Saturday, September 16, 2000

Sindiran ~~ dalam Nyiur Gading Puncak Mahligai



Teater yang kini dipentaskan sehingga 24 September itu menyampai kritikan sosial dan hal ehwal semasa dalam bentuk jenaka.
Nyiur Gading Puncak Mahligai berlatar belakang kisah pemerintahan beraja zaman silam yang disesuaikan dengan isu semasa.
Ia menampilkan Maya, Ahmad Idham, Wan Maimunah, Razak Ahmad, Mubarak Majid, Azizul Khamis dan penampilan istimewa penyanyi veteran Aspalela Abdullah dan pemain gambus Fadzil Ahmad.
Teater itu mengangkat muzik ghazal sebagai muzik latar persembahan. Malah Fadzil Ahmad diberi kepercayaan bertindak selaku pengarah muzik.
Aspalela yang memang terkenal dengan syair turut bersyair yang menceritakan tentang suatu yang akan berlaku dalam babak demi babak.
Teater arahan Kalam Hamidi itu mengisahkan Tengku Mahkota yang tertarik dengan penari ghazal yang dikenali sebagai Puteri Ghazal.
Puteri itu menolak cinta Tengku Mahkota kerana dia telah berkasihan dengan rakan sekampung, Lanang. Penolakan itu membuatkan Tengku Mahkota jatuh sakit.
Kemangkatan sultan membuatkan bondanya menjemput puteri raja seluruh dunia untuk diperkenalkan kepada Tengku Mahkota.
Dalam pemilihan itu puteri raja Singapura, India, Jawa, Arab, Inggeris dan Terengganu memperkenalkan diri masing-masing.
Babak tersebut menampilkan sindiran secara langsung mengenai situasi semasa negeri dan negara tersebut dalam bentuk jenaka.
Puteri raja China dari Singapura misalnya bercerita mengenai negerinya yang maju dari segi perniagaan dan menjadi pusat perdagangan.
Bendahara dan Temenggung yang menguji puteri itu mencelah mengatakan negaranya bergantung hidup pada air sumbangan negeri Johor.
Puteri Raja Jawa pula dalam loghat Jawa Indonesia bercerita mengenai negaranya yang penuh dengan semangat perjuangan, reformasi dan demonstrasi sehingga lupa makan nasi.
Puteri Inggeris pula berbangga dengan negerinya yang boleh mendidik Putera Mahkota dalam pemerintah cara mereka yang menindas sekiranya memilihnya sebagai permaisuri.
Putera Mahkota tetap inginkan Puteri Ghazal dan dia sekali lagi jatuh pengsan apabila mengetahui puteri itu sedang bersiap untuk berkahwin dengan Lanang.
Untuk menyelamatkan suasana, adindanya, Tengku Seri Banun menggantikan tempat Puteri Ghazal dan berkahwin dengan Lanang untuk membolehkan puteri itu dimiliki oleh Putera Mahkota.
Set teater itu dibuat secara sederhana dan tidak menggunakan segala kelengkapan yang dimiliki oleh Istana Budaya itu.
Setnya hanya sebuah rumah penghulu di sebuah kampung, satu kawasan kebun di kampung dan sebuah istana.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home