Monday, September 04, 2000

Teater 23250 tiup semangat perjuangan


BERSESUAIAN dengan musim memperingati tarikh kemerdekaan negara, teater Muzika 23250 Tragedi Bukit Kepong turut meniupkan semangat perjuangan.
Ia memberi gambaran bagaimana anggota polis menggadai nyawa dan tidak mahu menyerah kalah apabila Balai Polis Bukit Kepong di daerah Muar, Johor, diserang segerombolan pengganas komunis pada tahun 1950.
Selain anggota polis, semangat tinggi isteri anggota polis dan orang kampung turut ditonjolkan dalam teater yang dipentaskan di Istana Budaya itu.
Teater yang menampilkan Zul Yahya dan Maizurah Hamzah sebagai pelakon utama itu berakhir pementasannya, malam tadi, dengan mendapat sambutan hangat penonton.
Malah, persembahan terakhir teater itu dikhususkan kepada pelajar sekolah untuk menyemai semangat cintakan perjuangan kepada mereka.
Sesuai dengan konsepnya teater muzika, lagu-lagu menarik digubah oleh Rosli Selasih yang mampu menaikkan semangat penonton.
Watak utama yang ditampilkan dalam teater arahan Lokman Ghani itu ialah Mata-Mata Othman Yusof dan isterinya Halimah.
Pasangan itu bakal menimang cahaya mata sulung dan Othman meninggalkan isterinya di kampung kerana tanggungjawab yang harus ditunaikan di Balai Polis Bukit Kepong.
Halimah yang ditinggalkan di kampung menjadi tidak siuman selepas melahirkan anak mereka kerana terkejut dengan berita yang membabitkan suaminya.
Kerana menyangka suaminya meninggal dunia, wanita itu menjadi tidak siuman, malah tidak mengenali suaminya yang kembali selepas peristiwa itu.
Suasana sayu dan sedih ditonjolkan apabila Othman bertemu dengan isterinya di hospital jiwa.
Walaupun tidak siuman, wanita itu masih mengatakan suaminya seorang pejuang negara yang berani.
Kesan bunyi untuk menggambarkan situasi serangan pengganas komunis itu membuatkan panggung bergema dengan bunyi letupan senapang.
Bunga api turut digunakan untuk menampakkan aksi serangan itu seperti nyata di atas pentas.
Pada satu persembahan, satu-satunya anggota polis terbabit yang masih hidup sehingga hari ini, bekas Mata Mata Yusof Rono, isteri anggota polis, Mariam Ibrahim dan seorang kanak-kanak pada masa itu, Abu turut diberi penghormatan di atas pentas.
Suasana pilu menyelubungi penonton, apabila melihat pejuang yang kelihatan uzur itu naik ke pentas.
Apatah lagi melihat mereka tidak kering air mata apabila menonton persembahan yang tentunya mengimbau peristiwa pahit itu.
Ia menandakan perjuangan mereka turut dirasai oleh masyarakat hari ini.
Turut berlakon dalam teater itu ialah S. Sahlan, Sarimah Arshad, Wan Shades, Dilla Alie, Mior Ahmad Zaudi, Den Wahab, Kazar dan puluhan pelakon pembantu.
Datuk Seri Setia J.J. Raj Jr yang bertugas sebagai Ketua Polis Daerah Pagoh pada masa kejadian itu turut muncul sebagai pelakon undangan khas teater itu melakonkan wataknya sendiri.
Teater itu dibawakan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Oleh: ROSLI MANAH


0 Comments:

Post a Comment

<< Home