Friday, August 12, 2005

Warisan budaya When Rivers Meet sempena APEC

Negara ini mempunyai warisan budaya dan sejarah yang unik. Dalam usaha untuk mengetengahkan keunikan budaya itu, Panggung Negara akan menganjurkan persembahan berkonsep budaya, When Rivers Meet sempena Sidang Kemuncak Ketua-Ketua Negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Kuala Lumpur, November depan.
Antara kata-kata simbolik yang terdapat dalam pementasan itu; ''Bila sungai-sungai bertemu...pasir bermesra...air bersatu...ikan-ikan mewujudkan harmoni.''
When Rivers Meet akan dipertontonkan kepada orang ramai di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada 14 dan 15 Ogos ini sebelum disaksikan oleh delegasi luar negara yang menyertai APEC di Kuala Lumpur.
Difahamkan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad akan menyaksikan persembahan dalam pementasan khas pada 16 Ogos ini.
Pencipta lagu dan komposer terkenal, Shuhaimi Mohd Zain yang mengarah pementasan ini berkata, tugasnya agak berat kerana When Rivers Meet bukan acara hiburan biasa tetapi banyak memberi penekanan kepada aspek budaya dan patriotik serta menyesuaikan dengan persidangan APEC kelak.
''Persembahan ini dibahagikan kepada beberapa segman dan elemen disatukan termasuk tarian, drama, nyanyian dan muzik, '' ujar Shuhaimi ketika ditemui baru-baru ini.
Ia dimulakan dengan elemen tradisi seperti Sirih Junjung, Bunga Emas, Bunga Manggar dan banyak lagi yang merupakan simbol sambutan Diraja ataupun majlis keraian tertentu.
When Rivers Meet menceritakan tentang sejarah negara sejak dari awal zaman pemerintahan beraja sehinggalah masa kini.
Kata Shuhaimi, pementasan ini menampilkan konsep muhibbah dengan gabungan tiga kaum utama negara ini, Melayu, Cina dan India.
Untuk memantapkan lagi persembahan yang bakal membawa nama negara ke persada dunia ini, Shuhaimi memberitahu, dia memberi perhatian khusus kepada aspek kostum, set dan prop.
''Saya gunakan prop sebuah kapal bagi adegan kedatangan para pedagang asing ke negara ini suatu masa dulu,'' jelasnya.
Antara tenaga kreatif yang terlibat menjayakan persembahan ini ialah koreografer Mahmood Ibrahim, Michelle Yong Soo Fon dan K.Shanker serta pengarah artistik Bayu Utomo.
Kumpulan jemputan istimewa yang memeriahkan persembahan tersebut terdiri daripada artis-artis Kompleks Budaya Negara (KBN), artis muda Panggung Negara, kumpulan Temple Of Fine Arts (TOFA) dan Kwantung.
Selain itu When Rivers Meet juga menampilkan artis undangan Noraniza Idris dan Siti Nurhaliza. Kedua-dua penyanyi ini akan mengadakan persembahan nyanyian secara solo sebelum turut berlakon dalam pementasan ini.
Kedua-dua penyanyi ini telah dikenali sebagai penyanyi remaja yang muncul dengan lagu-lagu yang membawa nilai tradisional ketika ini.
Noraniza ketika ditemui pada sesi latihan pementasan itu berkata, pemilihannya sebagai artis undangan amat membanggakan kerana konsep lagu yang dinyanyikannya juga bersesuaian dengan persembahan tersebut.
''Sebelum mengambil bahagian dalam When Rivers Meet, saya menyanyikan empat lagu tradisional serta turut menyanyikan dua lagu dari album terbaru saya dalam pementasan itu,'' ujarnya.
Siti Nurhaliza pula menganggap kemunculannya dalam pementasan kebudayaan itu sebagai pengalaman baru yang selaras dengan konsep lagu tradisionalnya.
Dia akan menyanyikan tiga lagu pop dan lagu tradisional, Cindai.
Tiket-tiket berharga RM15 dan RM10 akan dijual kepada orang ramai untuk pementasan pada 14 dan 15 Ogos ini.






0 Comments:

Post a Comment

<< Home