Thursday, October 13, 2005

Sultan Kembayat Negara


PEMENTASAN bangsawan Sultan Kembayat Negara di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur baru-baru ini mengembalikan seni persembahan bangsawan kepada generasi muda.
Walaupun bangsawan semakin terhakis, tetapi usaha mementaskan teater itu kepada khalayak perlu diteruskan bagi memastikan bangsawan tidak lenyap di telan zaman.
Persaingan hebat dalam seni memerlukan generasi muda dilatih untuk membolehkan mereka didedahkan dengan ilmu pengetahuan mengenai bangsawan.
Hal ini perlu dipuji apabila Permodalan Nasional Berhad (PNB) baru-baru ini terpanggil untuk mementaskan teater bangsawan Sultan Kembayat Negara.
Pementasan pada 16 hingga 18 September lalu memperlihatkan khalayak terutama generasi muda memenuhi panggung tersebut.
Persembahan diselikan dengan beberapa lagu gurindam yang disampaikan oleh penyanyi Zariha Yusoff.
Penulis melihat khalayak begitu terpegun dengan lakonan dan kostum yang ditampilkan dalam teater itu walaupun hanya segelintir yang berani mengetengahkan pementasan bangsawan di negara ini.
Bangsawan akan luntur jika seni persembahan itu tidak dipentaskan untuk tatapan generasi akan datang.
Pengarah, Mohd. Effindi Shamsuddin seharusnya diberikan pujian kerana berjaya mengarahkan Sultan Kembayat Negara dengan penuh gilang gemilang.
"Saya mengambil masa sebulan bagi mengadakan latihan dan mementaskan bangsawan ini,'' katanya ketika ditemui pada sidang media di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Mohd. Effindi, pihaknya mendapat kerjasama daripada semua pelakon menjadikan pementasan itu berjaya.
Bangsawan Sultan Kembayat Negara mengisahkan Sultan Kembayat Negara dikurniakan seorang puteri setelah 20 tahun tidak menimang cahaya mata.
Oleh kerana Kembayat Negara sedang mengembangkan pengaruh dan jajahan takluknya, keadaan negara masih tidak kukuh. Masih terdapat ancaman-ancaman yang mampu menggugat kedaulatan kerajaan tersebut.
Sultan secara rahsia telah menyerahkan Puterinya kepada pasangan suami isteri, Panglima Kerajaan dan Mak Inang untuk membesarkan Puteri mereka sebaik mungkin bagi memastikan kesinambungan pemerintahan kerajaan tersebut.
Setelah 20 tahun Kembayat Negara menjadi makmur, ia tercalar disebabkan pemberontakan yang berlaku.
Sultan dan Permaisuri terbunuh dalam pemberontakan itu. Sebelum mangkat baginda menitahkan Bendahara agar mencari Panglima Negara dan menyampaikan wasiatnya kepada Puteri baginda.
Bendahara berjaya bertemu dengan Panglima Negara dan menyerahkan wasiat Sultan kepada Puteri. Puteri menerima wasiat Sultan tetapi berada dalam keadaan kebingungan untuk melaksanakannya.
Ketika itu, anak Panglima Negara tampil untuk berbakti dan berjaya merampas Kembayat Negara.
Anak Panglima menjadi suami Puteri lalu ditabalkan sebagai Sultan yang baru kerana jasa dan baktinya kepada Kembayat Negara.
Bangsawan Sultan Kembayat Negara dilakonkan oleh Mohd. Asrulfaizal Kamaruzaman sebagai Indera Syah Zukarnain, Arbaiah Ahmad Nazri (Abby) sebagai Puteri Chandra Nurlela Sari, Mazlan Tahir (Sultan Amir Indera Alam), Safura Yaacob (Permaisuri Purnama Sari), Yaziz Sobrani (Tengku Bendahara Raja), Zaidi Omar (Panglima Negara Abul Abbas) dan Marlenny Deenerwan (Mak Inang).