Monday, September 11, 2000

Sidang media ~~'panas' kerana Istana Budaya


Ketua Setiausaha Kementerian Kesenian, Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Tengku Alauddin Tengku Abdul Majid menggunakan pentas sidang media teater itu untuk meluahkan kekecewaannya kepada pihak media.
Sidang media teater berkenaan yang diadakan di Istana Budaya, pada petang Jumaat lalu, dan terlewat lebih dua jam itu, menjadi 'panas' apabila Tengku Alauddin mempertikaikan peranan wartawan yang dianggap lebih banyak menulis mengenai keburukan Istana Budaya.
Beliau mempersoalkan kredibiliti wartawan yang dianggap mencari makan menerusi cara yang tidak profesional.
"Nampaknya, golongan wartawan seperti ini mencari makan dengan cara mahu membunuh Institusi Melayu sendiri,'' katanya dengan nada emosional.
Pelbagai pihak terutamanya aktivis teater mula melihat perjalanan dan pentadbiran di Istana Budaya yang sudah tidak berfungsi dengan normal sejak kebelakangan ini, apabila mengenakan dasar 'tutup pintu' kepada individu-individu tertentu.
Dasar ini ternyata telah meminggirkan penggiat-penggiat teater yang benar-benar komited dengan hasil karya mereka dan turut membunuh hasrat untuk mengadakan persembahan di tempat yang berprestij itu.
Istana Budaya yang dibina dengan kos RM206 juta itu bakal menyambut ulang tahun pertamanya pada 15 September ini.
Pada sidang media itu juga, Tengku Alauddin mengeluarkan kenyataan pedas dengan berkata 'seolah-olah tanpa Istana Budaya, wartawan tidak boleh cari makan.''
Sebelum itu, beliau turut menarik perhatian dengan berkata, kebanyakan wartawan Melayu malas untuk menonton persembahan teater Inggeris menyebabkan kritikan negatif hanya dilontarkan ke atas teater Melayu semata-mata.
"Cuba kalau mereka ini menonton teater Inggeris sudah tentu banyak lagi keburukan yang akan dilihat,'' jelasnya.
Dengan cara melihat kelemahan teater berbahasa Inggeris, menurut beliau, pihak media dapat melihat kelebihan yang ada di dalam sesebuah pementasan teater Melayu daripada pelbagai aspek.
Penjelasan yang dibuat oleh Tengku Alauddin ini memberikan jawapan bahawa segala kritikan dan pandangan yang diberikan oleh pihak media yang mahu melihat Istana Budaya berfungsi sebaik mungkin tidak diambil dari sudut yang positif.
Sebaliknya, pentadbir di Istana Budaya itu melihat pelbagai saranan dan kritikan tidak lebih dilihat sebagai serangan peribadi dan pandangan yang emosional sifatnya.
Pada sidang media itu juga, pihak wartawan tidak diberi peluang untuk mengemukakan sebarang soalan kepada panel penganjur teater itu.
Sebelum ini, pementasan teater bercorak epik, bangsawan dan patriotisme dipentaskan di Istana Budaya, sebelum beralih kepada pementasan teater berkonsep komedi menerusi Nyiur Gading Puncak Mahligai.
Teater arahan Kalam Hamidi ini bakal menampilkan pelakon Ahmad Idham bergandingan dengan penyanyi yang popular dengan lagu Matahari, Maya.
Turut terbabit di dalam pementasan teater yang akan bermula dari 14 hingga 24 Oktober ialah Razak Ahmad, Kamsah Abdullah, Zaibo, Mubarak Majid, Zakaria Yusof, Wan Maimunah, Ibrahim Akir dan Syukor Yon.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home