Thursday, December 15, 2005

Karya Usman Awang wajar diketengahkan

Karya Usman Awang wajar diketengahkan
Pada 7 November ini, sudah genap 50 tahun penglibatan Usman Awang yang popular dengan nama pena 'Tongkat Warant' dalam bidang kesusasteraan.
Beliau mula menulis pada 7 November 1948 menerusi puisi pertamanya Korban Tanah Air. Setelah lima dekad dan merentasi pelbagai pergolakan politik dan sosial, karya-karya Usman dilihat tetap relevan dengan isu pada hari ini.
Usman Awang dianggap seorang pengkritik sosial yang berfikiran tajam dan global yang diperlihatkan menerusi karya-karyanya sejak zaman penjajah, sebelum merdeka, selepas merdeka dan proses mengisi kemerdekaan negara.
Bagaimanapun setakat ini tidak ada satu acara yang boleh menyingkap pemikiran dan perjuangan Usman dalam kesusasteraan negara ini kecuali pementasan teater puisi Dari Bintang Ke Bintang.
Teater ini mempersembahkan puisi-puisi Usman Awang di pentas dengan memasukkan elemen drama, puisi, muzik dan tari sebagai menyingkap kembali pemikiran Usman yang dituangkan dalam karya-karyanya.
Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein berkata, Usman banyak membantu perkembangan sastera dan budaya negara.
Beliau menegaskan, sumbangan sasterawan seperti Usman adalah besar kerana pengaruh bidang penulisan dalam mencorakkan pemikiran masyarakat.
''Sebagai contoh, revolusi di Rusia dan Perancis juga bermula dengan penulisan. Di negara kita juga begitu di mana penulis berjaya membangkitkan semangat nasionalisme dalam diri rakyat,'' jelas Abdullah lagi.
Abdullah yang sudah lebih 60 tahun bergiat dalam bidang sastera berkata, hasil karya Usman banyak berkisar tentang kemerdekaan dan pejuang kemerdekaan.
Sementara itu, Prof. Madya Dr. Othman Puteh pula berpendapat, karya-karya Usman Awang banyak berkisar tentang kemanusiaan dan juga pertentangan kelas dalam masyarakat.
Ujar Dr. Othman, banyak karya Usman yang membicarakan tentang kemanusiaan dan kehidupan dan tulisan sekali gus menggambarkan identiti Usman yang tersendiri.
Menurutnya, tokoh sastera seperti Usman wajar dihargai kerana beliau banyak berjasa kepada negara.
Kerana itu, sempena ulang tahun ke-50 dalam kesusasteraan, Dr. Othman berharap agar pihak-pihak tertentu khususnya institusi pengajian tinggi meneruskan acara diskusi karya seperti yang sering mereka adakan sebelum ini.
''Karya beliau memang terkenal dengan keindahan bahasa dan masih mengekalkan tradisi konsep puisi lama dan sehingga ke hari ini,'' ujar Dr. Othman.
Penyair Prof. Madya Dr. Siti Zainon Ismail pula berkata, sumbangan yang diberikan oleh Usman Awang kepada pembangunan negara dan masyarakat bukan sedikit.
Justeru itu menurutnya, pihak-pihak tertentu harus memandang berat jasa golongan sasterawan kerana perjuangan mereka melalui penulisan banyak mendorong ke arah mewujudkan semangat nasionalisme dan memperjuangkan kemerdekaan negara.
Menurut Zainon, sepatutnya tokoh seperti Usman sudah mempunyai pusat dokumentasi atau perpustakaan bagi tujuan menyimpan serta mempamerkan karya-karya beliau.
''Dengan adanya pusat dokumentasi, karya-karya sasterawan kita akan diingati dan diketahui umum.
Selain mereka dapat membaca atau melihatnya di perpustakaan, pusat dokumentasi boleh memudahkan lagi orang ramai membuat rujukan,'' jelas Zainon.
Ujarnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kerajaan negeri Johor misalnya boleh memikirkan mengenai pusat dokumentasi ini.
Oleh: ROZI ABDUL RAZAK

3rd Nov 1998

0 Comments:

Post a Comment

<< Home