Wednesday, September 13, 2000

Sastera dan manifestasi kegelisahan




karya sastera terbaik dihasilkan oleh para sasterawan yang tertekan jiwa dan nuraninya. Tekanan yang keras menjadikan karya sastera semakin tajam untuk dikunyah oleh rakyat.
Di negara kita, terbukti antara karya-karya terbaik dihasilkan oleh sasterawan yang dihimpit perang, pergolakan dan kemiskinan. Nada karya mereka sedikit kasar dan keras. Tetapi mereka membawa rakyat bangun melawan suratan dan persekitaran biar dari arus yang berbeza.
Kemiskinan juga telah melahirkan Ranjau Sepanjang Jalan oleh Shahnon Ahmad. Jeha dan Lahuma benar-benar wujud dan membuktikan kemiskinan akan mengundang malang yang bertimpa-timpa.
Novel Salina karya A. Samad Said lahir dari kesan psikologi yang ditinggalkan selepas perang. Anak Mat Lela Gila karya Pak Sako pula secara sinikal dan berbaur penentangan serta kebencian kepada penjajah.
Kalau ditelusuri lagi, maka pasti kita akan menemui bahawa kelahiran puisi Duri dan Api umpamanya disebabkan tekanan menghimpit Usman Awang tahun 60-an. Sementara puisi satira Pak Uteh pula Usman bercerita tentang jurang antara rakyat dengan pemimpin mereka yang ''bermobil'' besar.
Pada dekad 70-an, kemunculan penggiat sastera seperti Dinsman, Nordin Hassan, Hatta Azad Khan dan banyak lagi adalah manifestasi kemarahan dan protes. Nada karya-karya mereka selari dengan kebangkitan rakyat dan gelembong-gelembong wap panas di kampus-kampus.
Menifestasi kemarahan dan kegelisahan misalnya disuarakan dalam Jangan Bunuh Rama-Rama (1971) karya Nordin Hassan. Disebabkan parut 13 Mei masih merah, maka sebagai alternatifsastera digunakan untuk menyuarakan tentang peristiwa itu.
Bahasa dan sastera perlu diletakkan secara beiringan dalam keperluan hidup masyarakat. Tetapi setelah zaman berubah, rakyat menikmati ''keselesaan'' hidup, kepentingan bahasa dan sastera sudah tidak relevan lagi.
Ketika semua bercakap tentang keperluan material, kesukaran mencari karya yang tajam, untuk apa lagi bersusah payah memikirkan perihal sastera? Bukankah telah terbukti manusia mampu hidup malah menikmati kemewahan yang luar biasa sekali pun tanpa mendaulatkan sastera dan bahasa?
Sekarang kita merayakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN). Acara kesusasteraan dan bahasa selama sebulan ini dimulakan tahun lalu antara matlamatnya ialah untuk mengukuhkan jati diri dan citra Malaysia melalui bahasa dan sastera.
Tema BBSN tahun ini ialah Bahasa dan Sastera Citra Negara. Sama ada tema mahupun matlamat diadakan BBSN ini memang enak didengar. Tetapi realitinya bahasa dan sastera tidak seindah yang terungkap pada tema BBSN kali ini. Kedua-duanya masih jauh dari masyarakat, tidak dibudayakan dan acaranya kecil-kecilan.
Secara jujur berapa orang yang meletakkan sastera dan budaya sebagai keperluan dalam jiwa untuk menjadi sebuah bangsa yang merdeka? Sastera menjadi kering kontang malah lebih teruk dari kegawatan ekonomi yang melanda beberapa tahun lalu.
Sastera dan bahasa telah lama dilanda kegawatan. Usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan BBSN memang baik malah wajar dipuji. Tetapi dengan acara begini sahaja tidak boleh diharapkan sepenuhnya untuk memberi martabat baru kepada sastera dan bahasa.
Sastera dan bahasa perlu melalui proses yang panjang untuk membesar dan menjadi umpama aur dan tebing dalam kehidupan. Antaranya sanggup melihat kepentingan sastera dan bahasa di luar ruang litup material semata-mata. Kerana itu mungkin ada benarnya sastera dan bahasa hanya diperlukan apabila manusia berada dalam tekanan. Lalu sastera tumbuh dan menjana pemikiran rakyat sekali gus memancarkan jati diri ketika manusia berhempas pulas membebaskan diri dari tekanan demi tekanan.
Ini barangkali ada signifikan dengan Teratak Zaaba yang mengambil masa empat tahun untuk disiapkan. Sebagai maklumat tambahan, jangkamasa ini telah menyiapkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) antara yang termoden di Asia.
Kita tidak boleh terus menyalahkan pihak yang mengusulkan pembinaan teratak untuk mengenang tokoh dan pejuang bahasa ini. Semua yang berlaku adalah cermin kepada kedudukan sastera dan bahasa Melayu dalam masyarakat.
Sempena BBSN, ada baiknya kalau dibaca dan dihayati semula puisi Keranda 152 karya Usman Awang. Setidak-tidaknya BBSN cuba berusaha mengubati kelukaan Usman dalam Keranda 152.


E-mel: kuseman@pc.jaring.my

0 Comments:

Post a Comment

<< Home