Saturday, September 09, 2000

Istana Budaya "persekitarannya" berpenyakit


DALAM bidang perubatan manusia dikatakan tidak sihat apabila ada sistem yang menjalankan tubuh badannya tidak berfungsi dengan normal. Ia dikatakan berpenyakit dan dirinya dikatakan sakit; sama ada sakit fizikal atau mental.
Bagaimana menentukan seseorang itu berpenyakit?
Seseorang itu dikatakan berpenyakit setelah didiagnosa, didapati sistem dalam tubuhnya tidak berfungsi sebagaimana yang ditetapkan oleh tabii. Ini berlaku disebabkan oleh gangguan luar, seperti jangkitan atau persekitaran tidak kondusif yang menyebabkan jiwanya tertekan.
Sakit seharusnya diberikan rawatan. Jika dibiarkan tanpa rawatan, akibatnya mungkin mati!
Pastinya ada yang bertanya "Eh, apa kena mengenanya antara bidang perubatan dengan Istana Budaya, sihat ke dia ni''. Ini penting untuk menetapkan pemikiran sebelum terus membincangkannya.
''Patutkah aku menulisnya?'' Hati saya meronta-ronta inginkan kepastian. Saya berpendapat, saya tidak boleh membiarkan gelodak ini berterusan. Jika dibiarkan mungkin menyebabkan jiwa tertekan.
Kaedah dalam mencari penyelesaian ini, saya ambil pendapat rakan-rakan yang tiada kaitan dalam hal ini tetapi mereka pembaca akhbar harian. Saya memilih mereka kerana saya tidak mahu terpengaruh oleh pihak yang bertelagah. Begitulah metodologi saya untuk tulisan ini.
Pada satu tengah hari dalam sebuah bilik rehat, sambil membelek-belek akhbar, ''Patutkah saya tulis hal ini,'' sambil menunjukkan rencana yang berkaitan dengan perkara yang akan dibincangkan.
''Sudah tentu'' kata rakan saya yang agak serius.
''Ini bukan bidang saya''
''Betul...'' rakan sebelah kiri saya menyetujui pendapat saya.
''Jadi bagaimana ya?'' saya berkeras ingin juga menulis.
''Jadi? ha, ha...'' rakan saya yang kurus mentertawakan saya. ''Bukankah kita ada saham di dalamnya?''
Baru saya terfikir dan mengangguk.
Orang kampung, orang bandar, orang besar dan orang kecil apabila disebutkan Istana Budaya persepsi pertama mereka ialah nama itu adalah satu nama yang sungguh gah. Istilah istana ini membawa konotasi tempat yang perlu dihormati ke-rana di situlah ketua pemerintah tinggal dan sewajarnya sekelian rakyat berbangga dan bersedia mempertahankannya.
Namun, sangat malang pula bagi Istana Budaya itu. Kerana sejak tertubuhnya, ia telah di selubungi dengan warna-warni percakapan.
Pembaca akhbar pasti dapat menghidu percakapan berlaku di antara pihak penguasa Istana Budaya dengan penggiat teater.
Ada yang mempertahankan Istana Budaya dan merayu supaya tidak dipersalahkan Istana Budaya. Ada yang mengatakan Istana Budaya telah menjalankan tanggungjawabnya mengikut per-aturan. Ada yang menyalahkan bahawa terdapat puak tertentu tidak sukakan pentadbir Istana Budaya.
Di sebelah pihak pula menyalahkan Istana Budaya kerana tidak memilih naskhah yang baik untuk dipentaskan. Ada pula yang mengatakan individu tertentu sahaja yang dibenarkan berkreativiti di situ. Ada pula yang menyatakan naskhah yang dipentaskan di Istana Budaya adalah gagal cuma lulus dari segi teknologi sahaja.
Saya kira cukuplah dengan beberapa contoh ini. Jika diteruskan pasti memeningkan kepala.
