Pinkie kuat kerana lakonan



Pendukung wataknya seperti Juhara Ayob (T. Pinkie), Shahriza Mahmud (Nyai Sunarti Renko), Mazlan Tahir (Muhiri Tua), Zuhairi Ibrahim (Muhairi Muda), Abu Bakar Omar (Jongkidin Jaroi) dan Norzizi Zulkifli memperlihatkan kemantapan lakonan yang tidak dipertikaikan.
Pendukung lain seperti Vanidah Imran (Musalmah Jiing), Jasmin Hamid (Siti Udaya), Azizi Mohd. Said, (Loiran Sindu), Yussak Kassan (S. Diman) dan Bahadun Salleh (Gunjoloh) tidak terkecuali dalam hal ini.
Sepuluh lagi pelakon pembantu juga memperlihatkan kemampuan naskhah karya Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said arahan Rosminah Mohd. Tahir ini untuk menjadi antara karya yang masih ulung sejak ditulis pada 1996.
Pementasan pada 24 hingga 27 Ogos lalu di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuktikan skil lakonan pendukung watak kali ini lebih mantap. Kemantapan ini didorongi oleh pengupasan naskhah yang terperinci.
A. Samad sendiri mengakui akan hal ini dan memuji kerja keras semua pelakon terutama Juhara dan Shahriza yang nyata mempunyai tugas berat. Antara tugas berat itu adalah perbandingan yang dilakukan dengan pelakon asal.
Mereka nampaknya berjaya mengharungi halangan itu apabila membawakan watak masing-masing dengan cemerlang.
Watak T. Pinkie dan Nyai Sunarti adalah antara watak yang paling 'digeruni' oleh pelakon wanita di Malaysia. Buktinya, ramai yang menolak apabila ditawarkan watak tersebut dengan alasan takut dan tidak ada upaya.
Cabaran yang disahut oleh Juhara dan Shahriza akhirnya berbaloi apabila mereka berjaya membuktikan mereka antara yang terbaik di pentas teater. Buktinya, setiap kali selepas bermonolog mereka mendapat tepukan daripada penonton.
Jika ada yang ingin membandingkan lakonan Juhara dengan pelakon asal teater ini (lakonan Tiara Jacquelina), Juhara mengatasi Tiara pada ranking yang cukup tinggi. Nyata, pemilihan yang dibuat terhadap pelakon lulusan Diploma Teater Akademi Seni Kebangsaan (ASK) ini tepat.
Shahriza yang hanya mempunyai masa selama dua minggu menggantikan Raja Azura sebagai Nyai Sunarti merebut peluang itu dengan hati terbuka. Pengalaman sebagai anak teater menjadikan Shahriza kembali dikenali sehingga ada penonton yang tertanya siapa sebenarnya pelakon ini.
Gandingan Norzizi dan Abu Bakar kelihatan amat serasi. Sebagai Puteh Su, Norzizi membawakan watak tersebut dengan berkesan terutama ketika berkias memujuk Jongkidin supaya mengambilnya sebagai isteri.
Abu Bakar yang sebelum ini bimbang terhadap watak Jongkidin Jaroi, pelaut tua yang disenangi oleh Puteh Su juga menampilkan skil lakonan yang cukup hebat.
Sekali lagi membandingkan watak tersebut dengan pendukung asal iaitu Ahmad Yatim dan Marlia Musa, pasangan ini memiliki idea dan skil yang jauh lebih hebat. Penonton akan terasa 'dihiburkan' dengan usikan mereka setiap kali muncul di pentas.
Vanidah, Jasmin, Yussak, Azizi dan Bahadun adalah gandingan baru dalam pementasan terbaru ini. Vanidah dan Jasmin nampaknya tetap menyerlah biarpun memegang peranan sebagai pelakon pembantu. Vanidah sudah 'lari' daripada imej klisenya di pentas, begitu juga Jasmin. Mereka boleh bekerjasama di pentas dengan baik.
Jika membandingkan Zuhairi pula dengan pelakon asalnya, Hani Mohsin, Zuhairi mempelbagaikan aksi dan intonasi. Dia yakin dengan apa yang dilakukannya. Hasilnya, babak romantik bersama T. Pinkie, babak lucu bersama teman di Bunga Joget Moden, babak berjurai bersama Jongkidin dan babak sedih ketika dipisahkan dengan T. Pinkie menyerlahkan bakat lakonannya yang terpendam selama ini.
Mazlan pula masih mengekalkan 'identiti' sebagai Muhairi Tua sejak dua pementasan sebelum ini. Dia mengekalkan skil lakonan yang baik; gembira, sedih, pilu dan tertanya-tanya. Watak ini juga amat ditakuti oleh kebanyakan pelakon lelaki Malaysia.
Teater ini diselenggarakan oleh Badan Teater dan Kesenian Wilayah (Batek) dengan kerjasama Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM), DBKL, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan TV3. Ia ditaja oleh Kumpulan Kirawang Sdn. Berhad.