Sunday, September 10, 2000

Akibat baca puisi cara literal


Puisi sekali lagi terseret dalam kancah debat yang paling asas sifatnya. Sewajarnya debat atau kontroversi yang melanda puisi bukan lagi pada perkara titik bengit yang tidak menguntungkan sesiapa. Terbaru sekali segmen puisi dalam konsert M. Nasir di ntv7 telah dipotong kerana dibimbangi akan mencetuskan provokasi dan kontroversi.
Difahamkan arahan itu dibuat oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) yang sebelum ini kerjanya menapis filem. Memotong segmen puisi Pyanhabib, Sani Sudin dan Marsli NO bukanlah isunya. Sebaliknya tindakan itu memperlihatkan isu yang lebih besar iaitu pengawal-pengawal moral kita yang masih `membaca' karya seni secara literal. Inilah masalah yang sebenarnya dan amat mendukacitakan apabila puisi masih tidak boleh dibezakan dengan teks ucapan atau ceramah.
Puisi bukan teks ucapan yang seratus atau seribu orang membaca akan memahami benda yang sama. Tetapi karya seperti puisi bergantung kepada kemampuan individu. Kerana itu kalau ada menganggap sesebuah karya boleh memberikan kesan negatif, itu tafsiran peribadi. Barangkali pihak yang lain melihat dari perspektif yang lain.
Pyanhabib bukan kerjanya menulis puisi untuk mencari makan. Sama juga dengan Sani Sudin dan Marsli. Mereka tidak rugi apa-apa kalau puisi dilarang disiarkan di TV. Malah ntv7 juga tidak rugi. Cuma yang akan mengalami kerugian ialah tradisi kesusasteraan yang diremehkan sedemikian rupa.
Apabila puisi Politik karya A. Samad Said dan Bicara Dengan Teman Lama karya A. Samad Ismail disiarkan di RTM, ini membayangkan satu perkembangan bahawa puisi sudah tidak lagi `dibaca' secara literal. Tetapi apabila segmen puisi tentang kemerdekaan dibimbangi kesan buruknya, maka jawapan yang tepat ialah puisi itu dibaca seumpama sebuah teks ucapan.
Tragedi yang menimpa puisi Sani, Pyanhabib dan Marsli sebenarnya bukanlah perkara baru. Ini sebahagian daripada petanda birokrat kita yang kabur tetapi masih mengakui celik dan pakar tentang puisi.
Sekarang ini fobia sudah berjangkit kepada banyak orang. Apa lagi yang diberi tugas untuk menangani hal-hal begini. Fobia membuatkan hilang kewarasan dan hasilnya tiga buah puisi yang telah ratusan kali dibacakan tidak boleh disiarkan di TV.
Sebelum ini puisi Doa karya Chairil Anwar yang dinyanyikan oleh Zubir Ali pernah mencetuskan kontroversi. Puisi yang dilagukan ini kontroversi kerana hal yang remeh. Ia cuma dalam puisi ada menyebut, ``Tuhan kuketuk pintumu.'' Ada pihak membaca puisi ini secara literal lalu negatiflah puisi Chairil Anwar.
Tulisan ini bukanlah menuntut kebebasan yang tiada batas. Tetapi berilah sedikit ruang untuk karya-karya seni berkembang dalam persekitaran yang sihat. Kalau namanya karya seni, hujah dan makna tidak akan disampaikan dalam ungkapan seharian. Dalam bahasa seharian, lembu boleh berjalan tetapi dalam puisi lembu boleh terbang. Inilah puisi. Sebenarnya kita menganggap pihak yang dipertanggungjawab menapis adalah orang yang memahami karya seni yang berada di tangan mereka. Bukan mudah untuk menghukum sesebuah karya itu menyimpang kalau kemampuan menguasai medium itu berada di peringkat yang asas.
LPFM perlu membuka diri kepada hal-hal begini. Tidak perlu terlalu bimbang tiga puisi anak muda ini akan memberikan kesan buruk yang luar biasa. LPFM perlu mengakui hakikat, bukan semua orang boleh tulis puisi. Kalau semua boleh tulis dan boleh menilai puisi, yang ada bukan puisi tetapi ucapan yang kita dengar siang dan malam.


E-mel: kuseman@pc.jaring.my

0 Comments:

Post a Comment

<< Home