Memang ramai penulis memperkatakan tentang hal ini. Jika rajin membuat penelitian boleh memberikan sedikit senario yang berlaku di belakangnya. Saya tidak mahu melihat sebagai polemik. Apa yang ingin saya bincangkan di sini hanyalah kaedah penyelesaiannya.
Dari awal lagi, saya mengambil latar bagaimana kerjaya perubatan merawat pesakit. Mungkin dari analogi profesion perubatan itu boleh dijadikan panduan bagi menyelesaikan masalah Istana Budaya.
Tujuan saya bukan untuk memperkecilkan kemampuan mentadbir, mengurus atau menyelesaikan kemelut Istana Budaya. Kemusykilannya kalaulah mereka berkemampuan dan ada kaedah untuk menyelesaikan kemelut tersebut; mengapa polemik itu masih lagi berterusan dan semakin panas? Ini memalukan. Sungguh malu kerana orang kampung pun sudah tahu!
Saya ingin simpulkan bahawa sebenarnya 'persekitaran' Istana Budaya adalah berpenyakit dan pastinya mereka sakit. Persekitaran yang dimaksudkan di sini ialah pentadbir Istana Budaya dan mereka yang "kesian dengannya'' dan di satu pihak pula ialah penggiat teater.
Saya katakan berpenyakit kerana sistem dalam perjalanan Istana Budaya sudah tidak berfungsi dengan normal. Jika sistem perjalanannya berfungsi dengan normal pasti percakaran tidak berlaku.
Jangan ditanya siapa yang berpenyakit atau sakit, sama ada pentadbir Istana Budaya dan mereka yang "kesian dengannya'' atau di satu pihak lain, penggiat teater.
Juga jangan ditanya sakit apa, sakit fizikal atau sakit mental ke? Membincangkan perkara itu bukanlah tujuan tulisan ini, mungkin boleh dibincangkan dalam tulisan lain.
Jika Istana Budaya berpenyakit maka sewajarnya ia perlu diubati. Jika tidak ia akan menjadi tokak dan lama kelamaannya akan bernanah. Akibatnya menghamburkan bau busuk ke serata pelosok. Atau, akhirnya ia akan mati. Setiap penyakit itu pasti ada ubatnya, kecualilah kalau terkena jangkitan virus HIV!
Bagaimanapun saya percaya bahawa penyakit Istana Budaya ini bukan akibat dari jangkitan virus HIV.
Kesimpulannya penyakit menyerang dalam persekitaran Istana Budaya ada ubatnya. Sama ada pengubatannya menggunakan ubat yang pahit atau payau atau menggunakan kaedah pembedahan. Natijahnya pengubatannya mestilah dilakukan.
Sebelum memberikan rawatan, satu langkah penting yang dilakukan oleh doktor ialah membuat penyiasatan. Ini dilakukan dengan cara melakukan ujian darah waima najis pun dan ujian-ujian lain ECG, Scan, x-ray dan sebagainya. Selepas diteliti semua kemungkinan dari ujian tersebut maka barulah dapat dikenal pasti sistem yang tidak berfungsi dengan normal.
Setelah dikenal pasti jenis penyakitnya barulah rawatan yang bersesuaian diberikan.
Saya kira sepatutnya penyakit Istana Budaya itu perlu disembuhkan sebagaimana kaedah yang saya jelaskan di atas.
Pertama, cari punca masalah. Selepas dikenal pasti masalahnya, uraikan simpulan masalah itu. Begitu mudah bukan! Tetapi mengapa tidak dilakukan untuk penyakit yang dihidapi oleh Istana Bu-daya itu.
Kaedah asas telah diberikan, maka perinciannya perlulah difikirkan bersama. Jangan malukan Istana Budaya, kesian dia. kalau dia bernyawa pasti mukanya akan merah padam kerana malu akibat tiada upaya penggerak dan penggiatnya menyelesaikan masalah sendiri dan bergantung kepada orang lain untuk mengajarnya. Alahai!



Oleh: DR. SHAROL LAIL SUJAK

0 Comments:

Post a Comment

<< Home